Thursday, April 2, 2009

Mencari kekuatan umat

DALAM mengambil iktibar terhadap konflik Palestin-Israel, umat Islam perlu mengakui bahawa tragedi yang menimpa adalah antaranya berpunca daripada kelemahan umat Islam sendiri daripada pelbagai sudut.
Bangsa Arab dan umat Islam hari ini menjadi hina walaupun telah dimuliakan selepas keluar daripada kejahilan pada zaman jahiliyah. Dan menurut para ulama bahawa kita hanya boleh dikembalikan semula kepada kemuliaan melalui pintu yang sama.
Sebagaimana ucapan Umar al-Khattab r.a:
"Dahulu kita adalah kaum yang hina. Allah telah memuliakan kita dengan Islam. Seandainya kita mencari kemuliaan selain dari apa yang telah Allah muliakan kita, maka kita akan dihina oleh Allah. (Riwayat sahih al-Hakim). Ulama tersohor, Abu al-Hasan Ali al-Nadwi dalam bukunya Kaifa Dakhala al-Arab al-Tarikh (Bagaimana Bangsa Arab Boleh Tercatat Dalam Sejarah) menggambarkan kehidupan orang Arab sebelum kedatangan Islam hidup dalam keadaan terpencil walaupun memiliki beberapa ciri-ciri kekuatan seperti akhlak mulia, bersifat berani, pandai membuat senjata, mempunyai bahasa yang indah - tetapi semua kelebihan mereka tidak meninggikan mereka dan tidak menjadi manusia mulia.
Al-Nadwi berkata: "Orang Arab perlu tahu bahawa mereka tidak akan disebut dalam sejarah (dunia) kecuali disebabkan risalah dan dakwah Islam.
"Allah tidak akan melahirkan rasa cinta dalam hati dan jiwa (orang lain) kepada mereka, tidak akan menyebarkan bahasa mereka sehingga begini luas, tidak kekal dan abadi, tidak menulis ilmu yang banyak (dalam bahasa itu), tidak membina perpustakaan yang begitu besar di mana ia dimanfaatkan oleh ulama lain melebihi orang Arab sendiri, melainkan kerana kelebihan al-Quran dan syariat Islam.
"Orang Arab tidak akan kembali kepada kedudukan yang asal dan tidak akan dikenang dengan kemuliaan dalam sejarah sekali lagi melainkan melalui pintu yang mereka masuk pada awalnya," kata ulama itu yang pernah berkunjung ke Malaysia sekitar tahun 1987 dan meninggal dunia pada tahun 22 Ramadan 1420 hijrah atau 31 Disember 1999.
Walaupun isu Palestin membabitkan bangsa Arab namun pengajarannya adalah untuk seluruh umat Islam, kata bekas mufti xxxxx xxxx xxxxx ketika membincangkan konflik itu.
Menurutnya, amat menyedihkan apabila umat Islam dizalimi sedemikian namun lebih menyedihkan lagi jika ia tidak dijadikan iktibar untuk merenung diri umat Islam seluruhnya bagi bagi mencari rahsia kekuatan umat.
Pertama, apabila dirujuk al-Quran dan hadis-hadis Nabi Muhammad s.a.w maka diketahui bahawa rata-rata umat Islam kini jauh daripada Allah dan disebabkan itu tidak mendapat pertolongan dan bantuan daripada Allah.
xxxx berkata, ini berdasarkan ayat al-Quran dalam surah Ali-Imran: 160 yang bermaksud: "Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu dan jika Dia mengecewakan kamu maka apakah yang dapat menolong kamu sesudah Allah? Dan ingatlah kepada Allah jua orang yang beriman itu berserah diri." Sejarah Islam juga menunjukkan bahawa umat Islam tidak pernah menang ke atas musuh semata-mata dengan bersandarkan kepada kekuatan yang ada pada mereka namun kemenangan Islam adalah dengan bantuan Allah.
Berbeza dengan musuh-musuh Islam, mereka terpaksa hanya bergantung kepada kekuatan material sahaja kerana di sisi mereka tiada bantuan Allah.
Walaupun segala kelengkapan dan kekuatan perlu dibina secukupnya oleh umat Islam bagi menggerunkan musuh namun umat Islam pasti mencapai kemenangan walaupun dengan apa jua keadaan sekali pun sama ada kekurangan atau kelebihan jika mendapat pertolongan Allah.
Bahkan, banyak peperangan termasuk Perang Badar yang dimenangi umat Islam walaupun kelengkapan perang dan persediaan mereka amat daif.
Perintah Allah agar umat Islam mempersiapkan diri terkandung dalam surah Anfal: 60, yang bermaksud:
"Persiapkan dirimu untuk menentang (musuh-musuh Islam) dengan apa jua yang kamu mampu dari segala jenis kekuatan dan pasukan-pasukan berkuda yang disiapkan untuk menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh selain mereka yang kamu tidak ketahui. Sedangkan Allah mengetahuinya. Apa sahaja yang kamu belanjakan di jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu dan kamu tidak akan dizalimi."
Bagaimanapun, menggerunkan musuh tidak semestinya cukup untuk mengalahkan musuh dan syarat untuk mencapai kemenangan serta menerima kuasa pemerintahan bumi ialah apabila orang Islam benar-benar beriman dan beramal soleh seperti firman Allah dalam Surah an-Nur: 55 yang bermaksud:
"Allah menjanjikan orang yang beriman dan beramal soleh di kalangan kamu (wahai Muhammad s.a.w) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi sebagaimana Dia menjadikan orang-orang sebelum mereka khalifah-khalifah yang berkuasa..."
Allah menyakinkan lagi umat ini menerusi firman-Nya dalam surah Rum:47 yang bermaksud: "Adalah sememangnya menjadi tanggungjawab Kami menolong orang yang beriman."
xxxx berkata, dalam Surah Al-A'araf: 96, Allah berfirman: "Dan (Tuhan berfirman lagi) kalau sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membukakan kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami) lalu kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan bagi orang-orang kafir."
Maka telah jelas bahawa bantuan Allah akan diberikan kepada mereka yang beriman dan bertaqwa. Namun timbul pula pertanyaan apakah kerja yang perlu dilakukan oleh orang beriman dan bertakwa itu?
Bagi persoalan ini, Allah berfirman dalam Surah Muhammad ayat 7 yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu."
xxxx berkata, membela dalam ayat di atas bukan bermaksud membantu Allah kerana Allah adalah Maha Perkasa dan tidak perlu dibantu. Tetapi yang dimaksudkan ialah membantu dan membela agama untuk meninggikan dan mendaulatkan Islam.
Dalam hubungan itu, xxxx berkata, membela itu adalah kerja dakwah untuk menjaga akidah, syariat, ibadat, akhlak dan berjihad di jalan Allah dengan menggunakan diri, masa dan harta.
Itu lah kerja umat Nabi Muhammad s.a.w yang menjadikan umat Islam kembali mulia sebagaimana pintu yang sama dimasuki oleh para sahabat Nabi Muhammad s.a.w hingga dimuliakan oleh Allah.
Melalui usaha dakwah, seorang Islam dapat membantu meninggikan agamanya, meningkatkan keimanan dan ketaqwaan untuk menjadikan mereka umat terbaik.
Allah berfirman dalam surah Ali-Imran, ayat 110 yang bermaksud: "Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia (kerana) kamu menyuruh manusia berbuat kebaikan dan mencegah kemungkaran dan kamu pula beriman kepada Allah."
Xxxx membuat kesimpulan dengan berkata: "Maka di sini lah perkara yang perlu kita ambil pengajaran bahawa umat Islam tiada jalan lain melainkan perlu mendekatkan diri kembali kepada Allah dan memperbanyakkan amal ibadat serta amal soleh kerana dengan cara itu akan diberikan keselamatan oleh Allah.
"Umat Islam termasuk di Malaysia perlu selalu berkunjung ke masjid yang menjadi rumah Allah untuk mendapatkan rahmat Allah, bersolat jemaah dan lain-lain amalan dan sentiasa perlu tingkatkan ketaqwaan," tegasnya.
Apabila kualiti keimanan dan ketakwaan itu ada dalam diri umat Islam maka Allah bertanggungjawab memusnahkan musuh Islam dengan cara selayaknya, kata Xxxx.
Allah berfirman: "Tuhan berfirman (Kami pun) menghantar kepada mereka) taufan dan belalang dan kutu dan katak dan darah sebagai tanda-tanda dan bukti yang jelas nyata, maka mereka juga tetap berlaku sombong, takabur dan menjadi kaum yang menderhaka." (Surah al-A'araf: 133)
Dalam surah At-Taubah: 26, Allah berfirman: "Kemudian Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada rasul-Nya dan kepada orang-orang yang beriman dan Allah menurunkan tentera yang kamu tidak melihatnya serta menyiksa orang-orang kafir itu (dengan kekalahan yang membawa kehancuran). Dan yang demikian itu ialah balasan bagi orang-orang kafir."
Tanpa merujuk kepada mana-mana pihak, xxxx berkata, tingkah laku orang Islam kini yang semakin tenggelam dalam kemaksiatan kian merunsingkan dan perlu dibendung dengan sentuhan iman.
Ulama Muhammad Qutb dalam kitabnya Waqi'una al-Muasir berkata, jika berlaku kemunduran dari segi keimanan dan akidahnya maka timbul segala kemunduran lain yang menimpa dunia Islam hingga ke kemunduran ilmu, ketamadunan, ekonomi, sosial, politik, peperangan, pemikiran dan kebudayaan.
Dalam hadis sahih, daripada Huzaifah bin Yaman r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Demi Zat yang nyawaku di tangan-Nya, kamu mestilah sentiasa melakukan amr maaruf dan nahi anil mungkar. Jika tidak, tidak lama lagi Allah akan menghantar azab-Nya ke atasmu lalu kamu berdoa maka Allah tidak akan menerima doamu (Riwayat Tirmizi).
Kesimpulannya, amat perlu menyedari bahawa keagungan Islam tidak akan kembali jika diri setiap umat Islam tidak dimurnikan semula menjadi benar-benar beriman dan beramal soleh.
Dengan cara itu, umat Islam walau di mana sahaja berada termasuk di Palestin akan mendapat kemuliaan, kekuatan ke atas musuh, bantuan dan keredhaan Allah.
Jika tidak, tidak mustahil malapetaka di Semenanjung Gaza boleh meledak di mana-mana sahaja akibat sikap alpa, cuai dan tidak berwaspada umat Islam terhadap menjaga agamanya.
-Tamat-
NOTA:

SEBENARNYA tulisan ini ditulis lebih kurang seminggu selepas Gaza diserang Israel, tetapi malangnya atas alasan tertentu yang tak dapat dielakkan ia terpaksa diperapkan begitu sahaja. Sebahagiannya pernah dipecahkan menjadi posting sebelum ini. Bagaimanapun disebabkan rasa rugi pula jika ia tak dikongsi kesemuanya maka ia dijadikan posting kali ni. Sebenarnya ketika bersembang dengan mufti (sekarang dah jadi bekas mufti) itu, banyak perkara dibincangkan hingga lah ke isu boikot. Tetapi apa lah malangnya, atas kelemahan saya, tidak sempat dicatatkan kesemuanya termasuk dalil-dalilnya. Maka tiada la dapat saya tulis melainkan apa yang dinukilkan saja, dengan izin Allah. Kalau ada masa baca la, kalau takde biarkan aje lah...

6 comments:

Ladyship said...

panjang amat post ni;0

harini kena submit assignment, nanti2 lah atie bace.
(:

Ziarah76 said...

Ladyship,
lepas baca jgn lupa komen.. huhu

zarch said...

Jazakallah diatas artikel yang penuh kebenaran ini, semoga umat sekelian sentiasa diberi hidayat dan taufik untuk mengerjakan amal-amal yang membawa kepada kejayaan serta kemuliaan dan beristiqamah diatasnya.

Unknown said...

Salam,,adsense tu saya tangguh dulu,dah dpt elaun praktikal,,ha3,,,tuan ada kenal dengar doktor syuib ke,amirsab usm parit buntar,,tahun lepas saya baru keluar dengan diorang,skali dengan doktor azlan ,dioarang joint jemaah saya,,tp prof said x de,dia p keluar 4 bulan negara jauh di macedonia kot..

Ladyship said...

Alhamdulillah, dah bace!.

benar belaka>.<

terasa dgn ayat Allah, 'bila DIA kecewakan kamu, siapa lagi yg boleh bantu?'

memang tak ada siapa pun dapat bantu lepas Allah kecewakan kita.

Maka kena sentiasa istiqamah dlm berjuang,insyaAllah, Allah takkan kecewakan, walau kita gagal, Allah akan sentiasa di sisi, insyaAllah(:

Ziarah76 said...

zarzh,
amin..

anak pendang,
Alhamdulillah..

ladyship,
insyaAllah..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails