Monday, May 30, 2011

Jangan minum bir didakwa halal

PADANG SERAI 29 Mei — Umat Islam di negara ini diingatkan supaya tidak meminum sejenis bir yang didakwa halal oleh syarikat pengedarnya kerana didapati mengandungi alkohol melebihi had yang dibenarkan syarak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Jamil Khir Baharom (gambar) berkata, dakwaan syarikat itu bahawa kandungan alkohol cuma 0.01 peratus adalah tidak benar selepas ujian makmal mendapati kandungannya sebanyak 0.5 peratus.
Katanya, Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) bersama majlis-majlis agama Islam negeri akan bertindak menyekat penjualan minuman itu kepada umat Islam.
"Kita akan merujuk kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk mendapatkan maklumat lebih jelas," kata Jamil Khir kepada pemberita selepas menutup program Juara Rakyat anjuran UMNO Bahagian Padang Serai di Padang Awam Pekan Sungai Karangan dekat sini, petang semalam.
Akhbar semalam melaporkan mengenai penjualan 'bir halal' di pasaran yang semakin popular dalam kalangan umat Islam dan dikesan oleh Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ), baru-baru ini.
Akhbar berbahasa Melayu yang memetik satu sumber berkata, JAIJ mengambil contoh minuman itu untuk diuji di makmal dan hasilnya mendapati bir tersebut dihasilkan daripada pelbagai perisa buah-buahan mengandungi 0.5 peratus alkohol.
JAIJ kemudian memaklumkan kepada Jakim dan KDRM supaya mengambil tindakan sewajarnya, termasuk menghentikan penjualannya jika perlu.
Akhbar itu turut memetik Mufti Johor, Datuk Mohd. Tahrir Samsuddin sebagai berkata, bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan kandungan alkohol dalam makanan serta minuman yang dibenarkan syariat Islam ialah tidak melebihi 0.01 peratus.
Katanya, ulama bersepakat menetapkan jumlah alkohol dengan kuantiti itu kerana ia boleh terhasil dalam makanan dan minuman secara semulajadi.
Minuman yang diimport dari sebuah negara Islam di Timur Tengah itu banyak terdapat di kafe-kafe di negara ini yang dijual antara RM3 hingga RM5 sebotol.
"Dalam keadaan tidak pasti, saya ingin menasihatkan umat Islam berhenti meminum minuman itu supaya tidak terperangkap dalam situasi yang mengelirukan," kata Jamil Khir.
Di majlis itu, beliau turut menyampaikan barang keperluan dapur kepada 30 orang golongan susah dan warga emas pelbagai kaum.
Turut hadir, Naib Ketua UMNO Padang Serai, Mohd Bakri Hashim dan setiausaha, Drs. Mohd Zubib Saad serta Penyelaras Parlimen Padang Serai, Dr. Chin Tung Leong. — BERNAMA

Thursday, May 26, 2011

JAIS serbu Syiah

Tahniah dan syabas! kepada JAIS di atas kejayaan membendung fahaman syiah daripada menular apabila menyerbu sekumpulan syiah yang mengadakan perhimpunan sempena kononnya meraikan hari ulang tahun kelahiran Saidatina Fatimah Azzahra di Gombak.
Video serbuan boleh ditonton antaranya di SINI.
Tindakan tegas JAIS terhadap mana-mana ajaran dan fahaman yang didapati menyimpang daripada ajaran Ahli Sunnah Waljamaah, wajar dipuji kerana amat signifikan sejak kebelakangan ini.
Syabas JAIS, semoga usaha murni JAIS dan kakitangannya diberikan sebaik-baik balasan oleh Allah di akhirat kelak.

Saturday, May 14, 2011

Orang baru dlm hidup kami...

Tanggal 9 Mei lalu (Isnin) kira-kira pukul 3 pagi, kami sekeluarga bergegas ke Kedah Medical Centre (KMC) yang jaraknya lebih kurang lima minit perjalanan naik keta dari rumah kami.
Anak2 yg tengah syok tido terpaksa dikejutkan untuk sama-sama ke hospital sebab emak depa sudah mula rasa sakit hendak bersalin yang tahap makin kuat.
Bila diperiksa, maka isteri terpaksa ditahan dalam wad sebab mengikut rekod lampau, isteri bersalin lebih awal dari tarikh jangkaan. Kalau ikut kalender, tarikh genap 9 bulan mengandung memang dah lepas tetapi jangkaan bersalin masih berbaki beberapa hari. Jadi doktor kata, waktu itu memang pada bila-bila masa boleh bersalin. Maka doktor tak mau ambik risiko benarkan balik rumah.
Jadi, saya dan 3 orang anak pula balik ke rumah lebih kurang pukul 4 pagi. Anak2 sambung tido, esok pagi yang dua orang nak kena sekolah.
Sebaik saja hantar depa pi sekolah, saya dan sumaiyah ke KMC semula dan didapati isteri sudah berada di bilik bersalin. Keadaan isteri ok, tapi sakit datang makin kerap on and off dan makin kuat. Bilik bersalin tak boleh budak masuk jadi sumaiyah terpaksa duduk luar sementara bapak dia temankan mak dia nak bersalin. Alhamdulillah, Allah hantar sorang member untuk jaga sumaiyah kat luar.
Saya berada di sisi kepala isteri, memegang tangannya dalam bilik bersalin. Di situ ada sorang doktor wanita dan dua nurses. Perkakas semua tersedia. Keadaan agak mendebarkan tapi tenang.
Sakit terus kuat....
Setelah beberapa ketika, sebagaimana telah ditakdirkan dan ditentukan oleh Allah S.W.T Yang Maha Kuasa, kira-kira pukul 1.30 tengah hari 05 Jamadil Akhir 1432 (9 Mei 2011), maka lahirlah anak kami yang keempat, baby lelaki seberat 3.25 kg, bersalin secara normal. Insya-Allah, daie yang akan menyambung kerja nubuwah, mudah-mudahan..
Alhamdulillah syukur, semua berjalan lancar dan dipermudahkan Allah. Gembira hingga tak terkata....

Sejurus selepas dilahirkan, Muhammad .... sudah diazan dan diiqamahkan dlm bilik bersalin itu juga.



Sudah berada di rumah....


Memandangkan ambik wad sebilik satu katil, maka kami sekeluarga bermalam di wad satu mlm. 


Mama baby kata, ini adalah hadiah sempena birthday abah baby  yg jatuh pd tanggal 12 Mei. Alhamdulillah, special sungguh 

Tuesday, May 3, 2011

Akhlak terpuji Luqman al-Hakim

AHLI hikmah dari Habsyah (Ethiopia) ini bernama Luqman al-Hakim. Menurut al-Quran, Allah SWT menganugerahkan hikmah kepadanya sehingga beliau digelar Luqman al-Hakim (Luqman yang dianugerahi hikmah).
Nama penuhnya ialah Luqman bin Baura. Beliau berketurunan Azar, ayah Nabi Ibrahim a.s. Dalam Tafsir al-Kasysyaf (karya al-Zamakhsyari), Luqman digambarkan sebagai seorang lelaki yang berkulit sangat hitam dan berwajah buruk dengan bibir yang sangat tebal.
Namun, hati dan akhlaknya tidak seburuk wajahnya. Hatinya amat tulus dan akhlaknya sangat terpuji. Kata-kata hikmah sebagai nasihat selalu keluar dari bibirnya.
Menurut cerita tradisi Bani Israel, Luqman selalu mengeluarkan kata-kata hikmah (ucapan yang sesuai dengan kebenaran) sehingga akhirnya banyak diketahui masyarakat.
Seseorang pernah bertanya kepadanya, "Bukankah kamu bekas hamba si fulan?" Luqmanmenjawab, "Benar". Orang itu lalu bertanya lagi, "Tetapi apa yang membuat kamu terkenal seperti sekarang?"
Beliau menjawab, "Kekuasaan Allah SWT. Aku selalu berkata benar dan meninggalkan sesuatu yang tidak berfaedah serta selalu menunaikan amanah yang diberikan kepadaku".
Dalam tafsir al-Qurtubi, tertulis bahawa ada tiga orang yang berkulit hitam tetapi sangat terkenal dalam sejarah, iaitu Bilal bin Rabah, Mahja' (hamba Umar bin al-Khattab), dan Luqman al-Hakim.
Ada riwayat yang menyebut bahawa pada suatu hari seseorang terkejut melihat susuk tubuh Luqman yang hitam legam dan berbibir tebal.
Pada waktu itu, Luqman mengatakan: "Sekalipun bibirku ini tebal, tetapi apa yang keluar dari mulutku adalah kata-kata hikmah. Dan sekalipun kamu terkejut melihat kulitku yang hitam legam, namun hatiku putih bagaikan kaca bersih".
Isteri majikan Luqman pernah marah kepada suaminya. Suaminya lalu mencari juadah (makanan yang lazat) untuk isterinya, kemudian meminta Luqman untuk menyerahkan makanan itu kepada kesayangannya (maksudnya isterinya).
Setibanya di rumah, Luqman memberikan juadah itu kepada anjing majikannya, bukan kepada isterinya.
Setelah pulang majikannya bertanya kepada isterinya adakah beliau sudah menerima juadah yang dikirim melalui Luqman. Isterinya berkata, "Luqman tidak membawa sesuatu pun untukku". Suaminya marah lalu memanggil Luqman.
Luqman menjawab, "Hamba telah memberikan juadah itu kesayangan tuan seperti yang tuan pesan, iaitu anjing tuan".
Luqman menambah, "Anjing itulah yang seharusnya disayangi kerana sekalipun dihina dan disakiti, ia tidak meninggalkan tuan, manakala isteri tuan sebenarnya bukanlah kesayangan Tuan kerana beliau sering meminta cerai sekalipun tidak dihina, apalagi dipukul".
Kemuliaan seseorang di hadapan Allah SWT tidak terletak pada keturunannya, tetapi pada ketakwaan dan akhlaknya. Luqman adalah salah seorang yang bertakwa dan berakhlak mulia.
Ketakwaan dan kemuliaan akhlaknya dijadikan teladan dalam al-Quran. Ketakwaannya kepada Allah SWT ditunjukkannya melalui nasihat kepada anak lelakinya, An'am atau Asykam, misalnya tidak menyekutukan Allah SWT kerana perbuatan itu merupakan kezaliman yang amat besar (Q.31: 13).
Kemuliaan akhlaknya ditunjukkan melalui nasihat supaya tidak bersikap sombong dan angkuh kepada sesama manusia (Q.31: 18) dan perkataan lembut kerana seburuk-buruk suara adalah suara keldai (Q.31: 19).

Sunday, May 1, 2011

Tuhan beri aku hidayah – Iwan

Selamat tinggal dangdut.... - Iwan


DI usia 45 tahun, Wan Syahman Wan Yunus, 50, diberikan hidayah untuk mengubah kehidupannya menjadi seorang insan yang taat kepada perintah dan suruhanNYA dan meninggalkan segala laranganNYA.
Kata insan seni yang lebih dikenali sebagai Iwan, segala kealpaan duniawi yang pernah melingkunginya selama berada di puncak kemasyhuran, dibuangnya secara perlahan-lahan.
Sekalipun diberi jolokan Raja Dangdut dan pernah memiliki kelab malam di Pulau Mutiara suatu ketika dahulu, Iwan mengakui dia tidak menyesal meninggalkan segalanya untuk menjalani satu kehidupan yang diredai dan dirahmati Allah SWT.
Iwan bersyukur asas agama yang ada dalam dirinya memudahkannya untuk lebih mendalami Islam yang syumul ini.
Kata Iwan, ketika usianya 11 tahun, dia telah khatam al-Quran di kampungnya, Asahan, Indonesia.
rakan seusaha
“Sudah tiba masanya saya bertukar arah dan membuat persiapan untuk ke depan, yang akhirnya kita semua akan ke situ juga (mati).
“Dalilnya perubahan yang saya alami dapat dilihat melalui pakaian yang saya pakai hari ini dan perubahan rohani pula, saya belajar dengan ustaz dan mengikut tabligh.
“Saya sedar bahawa Allah itu maha penyayang kerana dia memberi saya kesempatan untuk kembali ke jalan yang diredaiNYA,” katanya kepada S3.
Dua kali mengalami kegagalan dalam rumah tangga turut memberi Iwan kesedaran untuk muhasabah diri.
Jodoh kali ketiga bersama gadis sekampungnya, Evie Surriyanti, 25, dikurniakan seorang puteri, Wan Nur Symayyah yang kini berusia 15 bulan.
Iwan bersama ahlia dan anaknya
Pencarian ke jalan Allah, kata Iwan, bukan semata-mata untuk dirinya tetapi juga mencakupi seluruh umat Islam.
Justeru bersama kumpulan tablighnya, Iwan memberitahu, dalam sebulan, dia akan keluar selama tiga hari untuk berdakwah dari rumah ke rumah. (Semua ni copy paste dari sini. )

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails