Tuesday, October 25, 2011

Memahami Tabarruk - perbuatan mengambil berkat

بسم الله الرحمن الرحيم


Ruang ini akan membahaskan  persoalan tabarruk atau perbuatan mengambil  berkat daripada seseorang atau sesuatu.  Kefahaman atau salah faham tentang persoalan  ini juga timbul dalam masyarakat kita.
Ramai umat Islam yang tidak memahami hakikat  tabarruk sama ada dengan Nabi SAW atau pun  kesan-kesan pusaka peninggalan Baginda SAW,  keluarganya, ulama pewaris Nabi dan para wali,  rahimahumullah.
Mereka menganggap orang yang mengambil jalan  tabarruk, melakukan kesyirikan dan kesesatan  lantaran kerana penelitian mereka yang sempit  dan pemahaman akal mereka yang senteng.
Sebelum dijelaskan dalil-dalil dan bukti-bukti yang  menunjukkan bahawa tabarruk diharuskan,  bahkan juga disyariatkan, sewajarnya kita ketahui  bahawa tabarruk itu tidak lain dan tidak bukan,  hanyalah amalan tawassul kepada Allah SWT  melalui perantaraan makhluk yang diambil berkat  daripadanya itu; sama ada berupa kesan  peninggalan, tempat atau seseorang manusia.
Adapun benda-benda yang mulia; dijadikan  sebagai alat bertabarruk kerana dipercayai  mempunyai kelebihan dan pendekatan dengan  Allah SWT. Meskipun demikian, tetap dipercayai  bahawa mereka itu lemah untuk mendatangkan  manfaat atau menolak mudarat, kecuali dengan  izin Allah SWT.
Sementara, barang-barang peninggalan; dijadikan  alat bertabarruk kerana disandarkan kepada  individu atau orang-orang yang mulia tersebut.  Maka ia menjadi mulia kerana kemuliaan mereka.  Ia juga menjadi agung, besar dan dikasihi kerana  mereka, sama ada para nabi, rasul, ulama dan  wali.
Begitu juga dengan tempat. Ia menjadi tempat  yang berkat bukan semata-mata kerana tempat  tersebut, tetapi  kerana berlaku di tempat tersebut  perkara-perkara kebaikan dan kebajikan; seperti  solat, puasa dan ibadah-ibadah lain yang dilakukan  oleh hamba-hamba Allah yang soleh.
Dengan kebaikan yang mereka lakukan di tempat  tersebut, maka di situ diturunkan rahmat, dihadiri  oleh malaikat dan diliputi ketenangan. Inilah  keberkatan yang dituntut daripada Allah di  tempat-tempat yang dimaksudkan.
Keberkatan ini boleh didapati di tempat-tempat  tersebut melalui tawajjuh (menghadapkan  permohonan) kepada Allah, berdoa kepada-Nya,  beristighfar dan mengingati peristiwa-peristiwa  penting dan mulia yang berlaku di tempat  tersebut.
Dengan mengingati peristiwa mulia tersebut, akan  menggerakkan jiwa-jiwa, membangkitkan  keazaman dan semangat untuk mencontohi  insan-insan yang telah berjaya dan soleh.
Di bawah dipersembahkan nas-nas ini yang dipetik  daripada risalah khusus Prof. Dr. Sayyid  Muhammad ‘Alawi al-Maliki yang bertajuk  al-Barakah (keberkatan).

Bertabarruk dengan rambut dan ludah baginda  SAW
Daripada Ja’far ibn Abdullah ibn al-Hakam,  meriwayatkan: Bahawa Khalid ibn al Walid r.a  kehilangan kopiah pada hari peperangan  Yarmuk.
Dia berkata: “Carilah kopiah itu” Tetapi, para  tentera tidak menemuinya. Khalid r.a berkata lagi,  “Carilah lagi!” Akhirnya mereka menemuinya.  Ternyata kopiah yang dicarinya itu hanyalah kopiah  yang sudah usang.
Khalid r.a berkata: “Rasulullah SAW pernah  mengerjakan umrah, lalu mencukur rambutnya.  Orang ramai pun berebut-rebut hendak  mendapatkan rambut Baginda SAW yang telah  terpotong itu. Aku mendahului mereka untuk  mendapatkan rambut daripada bahagian ubun  kepala Baginda SAW.
Setelah mendapatnya, aku menyimpannya di  dalam kopiah ini. Maka tidak ada peperangan pun  yang aku ikuti dengan membawa kopiah ini  bersamaku, melainkan aku diberikan  kemenangan”. (Berkata al Haithami: Telah  meriwayatkan hadis ini al Tabrani dan Abu Ya’la  juga meriwayatkan riwayat yang sama. Rijal  kedua-duanya adalah sahih. Majma’ al Zawaid  9:349. Hadis ini disebut oleh Ibnu Hajar di dalam  al-Matolib al-‘Aaliah 4:90)
Diriwayatkan daripada Malik ibn Hamzah ibn Abu  Usaid al-Sa’idi al-Khazraji, daripada ayahnya,  daripada datuknya Abu Usaid, dia mempunyai  sebuah perigi di Madinah yang dikenali dengan  Telaga Budha’ah.
Nabi Muhammad SAW pernah berludah ke dalam  perigi itu. Maka dia meminum air dari perigi itu,  seraya memohon keberkatan dengannya.  (Riwayat al-Tabrani dan rijalnya adalah  dipercayai).

Keadaan sahabat bersama Rasulullah SAW
‘Urwah ibn Mas’ud pernah menggambarkan  keadaan para sahabat r.a bersama Nabi  Muhammad SAW.
Imam al-Bukhari meriwayatkan dengan sanadnya  kepada al-Masur ibn Makhramah dan Marwan,  kedua-duanya berkata: ‘Urwah pun kembali  kepada kaumnya. Dia berkata, “Wahai kaumku!  Demi Allah! Sesungguhnya aku telah beberapa kali  diutus kepada raja-raja; aku pernah diutus kepada  Qaisar, Kisra, dan Najasyi. Demi Allah! Aku tidak  pernah melihat seorang raja yang diagungkan oleh  sahabat (rakyat)nya, seperti yang dilakukan oleh  sahabat-sahabat Muhammad SAW.
“Demi Allah! Tidaklah Baginda SAW berludah,  kecuali ludahnya itu jatuh di atas telapak tangan  seseorang daripada mereka. Lalu, dia menggosok  ludah itu ke muka dan kulitnya. Jika Baginda SAW  menyuruh mereka, mereka berebut-rebut untuk  melaksanakan perintahnya.
“Apabila Baginda SAW berwuduk, hampir saja  mereka saling berbunuhan kerana merebut air  wuduknya. Apabila mereka berbicara, mereka  merendahkan suara di sisi Baginda SAW. Mereka  juga tidak menajamkan pandangan kepadanya  kerana membesarkannya”. (riwayat Imam  al-Bukhari dalam kitab al-Syurut, bab:  ‘Syarat-syarat Jihad’.)

Ulasan Al-Hafiz Ibnu Hajar mengenai kisah ini
Di dalam kisah di atas menunjukkan ludah (kahak)  dan rambut yang telah terpisah dari jasad adalah  suci, dan terdapatnya amalan tabarruk dengan  sisa-sisa atau lebihan yang suci daripada  orang-orang soleh.
Boleh jadi, para sahabat r.a melakukan perbuatan  tersebut disebabkan kehadiran ‘Urwah, dan  mereka berlebih-lebihan melakukannya, sebagai  isyarat daripada mereka untuk menolak anggapan  ‘Urwah yang khuatir para sahabat akan melarikan  diri daripada Nabi SAW.
Mereka seolah-olah berkata dengan lisan hal  (ujaran sikap): Orang yang mengasihi imam atau  pemimpin mereka dengan kasih yang sebegini  rupa dan membesarkannya dengan kemuliaan  seperti ini, bagaimana boleh adanya sangkaan  bahawa ia akan lari daripada pemimpinnya itu dan  menyerahkannya kepada musuhnya?
Bahkan, para sahabat r.a tersebut sangat  mencintai Baginda SAW, dan juga terhadap  agamanya, serta kuat membantunya lebih kuat  daripada kabilah-kabilah Arab yang saling  memberikan perhatian di antara satu sama lain  semata-mata kerana ikatan kasih (kekeluargaan).
Daripada riwayat tersebut juga dapat diambil  kesimpulan, bahawa harus menggunakan  pelbagai cara dan alat untuk mencapai tujuan  melalui pelbagai jalan yang dibolehkan. (Lihat Fath  al-Bari, 5: 341)

4 comments:

Hidayatullah said...

fahaman wahabi xske bnde2 mcm nh..ha3.. kalau nak tgk maulana zakaria kena hentam pasal nh.. boleh baca buku "menjawab persoalan dalam fadhail amal"(surat2 yg dihantar kepada maulana zakaria)

Ziarah76 said...

hidayatullah,
wahabi/salafi adalah saudara seIslam kita. mereka orang baik2. jika ada apa2 kesilapan yg mereka lakukan terhadap kita, kita maafkan mereka, kita doakan hidayat untuk seluruh umat.
Walaupun masa dulu, ramai di kalangan mereka menentang usaha kita kerana tak faham namun waktu ini ramai di kalangan mereka sendiri sudah ambik usaha yang suci murni ini.
Usaha kita tak mahu bergaduh atau bertelingkah dgn sesiapa. Biar lah hati kita lebur berderai krn agama, tapi tetap lah kita menjaga hati saudara seIslam kita.
boleh la rujuk bahan bacaan tambahan
http://al-ghari.blogspot.com/2011/10/siapa-sebenarnya-wahhabiy-buku-kajian.html

Dr. Bentara said...

apa2 dari jasad Rasulullah ada keberkatan.

Siapa le yang sanggah tu agaknya?

Ziarah76 said...

Dr. Ben,
ya, usaha agama cari nabi bawa keberkatan juga

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails