Tuesday, May 3, 2011

Akhlak terpuji Luqman al-Hakim

AHLI hikmah dari Habsyah (Ethiopia) ini bernama Luqman al-Hakim. Menurut al-Quran, Allah SWT menganugerahkan hikmah kepadanya sehingga beliau digelar Luqman al-Hakim (Luqman yang dianugerahi hikmah).
Nama penuhnya ialah Luqman bin Baura. Beliau berketurunan Azar, ayah Nabi Ibrahim a.s. Dalam Tafsir al-Kasysyaf (karya al-Zamakhsyari), Luqman digambarkan sebagai seorang lelaki yang berkulit sangat hitam dan berwajah buruk dengan bibir yang sangat tebal.
Namun, hati dan akhlaknya tidak seburuk wajahnya. Hatinya amat tulus dan akhlaknya sangat terpuji. Kata-kata hikmah sebagai nasihat selalu keluar dari bibirnya.
Menurut cerita tradisi Bani Israel, Luqman selalu mengeluarkan kata-kata hikmah (ucapan yang sesuai dengan kebenaran) sehingga akhirnya banyak diketahui masyarakat.
Seseorang pernah bertanya kepadanya, "Bukankah kamu bekas hamba si fulan?" Luqmanmenjawab, "Benar". Orang itu lalu bertanya lagi, "Tetapi apa yang membuat kamu terkenal seperti sekarang?"
Beliau menjawab, "Kekuasaan Allah SWT. Aku selalu berkata benar dan meninggalkan sesuatu yang tidak berfaedah serta selalu menunaikan amanah yang diberikan kepadaku".
Dalam tafsir al-Qurtubi, tertulis bahawa ada tiga orang yang berkulit hitam tetapi sangat terkenal dalam sejarah, iaitu Bilal bin Rabah, Mahja' (hamba Umar bin al-Khattab), dan Luqman al-Hakim.
Ada riwayat yang menyebut bahawa pada suatu hari seseorang terkejut melihat susuk tubuh Luqman yang hitam legam dan berbibir tebal.
Pada waktu itu, Luqman mengatakan: "Sekalipun bibirku ini tebal, tetapi apa yang keluar dari mulutku adalah kata-kata hikmah. Dan sekalipun kamu terkejut melihat kulitku yang hitam legam, namun hatiku putih bagaikan kaca bersih".
Isteri majikan Luqman pernah marah kepada suaminya. Suaminya lalu mencari juadah (makanan yang lazat) untuk isterinya, kemudian meminta Luqman untuk menyerahkan makanan itu kepada kesayangannya (maksudnya isterinya).
Setibanya di rumah, Luqman memberikan juadah itu kepada anjing majikannya, bukan kepada isterinya.
Setelah pulang majikannya bertanya kepada isterinya adakah beliau sudah menerima juadah yang dikirim melalui Luqman. Isterinya berkata, "Luqman tidak membawa sesuatu pun untukku". Suaminya marah lalu memanggil Luqman.
Luqman menjawab, "Hamba telah memberikan juadah itu kesayangan tuan seperti yang tuan pesan, iaitu anjing tuan".
Luqman menambah, "Anjing itulah yang seharusnya disayangi kerana sekalipun dihina dan disakiti, ia tidak meninggalkan tuan, manakala isteri tuan sebenarnya bukanlah kesayangan Tuan kerana beliau sering meminta cerai sekalipun tidak dihina, apalagi dipukul".
Kemuliaan seseorang di hadapan Allah SWT tidak terletak pada keturunannya, tetapi pada ketakwaan dan akhlaknya. Luqman adalah salah seorang yang bertakwa dan berakhlak mulia.
Ketakwaan dan kemuliaan akhlaknya dijadikan teladan dalam al-Quran. Ketakwaannya kepada Allah SWT ditunjukkannya melalui nasihat kepada anak lelakinya, An'am atau Asykam, misalnya tidak menyekutukan Allah SWT kerana perbuatan itu merupakan kezaliman yang amat besar (Q.31: 13).
Kemuliaan akhlaknya ditunjukkan melalui nasihat supaya tidak bersikap sombong dan angkuh kepada sesama manusia (Q.31: 18) dan perkataan lembut kerana seburuk-buruk suara adalah suara keldai (Q.31: 19).

6 comments:

musa said...

Pagi tadi saya masuk perpustakaan sekolah dan membaca buku tajuk Nasehat Luqman Al Hakim, moga dapat amal

ismadiyusuf said...

bulan april lepas saya ada datang ke jitra, tak lumpa cikgu musa lah!

yang indah itu akhlak - -ikram muslimin- hidayat menjelma lebih dekat melalui akhlak

musa said...

Ismadi jika d markas tentu saya ada. mungkin kamik keluar 3hari, maka sik ada , anak hj lamit belajar madrasak di sini

hainur hapis said...

JAZAKA ALLAH HU KHAIR..

DOAKAN ANA...

Anak Pendang Sekeluarga said...

ikram muslim....
bukan bayan,tp lebih kpd praktikal..

musa said...

Jawapannya "KU"

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails