Friday, October 14, 2011

Menjadi manusia pemurah

بسم الله الرحمن الرحيم

Tidak lama dahulu di suatu masjid/surau, saya berkesempatan menghadiri majlis bayan (penerangan) yang disampaikan oleh seorang rakan seusaha yang cukup memberi kesan, mungkin asbab pengorbanan dan keihlasannya menyampaikan dakwah, lebih-lebih lagi tanpa meminta sebarang upah,  menyebabkan 'buah-buah' bayannya cukup menusuk ke Qalbu.
Dalam bayan itu, salah satu kisahnya yang disampaikan ialah mengenai kisah seorang pekebun yang alim, pemurah, kaya yang bersyukur pada zaman dahulu.  Dia diberikan Allah hidup yang aman damai dengan amalannya mensedekahkan hasil kebunnya kepada orang-orang miskin. Namun apabila dia meninggal dunia, anak-anaknya yang ramai bukan sahaja tidak mahu mengikuti jejak langkah ayahnya bahkan cuba menghalang orang miskin daripada mengambil buah-buahan dari kebun itu. Akhirnya, kebun itu dimusnahkan Allah. Setelah menyedari kesalahannya, maka anak-anak lelaki itu menyesal dan bertaubat.
Dalam bayan, lebih-lebih lagi jika disampaikan oleh orang awam biasanya kisah-kisah yang terkandung dalam al-Quran dan Hadis, tidak dinyatakan dengan detail namun yang ajibnya ialah pengajarannya dan mesejnya dapat sampai kepada audien dengan berkesan dan menusuk ke mata hati. Disebabkan biasanya masa diberi untuk bayan bagi orang awam tidak lah panjang, maka sesetengah perkara atau kisah, dengan hikmah lebih baik diringkaskan sahaja untuk memudahkan pendengar walaupun ia bersabit dengan nas dan dalil sahih.   
Apapun, kita perlu bersyukur yang tidak terhingga jika dipilih dapat untuk duduk walaupun seketika dalam majlis bayan atau majlis ilmu yang ada didalamnya percakapan membesarkan Allah s.w.t.  
Untuk manfaat pembaca Z76, di bawah adalah kisah pekebun tersebut yang ditafsir oleh seorang ulama/ilmuan tempatan di negara kita. Ia adalah tafsir dari surah al-Qalam, ayat 17 hingga 33.
Semoga kita tidak menjadi orang yang bakhil dan  tamak tetapi menjadi manusia yang pemurah  sehingga mendapat keampunan di sisi Allah.  Amin.

--------------bawah ni copy paste tau!--------------


Balasan Allah tidak boleh dielak

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
Siri Keenam (al-Qalam: 17-33)

Allah SWT menyebut pada ayat yang lepas bahawa  orang yang mempunyai harta benda dan  anak-anak telah kafir, bersikap derhaka dan  menyelewengkan nikmat yang dikurniakan Allah  SWT kepadanya.
Allah SWT menambahkan penjelasan apa yang  diberikan kepadanya itu hanya cubaan dan ujian  semata-mata agar Dia melihat sama ada orang itu  taat dan bersyukur kepada Allah SWT sehingga  ditambahkan kenikmatan kepadanya. Atau orang  itu akan menggunakannya untuk menimpakan  kepadanya dengan pelbagai bencana dan  seksaan.
Contohnya para pemilik kebun ketika mereka  menjalankan sedikit kederhakaan, kebun mereka  dibinasakan oleh Allah SWT. Oleh itu, bagaimana  pula dengan orang yang menentang Allah SWT  dan rasul-Nya yang tetap bersikap keras berada  dalam kekafiran dan mengerjakan maksiat.
Al-Sabuni berkata: Kami telah uji ahli Mekah  dengan kemarau dan kelaparan supaya mengikut  dakwah Rasulullah SAW sebagaimana kami  menguji pemilik-pemilik ladang yang mempunyai  pelbagai jenis buah-buahan.
Kami taklifkan ahli Mekah supaya bersyukur  kepada Tuhan mereka atas segala nikmat  sebagaimana kami telah taklifkan pemilik  ladang-ladang untuk bersyukur dengan memberi  kepada fakir miskin akan hak mereka.
Sebahagian ahli tafsir berkata ia berkenaan  dengan seorang lelaki muslim dan tinggal  berhampiran Sana’a yang mempunyai pelbagai  jenis tanaman dan buah-buahan.
Apabila sampai waktu menuai dan memetik  buah-buahan dia memanggil fakir miskin serta  memberi hak masing-masing dengan banyak. Di  samping itu memuliakan mereka.
Sebaliknya apabila mati si kaya yang bersyukur ini,  anak-anak mereka yang bertiga mewarisi harta  bapa mereka seraya berkata: “Keluarga kita ramai  dan harta kita sedikit. Tidak mungkin kita boleh  bagi kepada fakir miskin seperti yang dilakukan  oleh ayah kita. Mereka berbincang sesama  mereka untuk tidak memberi kepada seorang pun  fakir miskin. Justeru, mereka berpakat untuk  memungut buah-buahan pada waktu pagi ketika  fakir miskin tidak menyedari”.
Tiba-tiba pada waktu malam tersebut Allah  turunkan api membakar tanaman dan  buah-buahan. Apabila waktu pagi, mereka pergi ke  kebun dan mendapati tidak ada pohon kayu dan  buah-buahan.
Mereka menyangka tersilap jalan apabila mereka  mempastikan hal tersebut mereka tahu ini  hukuman Allah dengan niat jahat mereka lantas  mereka sesal dan bertaubat. (antara terjemahan  ayat 17-20 surah al-Qalam)
Muhammad Quraish Shihab berkata: Ayat-ayat  lalu menyebut beberapa sifat buruk dari  al-Mukazzibin iaitu para pengingkar ayat Allah  (baca ayat 8 dan seterusnya) kini dijelaskan  bahawa apa yang dialami oleh mereka itu serupa  dengan kisah sekelompok pemilik kebun yang  agaknya pengalaman mereka telah dikenal luas  oleh masyarakat Makkah ketika itu.
Di sisi lain, ayat yang lalu juga menghuraikan sebab  sifat-sifat buruk yang disandang oleh kelompok  orang-orang derhaka disebabkan mereka  bersikap angkuh kerana harta mereka yang  banyak dan membanggakan anak-anaknya.
Ayat di atas mengingatkan keangkuhan dengan  pemilikan harta yang melampau dan hakikatnya ia  adalah ujian Tuhan kepada manusia. Ujian Allah  tidak sama dengan ujian yang dilakukan oleh  manusia sehinggakan apabila diuji mereka tidak  dapat mengelak sama sekali.
Firman Allah SWT: Lalu mereka panggil  memanggil di pagi hari. Pergilah diwaktu pagi (ini)  ke kebunmu jika kamu hendak memetik buahnya.
Al-Maghari berkata: Sesetengah mereka menyeru  kepada sesetengah yang lain. Marilah kita ke  kebun pada awal pagi untuk memetik buah dari  kebun kamu jika kamu hendak melakukannya.
Mereka telah menetapkan rancangan dan  menyembunyikan urusan itu sehingga tidak ada  seorang pun yang mendengar perancangan  mereka sebagaimana firman Allah SWT.
Firman Allah SWT: Maka pergilah mereka saling  berbisik-bisik. Pada hari Ini janganlah ada seorang  miskinpun masuk ke dalam kebunmu.
Sayid Qutub berkata: Seolah-olah kita yang  mendengar atau membaca al-Quran tahu apa  yang tidak diketahui oleh tuan-tuan kebun tentang  malapetaka yang telah menimpa kebun itu. Kita  telah menyaksi bagaimana tangan halus telah  menghulur dalam gelap gelita dan terus  menghapuskan segala buah-buahnya dan kita  melihat kebun itu telah dipetik buahnya setelah  berlaku peristiwa tersebut.

Kebun yang subur tiba-tiba lenyap
Firman Allah SWT: Dan berangkatlah mereka di  pagi hari dengan niat menghalangi (orang-orang  miskin) padahal mereka (menolongnya).
Ayat ini ditafsirkan dengan lapan pendapat seperti  kata Ibn al-Jauzi:
* Dengan penuh kekuatan seperti kata Ibn  Abbas.
* Dengan penuh kecukupan seperti kata al-Hasan  dalam satu riwayat.
* Dengan penuh kesungguhan seperti pendapat  al-Hasan, Qatadah, Abu al-‘Aliah, al-Farra’ dan  Muqatil.
* Atas perkara yang disepakati yang mereka  usahakan antara mereka. Inilah pendapat Mujahid  dan Ikrimah.
* Perkataan hard memberi maksud nama kebun  sebagaimana kata al-Suddi.
* Ia adalah rasa dendam dan kemarahan terhadap  orag miskin seperti pendapat al-Sya'bi dan  Sufian.
* Ia adalah tegahan dan halangan seperti  pendapat Abu Ubaidah dan Ibn Qutaibah.
Sedangkan perkataan mereka berkemampuan  dalam ayat ini memberi maksud dengan tiga  pendapat:
Pertama: Berkemampuan terhadap kebun  mereka di sisi mereka. Inilah pendapat Qatadah.
Kedua: Berkemampuan menguasai orang miskin.  Inilah pendapat al-Sya’bi.
Ketiga:  Mereka menegah dalam keadaan  berkemampuan. Inilah pendapat Ibn Qutaibah.
Al-Maraghi berkata: Mereka berangkat untuk  menghalang dan menjauhkan orang miskin pada  memperoleh manfaat daripada kebun itu pada  pagi hari. Sedangkan mereka dapat memberikan  manfaat kepada orang miskin tersebut.
Bagaimanapun, alangkah kecewanya dan sia-sia  usaha mereka kerana tidak tergambar atau  terlintas di fikiran kebun yang penuh melimpah dan  subur boleh menjadi dataran kosong.
Kebun tersebut seolah-olah tidak ada bekas  ditanam sehingga mereka menjadi ragu dengan  kejadian tersebut.
Firman Allah SWT: Tatkala mereka melihat kebun  itu, mereka berkata: Sesungguhnya kita  benar-benar orang-orang yang sesat (jalan),  Bahkan kita dihalangi (dari memperoleh  hasilnya).
Sayid Qutub berkata: Inilah berita yang sebenar.  Mereka ditimpa akibat tipu daya dan niat yang  jahat akibat kekufuran nikmat dan kebakhilan.  Sekarang tampillah seorang yang paling baik  fikiran antara mereka menghadapi mereka.
Nampaknya dahulu dia seorang yang mempunyai  pendapat yang berlainan tetapi terpaksa mengikut  mereka apabila pendapatnya ditentang.
Firman Allah SWT: Berkatalah seorang yang  paling baik fikirannya di antara mereka: Bukankah  Aku telah mengatakan kepadamu, hendaklah  kamu bertasbih (kepada Tuhanmu)? Mereka  mengucapkan: Maha Suci Tuhan kami,  Sesungguhnya kami adalah orang-orang yang  zalim.
Ibn Kathir berkata: Mereka cuba melakukan  ketaatan pada saat tidak lagi memberi manfaat  dan bertasbih yang tidak diterima. Justeru,  mereka amat sesal dan iktiraf kesilapan yang tidak  berfaedah. Akhirnya mereka terpaksa mengaku  kezaliman mereka.
Sayid Qutub berkata: Sebagaimana biasa setiap  mereka akan berusaha melepaskan dirinya  apabila ditimpa akibat yang buruk dan  melemparkan kesalahan kepada rakan-rakannya  yang lain. Inilah yang dilakukan oleh mereka.
Firman Allah SWT: Lalu sebahagian mereka  menghadapi sebahagian yang lain seraya cela  mencela.
Al-Maghari berkata: Mereka saling berkata di  antara mereka: Kamu yang mengemukakan  pendapat ini kepada kami. Yang lain pula berkata  kepada rakan masing-masing: Engkau yang  menakutkan kami dengan kemiskinan.
Adapun yang lain pula berkata: Kamulah yang  mendorong aku mengumpulkan harta. Kemudian  mereka menyeru kecelakaan dan kesialan diri  mereka sendiri seperti yang ditunjukkan oleh Allah  SWT ketika menceritakan tentang diri mereka.
Firman Allah SWT: Mereka berkata: Aduhai  celakalah kita; sesungguhnya kita ini adalah  orang-orang yang melampaui batas.  Mudah-mudahan Tuhan kita memberikan ganti  kepada kita dengan (kebun) yang lebih baik  daripada itu; Sesungguhnya kita mengharapkan  ampunan dati Tuhan kita. Seperti Itulah azab  (dunia). Dan sesungguhnya azab akhirat lebih  besar jika mereka mengetahui.
Muhammad Quraish Shihab berkata: Setelah  menghuraikan bencana dan penyesalan yang  dialami penduduk yang derhaka itu, Allah SWT  menutup kisahnya dengan memperingatkan  semua pihak termasuk kaum musyrikin Mekah  bahawa itulah seksa duniawi.
Ia lebih besar kerana seksa akhirat bersumber  langsung dari Allah serta ia lebih besar serta tidak  berakhir dengan kematian. Di sana yang diazab  tidak mati sehingga tidak lagi merasa  seksaan-Nya.
Jika mereka mengetahui perihal seksaan tersebut  sudah pasti akan beriman kepada Allah SWT.  Kalimah ya wailana terdiri daripada tiga kata. Iaitu  ya merupakan kata seru, wail yang bermakna  kecelakaan dan na merupakan kata ganti yang  menunjuk kepada jamak sehingga secara harfiah  ya wailana bererti wahai kecelakaan kami.
Al-Biqaie memahaminya dalam erti wahai  kecelakaan kami inilah masa engkau datang  menemui kami kerana tidak ada lagi yang  menemani kami kecuali engkau. Kalimah ini  digunakan untuk menggambarkan rasa  penyesalan luar biasa.
Sementara ulama menyatakan, ketiga-tiga pemilik  kebun itu benar-benar menyesal dan bertaubat  sehingga Allah SWT mengkabulkan permohonan  mereka dan kebun tersebut lantas menjadi  subur.

3 comments:

hainur hapis said...

TQ...

sedekah asbab rezeki, asbab kesembuhan penyakit
dan asbab mengelakkan bala INSYA ALLAH


Jzk ALLAH,

Hidayatullah said...

lately nh byk post pasal infaq.. subhanaALLAH.. moga2 sy dpt amalkan

Ziarah76 said...

peringatan utk saya sendiri

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails