Monday, May 30, 2011

Jangan minum bir didakwa halal

PADANG SERAI 29 Mei — Umat Islam di negara ini diingatkan supaya tidak meminum sejenis bir yang didakwa halal oleh syarikat pengedarnya kerana didapati mengandungi alkohol melebihi had yang dibenarkan syarak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Jamil Khir Baharom (gambar) berkata, dakwaan syarikat itu bahawa kandungan alkohol cuma 0.01 peratus adalah tidak benar selepas ujian makmal mendapati kandungannya sebanyak 0.5 peratus.
Katanya, Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) bersama majlis-majlis agama Islam negeri akan bertindak menyekat penjualan minuman itu kepada umat Islam.
"Kita akan merujuk kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk mendapatkan maklumat lebih jelas," kata Jamil Khir kepada pemberita selepas menutup program Juara Rakyat anjuran UMNO Bahagian Padang Serai di Padang Awam Pekan Sungai Karangan dekat sini, petang semalam.
Akhbar semalam melaporkan mengenai penjualan 'bir halal' di pasaran yang semakin popular dalam kalangan umat Islam dan dikesan oleh Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ), baru-baru ini.
Akhbar berbahasa Melayu yang memetik satu sumber berkata, JAIJ mengambil contoh minuman itu untuk diuji di makmal dan hasilnya mendapati bir tersebut dihasilkan daripada pelbagai perisa buah-buahan mengandungi 0.5 peratus alkohol.
JAIJ kemudian memaklumkan kepada Jakim dan KDRM supaya mengambil tindakan sewajarnya, termasuk menghentikan penjualannya jika perlu.
Akhbar itu turut memetik Mufti Johor, Datuk Mohd. Tahrir Samsuddin sebagai berkata, bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan kandungan alkohol dalam makanan serta minuman yang dibenarkan syariat Islam ialah tidak melebihi 0.01 peratus.
Katanya, ulama bersepakat menetapkan jumlah alkohol dengan kuantiti itu kerana ia boleh terhasil dalam makanan dan minuman secara semulajadi.
Minuman yang diimport dari sebuah negara Islam di Timur Tengah itu banyak terdapat di kafe-kafe di negara ini yang dijual antara RM3 hingga RM5 sebotol.
"Dalam keadaan tidak pasti, saya ingin menasihatkan umat Islam berhenti meminum minuman itu supaya tidak terperangkap dalam situasi yang mengelirukan," kata Jamil Khir.
Di majlis itu, beliau turut menyampaikan barang keperluan dapur kepada 30 orang golongan susah dan warga emas pelbagai kaum.
Turut hadir, Naib Ketua UMNO Padang Serai, Mohd Bakri Hashim dan setiausaha, Drs. Mohd Zubib Saad serta Penyelaras Parlimen Padang Serai, Dr. Chin Tung Leong. — BERNAMA

2 comments:

Waqheh said...

adakah ini air ISTAK yg tuan maksudkan? ana pernah minum sekali..

Ziarah76 said...

waqheh,

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0531&pub=utusan_malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_28.htm&arc=hive

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails