Monday, October 20, 2008

Ziarah erat hubungan

AMALAN berziarah sememangnya amalan yang amat dituntut oleh Islam. Amalan berziarah dapat mengukuhkan ukhuwah di samping kita dapat mengambil berat tentang keadaan insan lain serta keluarga mereka terutamanya golongan fakir miskin, orang sakit atau orang yang baru meninggal dunia. [Baca selanjutnya...]

Dalam menjalani kehidupan ini, manusia dijadikan Allah untuk saling bergantung antara satu sama lain dalam usaha memenuhi keperluan fizikal, mental, emosi dan rohani. Amalan berziarah pada umumnya dapat memenuhi keperluan emosi dan rohani insan.
Ketika berziarah, dengan bersalaman, bermaafan serta bertukar-tukar khabar, kita dapat berkongsi rasa lalu mampu memberikan ketenangan emosi buat diri. Amalan berziarah memberikan peluang kepada anggota masyarakat untuk saling mengenali (lita’arafu) serta mewujudkan perpaduan di kalangan umat.
Andai dapat juga berkongsi nasihat, tazkirah atau menjalankan dakwah serta saling mendoakan kesejahteraan maka hal ini turut meningkatkan aspek kerohanian dan membawa keberkatan.
Syawal Peluang Untuk BerziarahKeunikan perayaan Aidilfitri pada bulan Syawal yang mulia ini menyediakan peluang terbaik untuk kita saling menziarahi antara satu sama lain. Ini kerana pada ketika ini proses komunikasi akan dapat berlaku dengan lebih terbuka.
Situasi tersebut juga dibantu dengan perasaan kegembiraan menyambut Aidilfitri secara kolektif di kalangan umat Islam. Di samping itu, setiap individu juga seolah-olah mempunyai perspektif yang sama iaitu lebih bersedia untuk menerima dan meraikan kehadiran tetamu ke rumah berbanding hari-hari biasa di bulan yang lain.
Namun begitu, terdapat sebilangan remaja hari ini yang lebih cenderung untuk menonton rancangan televisyen kegemaran, bermain permainan komputer atau melayari internet di rumah daripada mengikuti ibu bapa menziarahi sanak saudara.
Antara faktor berlakunya situasi sedemikian adalah kerana kurangnya penerapan terhadap pengamalan budaya kunjung mengunjung. Faktor tarikan hiburan multimedia yang tersedia turut mempengaruhi corak aktiviti seharian anak-anak lalu ada yang lebih leka dengan hiburan tersebut.
Justeru, asuhan ibu bapa adalah penting dalam usaha menerapkan amalan berziarah di kalangan anak-anak kerana ibu bapa adalah orang yang paling dekat dengan anak-anak sepanjang tempoh mereka membesar.
Pertamanya, nilai kekeluargaan dalam sesebuah keluarga nukleus itu perlu disuburkan dan kemudiannya diperluaskan kepada keluarga besar yang merangkumi datuk, nenek dan sanak saudara yang lain.
Kaedah terbaik adalah dengan membawa mereka menziarahi kaum keluarga atau sahabat handai. Maka, para ibu bapa sendiri perlu melaksanakan amalan berziarah agar menjadi contoh ikutan buat anak-anak.
Apabila ibu bapa melakukan ada memberi salam sebelum masuk, bersalaman serta bermaafan dengan tuan rumah, dan sebagainya, anak-anak juga perlu dididik untuk melakukan perkara yang sama.
Oleh itu, usaha penerapan adab dan santun semasa berziarah terhadap anak-anak dapat berlaku melalui proses pemerhatian anak-anak terhadap tingkah laku ibu bapa sebagai model contoh, proses pengulangan sehingga menjadi kebiasaan, dan juga melalui diskusi penerangan oleh ibu bapa mahupun teguran ibu bapa kepada anak-anak.
Ziarah Si Kanak-KanakBagi sebilangan kanak-kanak pula, amalan berziarah seringkali ditanggapi sebagai peluang untuk mereka mendapatkan ‘duit raya’ sebanyak mungkin. Oleh itu, sesetengah kanak-kanak bergerak secara berkumpulan dan melawat dari rumah ke rumah orang lain walaupun tuan rumah tersebut tidak dikenali atau di luar mukim mereka.
Sememangnya di kala lebaran ini di Malaysia, kebanyakan pihak tuan rumah beragama Islam bermurah hati untuk memberi ‘duit raya’ kepada kanak-kanak yang datang melawat. Namun sebenarnya kanak-kanak perlu diberikan penjelasan oleh ibu bapa tentang maksud sebenar amalan berziarah serta adab dan santun yang perlu dipatuhi.
Pada masa yang sama, ibu bapa juga perlu memikirkan soal keselamatan anak-anak yang pergi berziarah kerana mereka mungkin bakal terdedah kepada risiko kemalangan, pengaruh negatif rakan sebaya atau ancaman jenayah seperti kecurian, peras ugut, rogol ataupun penculikan.
Justeru, pertimbangan ibu bapa untuk memberi kebenaran kepada anak-anak untuk berziarah perlu mengambil kira faktor keselamatan berkenaan ke mana destinasi yang hendak diziarahi, dengan siapa mereka pergi, apakah kenderaan yang dinaiki, dan lain-lain yang berkaitan.
KesimpulanAmalan berziarah tidak hanya terbatas untuk dilakukan dalam bulan Syawal tetapi turut dituntut untuk dilaksanakan dari semasa ke semasa. Manfaatnya, perpaduan di kalangan umat Islam dapat sentiasa terpelihara di samping ia berperanan sebagai medium dakwah yang berkesan dalam mendekati segenap lapisan masyarakat.
Dalam pada kita melaksanakan amalan berziarah, adalah perlu untuk kita mengambil kira soal keselamatan, adab sebagai tetamu serta adab pergaulan antara berlainan jantina.
Harapan kita agar usaha ziarah yang dilakukan akan berhasil mengeratkan ukhuwah, membawa keberkatan dan kesejahteraan, serta menjadi ibadah yang diterima Allah, insya-Allah.
Dipetik daripada:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1009&pub=utusan_malaysia&sec=bicara%5Fagama&pg=ba_02.htm&arc=hive>

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails