Biografi Imam al-Bukhari adalah buku sulung keluaran Institut Kajian Hadis Selangor (Inhad). Ia dirasmikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah al-Haj ibni alMarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sempena sambutan Maal Hijrah tahun 1432H bersamaan 18 Disember 2009.
Sultan Selangor telah mengilhamkan penghasilan buku ini atas titah baginda kepada KUIS setelah baginda pulang daripada lawatan mencemar duli ke Uzbekistan dua tahun lalu. Sementelahan baginda gagal menemukan satu buku biografi lengkap mengenai Imam al-Bukhari dalam Bahasa Melayu.
Buku biografi ini adalah persembahan sintesis kajian keperpustakaan terhadap himpunan data yang terdapat mengenai Imam al-Bukhari. Ia bersumberkan gabungan legasi ilmiah Islam berbahasa Arab klasik imam-imam muktabar dan penulis-penulis semasa.
Penterjemahan maklumat digarap dengan pendekatan prosa moden yang memudahkan para pembaca mengerti perjalanan hidup ilmiah tokoh hadis yang hidup pada abad ke-3 hijrah ini.
Penterjemahan maklumat digarap dengan pendekatan prosa moden yang memudahkan para pembaca mengerti perjalanan hidup ilmiah tokoh hadis yang hidup pada abad ke-3 hijrah ini.
Imam al-Bukhari, Abu Abdullah, Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin al-Mughirah bin Bardizbah al-Ju'fi al-Bukhari (194H-256H) adalah seorang tokoh hadis yang paling unggul dalam sejarah perkembangan ilmu Hadis sehinggalah ke hari ini, ketokohan beliau masih tiada tolok bandingnya.
Anak kelahiran Wilayah Bukhara ini terkenal dengan karya agungnya Sahih al-Bukhari yang dinobatkan sebagai kitab kedua paling sahih selepas al-Quran.
Anak kelahiran Wilayah Bukhara ini terkenal dengan karya agungnya Sahih al-Bukhari yang dinobatkan sebagai kitab kedua paling sahih selepas al-Quran.
Sehingga ke hari ini karya beliau masih berbisa dan relevan di kalangan cendekiawan Islam dan masih berdaya menjadi inspirasi penghasilan lebih banyak karya-karya ilmiah yang bermutu tinggi.
Justeru, Biografi Imam al-Bukhari diterbitkan dalam bahasa Melayu agar dapat mendedahkan keperibadian tokoh ini dengan lebih terperinci kepada lebih ramai pembaca di kalangan masyarakat Malaysia.
Dengan berbuat demikian diharapkan ia dapat menjadi idola inspirasi mereka dalam usaha menyuburkan jiwa penyelidikan sejati di era ledakan maklumat ini untuk membawa negara ke satu tahap yang lebih maju dengan menginovasikan teladan kaji selidik dan kaedah pemprosesan maklumat yang diaplikasikan oleh Imam al-Bukhari.
Jika beliau boleh mengkaji seterperinci itu lebih 10 kurun lalu dengan segala kepayahan dan segalanya secara manual, maka, adalah sesuatu yang mengaibkan bagi kita untuk berpeluk tubuh sedangkan kita hidup dalam progres kemajuan teknologi maklumat yang paling pantas.
Seharusnya, kita mampu berdaya saing dalam penghasilan ilmu pengetahuan dan teknologi global. Perkara yang paling memalukan ialah jika kita masih di takuk lama sebagai penerima maklumat pasif tanpa dikaji secara terperinci seperti yang mampu dilakukan oleh Imam al-Bukhari walaupun beliau hidup pada zaman yang serba-serbinya sangat terbatas.
Perkongsian maklumat mengenai beliau bermula dengan fakta asal-usul, kelahiran, sifat fizikal, aspek ibadah, keperibadian dan akhlak beliau. Kemudian fokus tertumpu kepada kekuatan mental beliau yang sangat mengagumkan sehingga tersenarai antara orang yang diiktiraf memiliki memori fotografi di dalam Wikipedia di bawah bab Photographic Memory.
Kemungkinan besar besar beliau seorang sinestetik yang biasa terjadi setelah seseorang sembuh daripada buta atau pekak sementara seperti yang dialami oleh beliau ketika masih kecil.
Keistimewaan ini banyak membantu beliau membentuk kaedah tersendiri dalam bidang pengajian dan pengkajian ilmu-ilmu Islam semasa yang wujud ketika itu. Ia lebih berasaskan pembelajaran langsung (face-to-face) terutamanya dalam bidang hadis yang sangat memerlukan kekuatan daya ingatan.
Beliau memanfaatkannya dengan berguru sebanyak mungkin ulama semasa pada zaman itu. Beliau dikatakan mempunyai 1018 orang guru; antara tokoh penting disenaraikan di dalam bab Guru-guru Imam al-Bukhari.
Kelebihan ini juga membuatkan beliau muncul sebagai seorang prodigi yang cukup luar biasa sehingga diberi kepercayaan untuk mengajar seawal usianya 17 tahun lagi oleh gurunya. Faktor-faktor ini juga telah menarik berpuluh-puluh ribu orang berguru dengannya. Sambil belajar dan mengajar, beliau gigih berkarya dalam pelbagai bidang agama terutamanya fikah, ilmu kalam dan hadis.
Karya teragung beliau sudah tentulah Sahih al-Bukhari. Keperibadian, kepakaran dan karya-karya beliau mendapat penerimaan baik dan pujian melambung dari kebanyakan ulama.
Beliau menghembuskan nafas terakhir di Khartank, Samarkand pada 1 Syawal 256H bersamaan 31 Ogos 870M. Begitu bermakna hidup beliau dan amal jariahnya terus berjalan menghasilkan pahala yang berterusan sehingga ke saat ini.
Secara keseluruhannya, buku ini merupakan satu penulisan akademik berbahasa Melayu yang berformat laporan kajian dengan fakta-fakta terperinci tetapi padat; tidak meleret-leret sehingga membosankan dan terdapat banyak foto-foto menarik yang menghiburkan sepanjang pembacaan anda.
-Buku tersebut berharga RM80 senaskhah di pasaran. Artikel di atas adalah copy paste.
No comments:
Post a Comment