Tuesday, October 21, 2008

Adakah kita kedekut?

SEORANG ulama, Hadrat Syibli (rahmatullah alaih) berkata: "Satu ketika hatiku berkata kepadaku, 'Kamu ini bakhil, kedekut.' Tetapi nafsuku berkata, 'Tidak aku tidak kedekut.' Tetapi hatiku tetap mengisytiharkan, " Kamu memang kedekut.'[Baca selanjutnya...]

Untuk menguji hal itu aku berazam, apa sahaja aku dapat dari mana-mana, tak kira berapa banyak jumlahnya, maka aku akan memberikan kesemuanya kepada fakir yang aku temui paling awal. Sebelum aku dapat sempurnakan keazaman dalam hatiku maka datang salah seorang yang memberikan 50 dinar kepadaku sebagai hadiah. Mengikut niat dan keazaman, akupun keluar untuk mencari fakir. Paling awal aku jumpa seorang fakir yang buta, sedang mengambil perkhidmatan seorang tukang gunting. Aku memberikan kesemua 50 dinar kepadanya. Dia berkata, "Berilah kesemua kepada tukang gunting ini sebagai upah perkhidmatannya." Aku berkata, "Di sini ada lima puluh dinar. Takkan begitu banyak wang patut diberi sebagai upah tukang gunting!" Si buta itu mengangkat kepalanya lalu berkata, "Tidakkah aku berkata bahawa kamu ini kedekut!."
Lekas-lekas aku memberi kesemua wang kepada tukang gunting. Tetapi dia menolaknya sambil berkata, "Minta maaf, ketika si buta duduk untuk bergunting aku melihat kepadaanya susah dan berniat untuk memberi perkhidmatan secara percuma." Mendengar kata-kata kedua-dua orang itu, aku dikuasai oleh perasaan amat malu dan harga diri sehingga aku membuang uncang 50 dinar itu ke dalam sungai sambil berkata: "Sesiapa yang memberi ruang dalam hatinya walaupun sedikit sahaja rasa kedekut, maka beginilah Allah menghinakannya."

Keterangan: Sifat bakhil, tamak dan kedekut adalah sifat tercela.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails