Monday, November 17, 2014
Hentikan program realiti hiburan sampah sarap
ADALAH menjadi amat malang bagi masyarakat Islam negara ini terus disajikan oleh syarikat televisyen dengan hiburan-hiburan melalaikan termasuk lah program realiti yang diceduk bulat-bulat daripada negara barat.
Kononnya tujuan mengadakan program itu ialah mencari bakat-bakat baru dalam bidang tersebut, tetapi sebenarnya ia hanyalah sekadar alasan untuk mewajarkan rancangan sampah sarap seperti itu ke udara.
Rancangan seperti ini tidak memberi banyak manfaat malahan lebih banyak mudharat kepada masyarakat Islam.
Masyarakat khususnya golongan muda diajar untuk menjadi artis, bersuka ria, menyuburkan budaya hedonisme, macam tak ada benda lain nak dibuat selain mengejar cita-cita untuk menjadi artis nyanyian, tarian dan lakonan.
Artis adalah golongan yang saya hormati. Tidak boleh dinafikan, peranan penting mereka sebagai golongan yang mewarnai hidup kita. Ramai di kalangan mereka yang walaupun nampak ganas dan bersifat terbuka namun sebenarnya mereka adalan insan yang baik-baik belaka malahan sekarang ini ramai pula yang cukup dikenali sebagai baik hati budinya dan sesetengahnya sudah pun berhijrah. Saya tidak mengatakan semua artis adalah tidak baik tetapi bukan lah sesuatu yang menyihatkan masyarakat jika anggota masyarakat digalakkan berkecimpung dalam dunia artis dan hiburan secara berlebih-lebihan. Malahan nasib seseorang yang menceburi bidang itu juga tidak menentu dan ramai di kalangan mereka yang terumbang ambing masa depannya dalam dunia itu.
Jika dilihat, anak-anak muda bukan Melayu dan bukan Islam di negara ini begitu bersungguh-sungguh merebut peluang dalam bidang-bidang yang lebih produktif seperti perniagaan dan merebut peluang yang ada, tetapi orang Melayu dan orang Islam di Malaysia lebih selesa memburu dunia glamer, mahu menjadi anak seni dan anak wayang.
Jika ini berterusan, cuba bayangkan masa depan anak bangsa dan negara ini !
Lebih menyedihkan ialah, ada peserta rancangan realiti yang tanpa segan silu berpeluk-peluk di atas pentas. Malahan ada artis sebagai mentor tumpang sekaki berpeluk atas alasan peserta adalah umpama anak-anak dia. Ini semua kejahilan yang dipromosikan dalam media dan ia perlu dihentikan. Itu belum lagi dibincangkan soal aurat dan pergaulan lelaki dan wanita.
Jika perkara-perkara ini pun tidak mahu difikirkan oleh penerbit, cuba fikirkan pula ke mana sebenarnya masyarakat negara ini hendak dibawa oleh penerbit dengan menyajikan bahan-bahan seperti ini?
Adakah sekadar mahu menarik lebih ramai penonton dan mengejar ranking maka semua soal dosa, halal dan haram diketepikan begitu sahaja ?
Memaparkan rancangan seperti itu sebenarnya menunjukkan kerendahan kreativiti penerbit dan syarikat televisyen itu sendiri kerana apa yang dipaparkan hanyalah produk ciplak yang diambil dari negara barat lalu ditiru. Begitu rendah mutu pemikiran rakyat Malaysia !
Sepatutnya, syarikat televisyen perlu tampil dengan idea-idea yang segar, positif, kreatif, menepati syarak dan baharu yang boleh mengetepi populariti rancangan-rancangan tidak patuh syarak seperti sekarang ini.
Rancangan Imam Muda, Pencetus Ummah, Daie...etc misalnya adalah contoh rancangan yang baik walaupun idea asal masih lagi ciplak.
Cuba lah fikir idea-idea yang baharu untuk menjadikan rakyat Malaysia dan orang Islam sebagai individu yang hebat. Ini lah cabarannya ! Kalau anda dapat menyahut cabaran ini maka terbukti lah anda benar-benar berbakat dan kreatif...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment