Tuesday, October 18, 2011

Nabi s.a.w manusia istimewa

بسم الله الرحمن الرحيم


Meskipun para nabi dari kalangan manusia; yang  juga makan, minum, kadangkala sihat, kadangkala  sakit, menikahi perempuan-perempuan,  berjalan-jalan di pasar-pasar, terdedah kepada  gejala-gejala penyakit yang biasa dialami oleh  manusia biasa seperti lemah, tua dan juga  kematian, tetapi sesungguhnya mereka berbeza  dengan pelbagai keistimewaan dan sifat-sifat  agung serta mulia. 
Sifat-sifat itu pula merupakan suatu yang amat  lazim dan penting bagi mereka. Sifat-sifat mulia  tersebut, secara ringkasnya adalah seperti  berikut, siddiq (jujur), tabligh (menyampaikan),  amanah, fathonah (bijaksana), bebas daripada  keaiban yang membuatkan manusia lari  daripadanya dan ‘ismah (terpelihara daripada  melakukan dosa).
Di sini, kita tidak menjelaskan secara terperinci  mengenai sifat-sifat ini. Ia telah pun dijelaskan  dengan terperinci di dalam kitab-kitab tauhid.  Perbincangan adalah tentang sifat-sifat dan  keistimewaan penghulu segala rasul, Muhammad  SAW untuk membuktikan bahawa walaupun  baginda SAW adalah manusia tetapi sekali-kali  tidaklah sama dengan manusia biasa. Kerana  kesuntukan ruang, kita hanya akan menyentuhnya  dengan ringkas sahaja.


* Rasulullah SAW melihat orang yang di  belakangnya seperti melihat orang yang berada di  hadapannya.
Diriwayatkan oleh al-Syaikhan (al-Bukhari dan  Muslim) daripada Abu Hurairah, bahawa  Rasulullah SAW bersabda: Adakah kamu dapat  melihat Kiblatku di sini? Demi Allah! Rukuk dan  sujud kamu tidak sekali-kali terselindung daripada  penglihatanku. Sesungguhnya aku melihat kamu  dari belakangku.
* Rasulullah SAW melihat dan mendengar apa  yang kita tidak dapat lihat dan dengar
Daripada Abu Zar r.a berkata, Rasulullah SAW  bersabda: “Sesungguhnya aku dapat melihat apa  yang kamu tidak lihat dan aku mendengar apa yang  kamu tidak dengar. Langit merintih dan memang  ia mempunyai hak untuk merintih. Tidak ada  padanya (langit itu) walau selebar empat jari  melainkan ada malaikat meletakkan dahinya sujud  kepada Allah. Demi Allah! Sekiranya kamu  mengetahui apa yang aku ketahui, pasti kamu akan  sedikit ketawa dan banyak menangis, kamu tidak  akan bersedap-sedap dengan isteri-isteri di atas  ranjang dan kamu pasti akan keluar menuju ke  jalan-jalan untuk tunduk memohon pertolongan  kepada Allah”. 
* Nabi Muhammad SAW terpelihara daripada  menguap
Imam al-Bukhari meriwayatkan dalam al-Tarikh,  dan Ibnu Abi Syaibah dalam al-Musannaf, serta  Ibnu Sa’ad daripada Yazid ibn al-Asom, berkata:  Nabi Muhammad SAW tidak pernah menguap  sama sekali.
* Peluh nabi SAW yang mulia.
Imam Muslim meriwayatkan daripada Anas r.a  berkata: Rasulullah SAW pernah datang kepada  kami lalu tidur sebentar (qailulah) di tempat kami.  Baginda SAW berpeluh (semasa tidur). Ibuku  datang membawa sebuah botol kaca lalu  menadah peluh Rasulullah SAW yang mengalir itu.  Rasulullah SAW pun terjaga lalu bersabda,  “Wahai Ummu Sulaim! Apakah yang engkau  lakukan?” Dia menjawab, “Peluh ini akan kita  jadikan minyak wangi kita, ia adalah wangian yang  paling harum!” 
* Ketinggian Rasulullah SAW
Diriwayatkan oleh Ibnu Khaithamah di dalam  Tarikhnya, Imam Baihaqi dan Ibnu ‘Asakir,  daripada Aisyah r.ha, beliau berkata:
“Rasulullah SAW tidak terlalu tinggi dan tidak pula  terlalu rendah. Baginda SAW kelihatan  berperawakan sederhana jika berjalan sendirian.  Tiada seseorang yang berjalan bersama  Rasulullah SAW (kelihatan) lebih tinggi, melainkan  Baginda SAW melebihi ketinggian mereka. 
“Jika ada dua orang lelaki yang tinggi bersamanya,  Baginda SAW tetap kelihatan lebih tinggi daripada  mereka. Tetapi, jika mereka berpisah darinya,  Rasulullah SAW kelihatan berketinggian  sederhana”. 
* Bayang-bayang Rasulullah SAW
Al-Hakim al-Tirmizi meriwayatkan daripada  Zakwan: “Sesungguhnya Rasulullah SAW itu tidak  mempunyai bayang-bayang; sama ada ketika  berada di bawah sinar matahari, mahupun  bulan”. 
* Terhindar daripada lalat
Al-Qadhi ‘Iyadh r.hH menyebut di dalam al-Syifa,  dan al-‘Azafi di dalam Maulidnya: “Di antara  keistimewaan Nabi Muhammad SAW, lalat tidak  pernah menghinggapi Baginda SAW”.
Ia juga disebutkan oleh Ibnu Sabu’ dalam  al-Khasa’is, dengan lafaz: “Sesungguhnya lalat  tidak pernah hinggap pada pakaiannya”.
Beliau menambah: “Sesungguhnya di antara  keistimewaan Rasulullah SAW, kutu tidak pernah  menggigitnya”.
* Darah Rasulullah SAW
Diriwayatkan oleh al-Bazzar, Abu Ya’la, al Tabrani,  al Hakim dan al Baihaqi daripada Abdullah ibn al  Zubair: “Bahawa dia pernah datang menemui  Rasulullah SAW ketika sedang dibekam. Setelah  selesai dibekam, Rasulullah SAW pun bersabda,  “Wahai Abdullah! Pergilah kamu dengan  membawa darah ini dan buanglah ia di suatu  tempat yang tiada sesiapa pun melihat kamu”.  Tetapi dia meminum darah itu. Apabila pulang,  Rasulullah SAW bertanya: “Wahai Abdullah!  Apakah yang telah kamu lakukan (terhadap  darahku itu)?” Jawabnya: “Aku telah  meletakkannya di tempat yang tersorok yang aku  ketahui ia sememangnya tersembunyi daripada  pengetahuan orang”. 
Rasulullah SAW bersabda: “Kemungkinan kamu  telah meminumnya”. Kataku, “Ya!” Rasulullah  SAW bersabda: “Celakalah manusia daripada  kamu dan terselamatlah kamu daripada  manusia”.
Maka mereka berpendapat kekuatan Abdullah r.a  adalah disebabkan dari darah yang diminumnya  itu.
* Tidur Rasulullah SAW
Dikeluarkan oleh al-Bukhari dan Muslim, daripada  Sayyidah Aisyah r.ha bertanya kepada Baginda  SAW: Wahai Rasulullah! Adakah kamu akan tidur  sebelum solat witir? Maka jawab Rasulullah SAW,  “Wahai Aisyah! Kedua mataku tidur tetapi hatiku  tidak tidur”.
Kesimpulan yang kita perolehi dalam  perbincangan ini, ternyata keistimewaan Nabi  Muhammad SAW adalah sangat banyak. 
Tidak dinafikan bahawa sebahagian hadis yang  dipetik dalam bab ini diperselisihkan oleh ulama,  kerana sebahagian mereka menilai bahawa  hadis-hadis mengenainya adalah sahih dan  sebahagian ulama yang lain melihat ia tidak  sahih. 
Oleh yang demikian, ia termasuk di dalam  permasalahan khilafiah. Tetapi jika dinilai secara  menyeluruh masih tidak menafikan kesimpulan  bahawa Nabi kita SAW dan para nabi a.s adalah  manusia-manusia yang istimewa dan bukannya  manusia biasa.

2 comments:

hainur hapis said...

Mohon share bang, TQ

Umma-ali said...

saya pun share ye...bgus ni...moga brmanfaat...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails