بسم الله الرحمن الرحيم
Ruang ini akan membahaskan persoalan tabarruk atau perbuatan mengambil berkat daripada seseorang atau sesuatu. Kefahaman atau salah faham tentang persoalan ini juga timbul dalam masyarakat kita.
Ramai umat Islam yang tidak memahami hakikat tabarruk sama ada dengan Nabi SAW atau pun kesan-kesan pusaka peninggalan Baginda SAW, keluarganya, ulama pewaris Nabi dan para wali, rahimahumullah.
Mereka menganggap orang yang mengambil jalan tabarruk, melakukan kesyirikan dan kesesatan lantaran kerana penelitian mereka yang sempit dan pemahaman akal mereka yang senteng.
Sebelum dijelaskan dalil-dalil dan bukti-bukti yang menunjukkan bahawa tabarruk diharuskan, bahkan juga disyariatkan, sewajarnya kita ketahui bahawa tabarruk itu tidak lain dan tidak bukan, hanyalah amalan tawassul kepada Allah SWT melalui perantaraan makhluk yang diambil berkat daripadanya itu; sama ada berupa kesan peninggalan, tempat atau seseorang manusia.
Adapun benda-benda yang mulia; dijadikan sebagai alat bertabarruk kerana dipercayai mempunyai kelebihan dan pendekatan dengan Allah SWT. Meskipun demikian, tetap dipercayai bahawa mereka itu lemah untuk mendatangkan manfaat atau menolak mudarat, kecuali dengan izin Allah SWT.
Sementara, barang-barang peninggalan; dijadikan alat bertabarruk kerana disandarkan kepada individu atau orang-orang yang mulia tersebut. Maka ia menjadi mulia kerana kemuliaan mereka. Ia juga menjadi agung, besar dan dikasihi kerana mereka, sama ada para nabi, rasul, ulama dan wali.
Begitu juga dengan tempat. Ia menjadi tempat yang berkat bukan semata-mata kerana tempat tersebut, tetapi kerana berlaku di tempat tersebut perkara-perkara kebaikan dan kebajikan; seperti solat, puasa dan ibadah-ibadah lain yang dilakukan oleh hamba-hamba Allah yang soleh.
Dengan kebaikan yang mereka lakukan di tempat tersebut, maka di situ diturunkan rahmat, dihadiri oleh malaikat dan diliputi ketenangan. Inilah keberkatan yang dituntut daripada Allah di tempat-tempat yang dimaksudkan.
Keberkatan ini boleh didapati di tempat-tempat tersebut melalui tawajjuh (menghadapkan permohonan) kepada Allah, berdoa kepada-Nya, beristighfar dan mengingati peristiwa-peristiwa penting dan mulia yang berlaku di tempat tersebut.
Dengan mengingati peristiwa mulia tersebut, akan menggerakkan jiwa-jiwa, membangkitkan keazaman dan semangat untuk mencontohi insan-insan yang telah berjaya dan soleh.
Di bawah dipersembahkan nas-nas ini yang dipetik daripada risalah khusus Prof. Dr. Sayyid Muhammad ‘Alawi al-Maliki yang bertajuk al-Barakah (keberkatan).
Bertabarruk dengan rambut dan ludah baginda SAW
Daripada Ja’far ibn Abdullah ibn al-Hakam, meriwayatkan: Bahawa Khalid ibn al Walid r.a kehilangan kopiah pada hari peperangan Yarmuk.
Dia berkata: “Carilah kopiah itu” Tetapi, para tentera tidak menemuinya. Khalid r.a berkata lagi, “Carilah lagi!” Akhirnya mereka menemuinya. Ternyata kopiah yang dicarinya itu hanyalah kopiah yang sudah usang.
Khalid r.a berkata: “Rasulullah SAW pernah mengerjakan umrah, lalu mencukur rambutnya. Orang ramai pun berebut-rebut hendak mendapatkan rambut Baginda SAW yang telah terpotong itu. Aku mendahului mereka untuk mendapatkan rambut daripada bahagian ubun kepala Baginda SAW.
Setelah mendapatnya, aku menyimpannya di dalam kopiah ini. Maka tidak ada peperangan pun yang aku ikuti dengan membawa kopiah ini bersamaku, melainkan aku diberikan kemenangan”. (Berkata al Haithami: Telah meriwayatkan hadis ini al Tabrani dan Abu Ya’la juga meriwayatkan riwayat yang sama. Rijal kedua-duanya adalah sahih. Majma’ al Zawaid 9:349. Hadis ini disebut oleh Ibnu Hajar di dalam al-Matolib al-‘Aaliah 4:90)
Diriwayatkan daripada Malik ibn Hamzah ibn Abu Usaid al-Sa’idi al-Khazraji, daripada ayahnya, daripada datuknya Abu Usaid, dia mempunyai sebuah perigi di Madinah yang dikenali dengan Telaga Budha’ah.
Nabi Muhammad SAW pernah berludah ke dalam perigi itu. Maka dia meminum air dari perigi itu, seraya memohon keberkatan dengannya. (Riwayat al-Tabrani dan rijalnya adalah dipercayai).
Keadaan sahabat bersama Rasulullah SAW
‘Urwah ibn Mas’ud pernah menggambarkan keadaan para sahabat r.a bersama Nabi Muhammad SAW.
Imam al-Bukhari meriwayatkan dengan sanadnya kepada al-Masur ibn Makhramah dan Marwan, kedua-duanya berkata: ‘Urwah pun kembali kepada kaumnya. Dia berkata, “Wahai kaumku! Demi Allah! Sesungguhnya aku telah beberapa kali diutus kepada raja-raja; aku pernah diutus kepada Qaisar, Kisra, dan Najasyi. Demi Allah! Aku tidak pernah melihat seorang raja yang diagungkan oleh sahabat (rakyat)nya, seperti yang dilakukan oleh sahabat-sahabat Muhammad SAW.
“Demi Allah! Tidaklah Baginda SAW berludah, kecuali ludahnya itu jatuh di atas telapak tangan seseorang daripada mereka. Lalu, dia menggosok ludah itu ke muka dan kulitnya. Jika Baginda SAW menyuruh mereka, mereka berebut-rebut untuk melaksanakan perintahnya.
“Apabila Baginda SAW berwuduk, hampir saja mereka saling berbunuhan kerana merebut air wuduknya. Apabila mereka berbicara, mereka merendahkan suara di sisi Baginda SAW. Mereka juga tidak menajamkan pandangan kepadanya kerana membesarkannya”. (riwayat Imam al-Bukhari dalam kitab al-Syurut, bab: ‘Syarat-syarat Jihad’.)
Ulasan Al-Hafiz Ibnu Hajar mengenai kisah ini
Di dalam kisah di atas menunjukkan ludah (kahak) dan rambut yang telah terpisah dari jasad adalah suci, dan terdapatnya amalan tabarruk dengan sisa-sisa atau lebihan yang suci daripada orang-orang soleh.
Boleh jadi, para sahabat r.a melakukan perbuatan tersebut disebabkan kehadiran ‘Urwah, dan mereka berlebih-lebihan melakukannya, sebagai isyarat daripada mereka untuk menolak anggapan ‘Urwah yang khuatir para sahabat akan melarikan diri daripada Nabi SAW.
Mereka seolah-olah berkata dengan lisan hal (ujaran sikap): Orang yang mengasihi imam atau pemimpin mereka dengan kasih yang sebegini rupa dan membesarkannya dengan kemuliaan seperti ini, bagaimana boleh adanya sangkaan bahawa ia akan lari daripada pemimpinnya itu dan menyerahkannya kepada musuhnya?
Bahkan, para sahabat r.a tersebut sangat mencintai Baginda SAW, dan juga terhadap agamanya, serta kuat membantunya lebih kuat daripada kabilah-kabilah Arab yang saling memberikan perhatian di antara satu sama lain semata-mata kerana ikatan kasih (kekeluargaan).
Daripada riwayat tersebut juga dapat diambil kesimpulan, bahawa harus menggunakan pelbagai cara dan alat untuk mencapai tujuan melalui pelbagai jalan yang dibolehkan. (Lihat Fath al-Bari, 5: 341)
4 comments:
fahaman wahabi xske bnde2 mcm nh..ha3.. kalau nak tgk maulana zakaria kena hentam pasal nh.. boleh baca buku "menjawab persoalan dalam fadhail amal"(surat2 yg dihantar kepada maulana zakaria)
hidayatullah,
wahabi/salafi adalah saudara seIslam kita. mereka orang baik2. jika ada apa2 kesilapan yg mereka lakukan terhadap kita, kita maafkan mereka, kita doakan hidayat untuk seluruh umat.
Walaupun masa dulu, ramai di kalangan mereka menentang usaha kita kerana tak faham namun waktu ini ramai di kalangan mereka sendiri sudah ambik usaha yang suci murni ini.
Usaha kita tak mahu bergaduh atau bertelingkah dgn sesiapa. Biar lah hati kita lebur berderai krn agama, tapi tetap lah kita menjaga hati saudara seIslam kita.
boleh la rujuk bahan bacaan tambahan
http://al-ghari.blogspot.com/2011/10/siapa-sebenarnya-wahhabiy-buku-kajian.html
apa2 dari jasad Rasulullah ada keberkatan.
Siapa le yang sanggah tu agaknya?
Dr. Ben,
ya, usaha agama cari nabi bawa keberkatan juga
Post a Comment