Wednesday, May 20, 2009

Menjaga wanita Islam dengan baik

PADA waktu ini, gerakan pejuang hak asasi wanita di barat semakin melebarkan pengaruhnya hingga terdapat segelintir wanita Islam turut terikut-ikut dalam perjuangan yang tak tentu hala itu hingga ada wanita yang mahu menjadi imam dalam solat Jumaat.

Perjuangan mereka antaranya untuk mendapatkan hak yang sama dalam serba serbi dengan kaum lelaki padahal hak-hak wanita sentiasa dipelihara dalam Islam.
Dengan menyalahgunakan kebebasan bersuara dan berpersatuan, agenda perjuangan songsang seperti ini diteruskan di kebanyakan negara Islam termasuk Malaysia dengan bertopengkan badan menjaga hak wanita Islam. Sedangkan dalam Islam, wanita tidak sekali-kali ditindas bahkan ditinggikan kedudukan mereka. Misalnya, sebelum kedatangan Islam pada zaman jahiliyah, wanita ditindas, bayi perempuan dibunuh, dipandang rendah, namun apabila Islam datang maka wanita Islam ditinggikan darjatnya dan tiada lagi segala perbuatan jahiliah.
Bahkan manusia pertama yang mati syahid pada zaman Nabi Muhammad s.a.w adalah wanita iaitu Sumaiyah r.a. Manusia pertama yang memeluk Islam pada zaman itu juga adalah wanita iaitu Khadijah r.a.
Bagaimanapun, disebabkan salah faham tertentu, segelintir wanita Islam terpengaruh dengan perjuangan barat, dan lebih dibimbangi ia menyerap dalam masyarakat ekoran kesan globalisasi.
Keadaan lebih meruncing kerana mengikut rekod bukan sedikit wanita atau remaja Islam yang murtad (masuk kristian) akibat jatuh cinta dengan lelaki bukan Islam.
Justeru, saya berpendapat amat penting untuk kita menyemarakkan kesedaran terhadap kepentingan umat Islam (lelaki dan wanita) untuk banyak membaca atau menghasilkan bahan bacaan yang menjelaskan bagaimana wanita amat dimuliakan dalam Islam.
Tidak betul juga jika kita yang diberi kemudahan untuk menulis seperti dalam blog atau apa-apa juga saluran hanya bersuka ria dengannya, tetapi tiada apa-apa usaha untuk sedikit sebanyak mengetengahkan, membangkitkan kesedaran dan membantu mengatasi masalah ini mengikut kemampuan dalam tulisan kita.
Lelaki-lelaki Islam perlu disedarkan untuk menjadi benar-benar lelaki dengan mentaati perintah Allah mengikut sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Menjaga wanita-wanita Islam kita dengan baik adalah perintah Allah dan sunnah Nabi s.a.w. Wallahualam.

Di bawah adalah antara contoh bahan bacaan yang baik jika dibaca yang diambil dari ummu-fatimah:
'Kasihnya Allah Pada Wanita'
"Keistimewaan yang Tuhan berikan kepada wanita terlalu banyaknya". "Kasihnya Tuhan kepada wanita!" Itulah kata-kata yang paling mudah digunakan untuk menggambarkan 'layanan' istimewa terhadap wanita dalam Islam. Sesungguhnya, tidak akan ada mana-mana ajaran, ideologi, isme atau agama lain yang dapat melayan wanita dengan sebegitu baik sepertimana Islam melayan wanitanya. Malah, kalau bergabung pun kesemua wanita yang cerdik pandai, berharta dan berkuasa di seluruh dunia ini untuk menambah hak dan pengiktirafan buat mereka, mereka pasti tidak akan mencapai taraf kemuliaan serta layanan baik yang Allah SWT tawarkan buat seorang wanita di dalam Islam.
Namun, ramai wanita yang tidak memahami hal ini. Lantaran itu kebanyakan mereka tertipu oleh nafsu sendiri dan merasa terkongkong dengan amalan atau larangan tertentu yang digunakan ke atas wanita Islam seperti amalan menutup aurat, larangan bergaul bebas, poligami, larangan wanita menjadi pemimpin dan lain-lain lagi. Mereka cukup takut dan gerun dengan kesemua amalan atau larangan yang dianggap sangat menindas wanita. Walhal kalau dikaji setiap satu amalan atau larangan itu, mudah sahaja untuk melihat hikmah dan kebaikannya kepada kaum wanita itu sendiri.
Lalu kita melihat apa yang diperjuangkan oleh pejuang-pejuang hak wanita ialah mereka kalau boleh tidak mahu sebarang sekatan dikenakan ke atas mereka. Tentulah ini tidak munasabah. Sedangkan manusia sendiri banyak membuat peraturan-peraturan serta larangan itu dan ini, atas alasan hendak menjaga keselamatan diri atau masyarakat awam. Contohnya, dalam soal lalu-lintas, terlalu banyak peraturan dan larangan yang manusia buat seperti jangan memandu melebihi had laju, tidak boleh letak kereta di garisan kuning, mesti berhenti apabila ada isyarat lampu merah, mesti hidupkan lampu selepas pukul 7 malam dan berbagai-bagai lagi. Kalau dalam bidang sekecil ini pun perlu banyak peraturan dan larangan, sudah tentulah dalam bidang kehidupan lebih memerlukan lagi, dan lebih-lebih lagilah kalau skopnya itu jauh lebih luas iaitu untuk keselamatan dunia dan Akhirat.
Tuhan sebenarnya sangat kasih dan memuliakan kaum wanita. Segala suruhan dan larangan yang Tuhan kenakan ke atas kaum wanita tidak lain dan tidak bukan ialah untuk memastikan keselamatan dirinya dan masyarakat dan sekali-kali bukan untuk menyusahkan mereka. Tetapi, atas hujah dan alasan apa dakwaan ini dibuat? Mari kita lihat satu persatu pengiktirafan yang diberikan oleh Tuhan kepada wanita, sama ada setara langsung atau pun tidak.
i) Gelaran bagi `isteri' di dalam Al Quran
Perkataan yang Allah SWT gunakan di dalam Al Quran untuk menunjukkan suami atau isteri adalah perkataan yang sama, sedangkan dalam bahasa- bahasa lain, perkataan untuk suami dan perkataan untuk isteri menggunakan dua perkataan yang berbeza. Misalnya, dalam bahasa Inggeris, perkataan untuk suami ialah `husband' manakala perkataan untuk isteri ialah `wife'. Sementara dalam bahasa Perancis pula, perkataan untuk suami ialah `mari' manakala perkataan `femme' untuk isteri.
Tetapi di dalam Al Quran, suami dan isteri tidak disebut dua perkataan yang berbeza `zaujuh' dan `zaujati'. Hanya satu perkataan yang digunakan untuk kedua-duanya iaitu `zaujuh' yang bermakna `pasangan'. Islam melihat suami dan isteri adalah pasangan, penutup dan juga pelindung buat yang lain. Mereka dilihat sebagai sepasang, bukan berasingan. Sudah tentulah ini bermakna yang kaum lelaki di dalam Islam tidak dianggap lebih mulia daripada kaum wanitanya. Apabila kita mengatakan sepasang kaca mata, sepasang stokin atau sepasang baju, tentulah kita menganggap mereka setara dan tidak dapat dipisahkan di antara satu sama lain. Dan sudah tentulah kita tidak menganggap yang stokin kanan lebih hebat daripada stokin kiri atau kaca mata kanan lebih baik daripada kaca mata kiri. Begitulah tamsilannya sepasang suami isteri di dalam Islam seperti yang tercatat di dalam Al Quran.
Namun, gelaran zaujuh ini hanya diberikan kepada isteri yang sama beriman. Bagi isteri yang tidak beriman, mereka tidak disebut zaujuh. Contohnya, isteri Nabi Lut dan isteri Nabi Nuh. Di dalam Al Quran, mereka disebut 'imraah', kerana isteri sebegini tidak dianggap pelengkap, pelindung atau penutup kepada suaminya.
ii) Pembelaan Rasulullah SAW Terhadap Wanita
Rasulullah SAW ada banyak menyatakan Hadis-Hadis yang menunjukkan betapa wanita itu dimuliakan di dalam Islam. Antaranya:
a. "Syurga di bawah telapak kaki ibu." Apakah wanita tidak rasa mulia dengan Hadis ini? Mengapa Rasulullah SAW memilih perkataan "di bawah telapak kaki" dan bukan "di dalam tangan" atau "di sisi" seorang ibu? Sudah tentu ini sangat menggambarkan mulianya seorang wanita di dalam Islam. Seorang yang faham tentu akan sangat memandang mulia, menghormati, membela serta berlumba-lumba untuk berkhidmat dan meng'hamba'kan diri kepada ibunya (dengan syarat segala yang dibuat itu tidak melanggar syariat). Tidakkah beruntung menjadi seorang ibu di dalam Islam? Dia tidak akan terbiar dan dipinggirkan, malah akan sentiasa dibela, dihormati dan dimuliakan oleh anak-anaknya.
b. "Orang yang paling baik dari antara kamu itu ialah yang paling baik kepada isi rumahnya, dan aku ini orang yang paling baik dari antara kamu kepada isi rumahku."
c. "Tidak akan memuliakan perempuan-perempuan melainkan orang yang mulia, dan tidak menghina akan perempuan-perempuan melainkan orang yang hina."(Hadis riwayat Ibnu `Asakir)
d. "Bergaullah kamu dengan isteri-isteri kamu dengan cara yang sopan. Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak."
e. "Janganlah seorang mukmin lelaki membenci kepada seorang
(isterinya yang) mukminah, kerana walaupun ada satu perangainya yang lelaki itu tidak suka, tetapi (tentu) ada lain perangainya yang ia suka."(Hadis riwayat Ahmad dan Muslim)
Demikianlah hak-hak istimewa seorang wanita yang diberi oleh Islam. Dalam satu masyarakat yang bertaqwa, kaum wanita tidak perlu bimbang yang mereka akan diperleceh, dipermain atau diperkotak-katikkan oleh kaum lelaki, sebaliknya mereka boleh yakin bahawa pihak lelaki akan sentiasa melindungi, menasihati, menegur dan membimbing mereka dengan ikhlas.
iii) Bahagian Tubuh Wanita Dianugerahkan Nama yang Mulia
Dalam tubuh wanita, ada satu bahagian yang diberi nana yang begitu mulia iaitu rahim. Perkataan ini diambil dari nama Tuhan, yang bermaksud `Maha Penyayang'. Sudah tentulah Tuhan tidak akan memberikan nama yang semulia ini kepada sesuatu yang hina di sisi- Nya. Sudah tentu Tuhan akan memilih sesuatu yang mulia juga untuk dianugerahkan nama yang begitu mulia. Tuhan tidak berikan nama yang semulia ini kepada bahagian tubuh lelaki tetapi Dia memberikannya kepada bahagian tubuh wanita. Rahim inilah yang merupakan penghubung kepada makhluk. Di dalam rahimlah, wanita menjaga ciptaanTuhan dan memberi makan kepada apa yang Tuhan ciptakan.
Kaum wanita sepatutnya merasa sangat malu kepada Tuhan kerana memberi penghargaan yang begitu tinggi kepada mereka. Siapa boleh nafikan kepentingan rahim untuk kewujudan manusia? Anugerah rahim kepada wanita sebenarnya sudah cukup untuk membuktikan akan mulianya wanita di sisi Tuhan.
iv) Diberi Pahala yang Berterusan
Wanita disebut `kurang dari sudut agama', tetapi ini bukan bermaksud yang wanita itu kurang dari sudut iman dan taqwanya. Mereka cuma kurang bersolat ketika datang haid dan nifas. Namun, oleh kerana di waktu-waktu lain mereka sentiasa bersolat, maka sepanjang waktu haid dan nifas itu, Tuhan tetap memberikan juga pahala solat sekiranya mereka dapat bersabar dengan keadaannya yang tidak selesa itu.
Bayangkan seorang wanita yang baru melahirkan anak. Sudahlah digugurkan dosa-dosanya seperti seorang bayi yang baru lahir, diberikan pula pahala solat percuma sepanjang dia dalam keadaan nifas. Dan kalau dia sabar menyusu, memelihara dan melayan kerenah anaknya pula, makin banyaknya pahala yang Tuhan sediakan untuknya.
Aduh! Maha Pemurahnya Tuhan kepada wanita. Maha Baiknya Tuhan kepada golongan yang sering dianggap lemah dan terpinggir ini! Kalaulah wanita-wanita pejuang hak asasi itu tahu begini sekali ganjaran- ganjaran yang Tuhan berikan kepada seorang wanita mukminah, pastilah mereka akan meninggalkan perjuangan mereka. Tidak ada apa-apa lagi hak yang perlu diperjuangkan oleh seorang wanita mukminah. Yang Tuhan tawarkan itu pun sudah terlampau banyaknya.
---Diambil daripada ummu-fatimah

4 comments:

eksp said...

ramai orang salah anggap konsep adil itu dengan konsep samamereka nak hak yang sama antara laki dan perempuan... di mana kalau laki boleh tunjuk rambut, depa pun nak tunjuk rambut.. laki boleh pakai seluar pendek.. depa pun nak ikut jugak...

lagi sesat, laki jadi imam solat jumaat... mereka pun nak jugak?

sedangkan sama, tak semestinya adil...

manakan boleh ekzos diletakkan bersebelahan enjin depan... tempat ekzos, mesti kat belakang, atau atas (kalau bas, dengan muncung ke belakang)..

... tapi tak bermaksud ekzos itu kurang penting dari enjin.....

Ziarah76 said...

eksp,
betul ustaz. Dengan mematuhi perintah Allah dan sunnah nabi s.a.w, maka wanita terus menikmati keadilan dan kesaksamaan yg sebenar-benarnya.

Unknown said...

Salam....no komen... xda masturat lg....ha3

Ladyship Atie said...

equity and equality are two different things.

Allah dah bagi kemudahan pd wanita untuk duduk goyang kaki, biar lelaki islam je yg buat most things, wanita hanya perlu bagi sokongan.

tapi mereka tak faham bnd tu, sbb hakikatnya kebanyakan lelaki muslim sekarang tak tunjukkan yg mereka sedang menjalankan tugas. even lelaki lagi teruk perangai daripada wanita in some cases.

bukan kutukan terhadap lelaki, tapi kesalan terhadap some muslim guys yg tak bertanggungjawab.

*sigh*

allahua'lam

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails