Tuesday, October 21, 2008

3 lelaki terperangkap dalam gua

DARIPADA Abdullah Bin Umar r.a telah berkata, bahawa aku telah mendengar Rasullulah s.a.w telah bersabda: Dari kalangan umat sebelum kamu ada tiga orang yang telah keluar (bersafar) bersama-sama. (Mereka berjalan sehingga waktu malam) dan memasuki sebuah gua untuk bermalam di situ. Maka pada waktu itu satu batu besar telah jatuh dari bukit dan telah menutupi pintu gua itu. (Melihatnya mereka telah berkata:) Kita hanya akan terselamat keluar dari batu ini hanya dengan berdoa kepada Allah taala dengan perantaraan amal soleh masing-masing. (Maka mereka telah berdoa dengan perantaraan amalan soleh masing-masing).
Seorang telah berkata dalam doanya: Ya Allah Engkau sememangnya mengetahui bahawa kedua ibu bapaku telah terlalu tua. Aku tidak akan memberi susu kepada ahli keluarga dan hamba-hambaku sebelum mereka. Pada suatu hari aku telah keluar jauh untuk mencari sesuatu. Bila aku pulang maka ibu dan ayah telah tidur. (Pun begitu) aku telah susu mereka untuk petang itu. (Aku telah meletakkannya dalam mangkuk dan membawanya kepada mereka). Aku telah melihat mereka (pada waktu itu) masih lagi tidur. Aku tidak suka mengejutkan mereka dan aku juga tidak sanggup untuk memberi susu itu kepada ahli keluarga dan hambah-hamba ku untuk mereka minum. Lalu aku memegang mangkuk susu dan berdiri berhampiran kepala mereka dan menunggu mereka bangun sehingga lah pagi. Mereka pun bangun (lalu aku telah memberi susu itu). Pada waktu itu, baru lah mereka minum susu untuk malam itu. Ya Allah!, jika aku melakukan perkara ini, untuk keredhaanMu, maka selamatkan lah kami dari musibah kerana batu ini. Kerana doa ini, batu itu telah bergeser sedikit, akan tetapi masih tidak memadai untuk mereka keluar.
Rasulullah s.a.w bersabda lagi: Orang kedua telah berdoa; Aku mempunyai seorang saudara sepupu perempuan yang sangat aku sayangi. Aku (pada satu kali) telah ingin melepaskan syahwatku padanya. Akan tetapi dia tidak menyanggupinya, sehinggalah sampai satu masa musim kemarau yang telah mendesaknya datang (kepadaku). Aku telah memberinya 120 dinar dengan syarat dia datang kepadaku berseorangan diri. Dia setuju sehinggalah aku berkuasa penuh kepada dirinya (dan nyaris-nyaris sahaja aku melepaskan nafsu syahwatku) maka dia telah berkata aku rasa tidak halal bagi kamu untuk memecahkan mohor tanpa hak. (Mendengarnya,) aku telah berhenti dari niat jahat ku itu dan akau telah menjauhkan diriku darinya walaupun aku sanga-sangat kasihkannya. Aku juga telah membiarkan 120 dinar yang telahku beri kepadanya. Ya Allah jika aku mengerjakan ini untuk keredhaanMu maka selamatkan lah kami daripada musibah ini. Maka batu besar itu bergeser sedikit lagi, tetapi masih tidak memungkinkan lagi untuk keluar.
Orang ketiga telah berdoa: Ya Allah! aku telah mengupah beberapa orang pekerja. Semuanya telah ku berikan upahnya kecuali seorang yang telah pergi tanpa mengambil upahnya. Aku telah memperniagakan wang upahannya itu sehinggakan telah berlaku penambahan harta yang terlalu banyak. Selepas beberapa lama, pada suatu hari orang itu telah datang lalu berkata: Wahai hamba Allah! Berilah upah kepadaku. Aku telah berkata: Unta-unta, lembu-lembu, kambing-kambing dan hamba-hamba yang kami nampak ini semuannya adalah upah kamu. Yakni wang upahanmu itu aku telah niagakan dan inilah hasilnya. Orang itu berkata:, Wahai hamba Allah!, jangan lah bergurau. Aku berkata: “Aku tidak bergurau, (“aku sedang menceritakan perkara yang sebenar”). Maka (selepas penjelasanku ini) orang itu membawa semua harta itu, sedikitpun tidak ditinggalnya. Ya Allah! jika perkara ini aku lakukan semata-mata untuk redhaMu maka jauhkan lah kami daripada musibah yang menimpa kami ini. Maka, batu itu terus berganjak (dan pintu gua telah terbuka) dan semuanya telah keluar. (-Hadith riwayah Bukhari).

Pengajarannya: Hendaklah kita ikhlas kepada Allah sama ada dalam melakukan sesuatu atau meninggalkan sesuatu perkara. Hendaklah kita memperbanyakkan amal soleh kerana dengannya akan membantu kita di dunia dan akhirat. Amal soleh boleh menjadi asbab untuk kita memohon dan berdoa kepada Allah. Tiga lelaki itu menunjukkan mereka menjaga hubungan sesama manusia semata-mata kerana Allah. Lelaki pertama dalam hal akhlaknya terhadap hubungan sesama keluarga di mana dia begitu mengambil berat terhadap ibu bapanya. Lelaki kedua ialah dalam bab hubungan muasyarat yakni hubungan sosial antara manusia, masyarakat, lelaki dan wanita dan sebagainya. Dia menjaganya supaya tidak melakukan sesuatu yang haram iaitu berzina. Lelaki ketiga ialah dalam hubungan muamalat, yakni perniagaannya, kerjanya, hutang piutang dan untung ruginya betul-betul mengikut syarak sehingga dia memberi setiap keuntungan itu kepada pekerjanya.
Semoga kita dapat mengambil iktibar dengan mengamalkan dalam kehidupan kita amal soleh dan menjaga akhlak, muasyarat dan muamalat yang menepati syarak. Dengan cara itu, maka bantuan Allah akan datang kepada kita sebagaimana Allah bantu 3 lelaki tersebut. Wallahualam.

2 comments:

Anonymous said...

salaam

mohon diberi izin utk link cerita ne kat blog ana. jazakallahu khairan kathira.

Ziarah76 said...

InsyAllah boleh, tapi mohon supaya jgn lupa letak nama blog ini utk beri kredit pada akhir entry. Mari lah kita tolong menolong atas perkara agama. Jazakallah khair.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails