SATU ketika Hadrat Jibril a.s telah mendatangi Baginda Rasulullah s.a.w lalu berkata: "Wahai Nabi, selama mana pun tuan hidup di dunia namun satu hari nanti tuan mesti meninggal dunia. [Baca selanjutnya...]
Apa sahaja amalan yang tuan lakukan pasti akan menerima balasannya. Dengan sesiapa sahaja tuan melakukan perhubungan (di dunia) pasti akan terpisah darinya. (Baik kerana kematiannya atau kewafatan tuan). Ketahuilah bahawa ketinggian seseorang adalah dalam mengerjakan solat tahajud. Kemuliaan seseorang adalah dalam Istighna (sikap tidak berhajat) dari orang." (Daripada kitab Targhib).
Keterangan: Solat tahajud adalah amalan yang akan meningkatkan darjat seseorang Islam dan ia adalah amalan nabi-nabi dan orang-orang soleh. Dalam hadis yang lain Nabi pernah bersabda, solat tahajud adalah cahaya dalam kubur. Rasulullah juga pernah bersabda jika tidak kerana ditakuti akan memberatkan nescaya baginda akan mewajibkan solat tahajud. Istighna adalah sikap tidak meminta-minta dan berasa cukup dengan apa yang diperoleh hingga tidak terjerumus kepada kehinaan dengan meminta-minta kerana dorongan nafsu. Orang yang mempunyai sikap ini adalah mulia dan berasa kaya kerana menganggap apa yang ada sudah memadai dan mencukupi. Tetapi jika tidak memiliki sikap ini maka seseorang tidak akan berasa cukup walaupun harta satu dunia diberikan kepadanya. Akhirnya dia jatuh ke lembah kehinaan. Wallahu alam.
No comments:
Post a Comment