
BERITA penting dunia hari ini adalah berita malang umat Islam dizalimi apabila rejim Israel bertindak ganas dan zalim terhadap penduduk Palestin dengan membunuh lebih 310 orang dan mencederakan lebih 1,400 penduduk yang tidak berdosa termasuk anak kecil, wanita dan orang tua.
Operasi ‘Cast Lead’ tentera Israel yang dilancarkan kelmarin dikutuk oleh masyarakat dan pemimpin-pemimpin dunia, dengan terkecuali Presiden Amerika Syarikat, Barack Hussein Obama yang setakat ini memilih untuk berdiam diri.>BACA SELANJUTNYA!
Walaupun diketahui umum bahawa dasar luar AS amat menyebelahi Israel dan kepentingannya dari serba serbi - walau siapa pun presidennya - namun masih juga terdapat ramai pihak termasuk umat Islam yang berharap agar presiden baru itu dapat melakukan sesuatu bagi menamatkan kezaliman tersebut.
Memang memilukan apabila mengenangkan nasib penduduk Palestin tetapi lebih menyedihkan apabila umat Islam meletakkan harapan mereka kepada AS dan presidennya yang bukan Islam untuk berbuat sesuatu menyelamatkan orang Islam, apa lah malang nasib hina umat Islam kerana terpaksa bergantung kepada bukan Islam untuk memastikan keselamatannya sendiri. Umat ini sungguh menderita.
“Israel melakukan holocaust, sementara dunia hanya memerhati dan tidak berbuat apa-apa untuk menghentikannya,” kata jurucakap Hamas, Fawzi Barhum.

Dan jika isu Palestin-Israel dianggap sebagai cabaran besar kepada kepimpinan Obama maka masyarakat dunia juga perlu menerima hakikat bahawa masalah itu adalah akar umbi kepada masalah keganasan dan serangan berani mati yang berlaku di merata-rata pelusuk dunia.
Jika AS terus memekakkan telingga dan membutakan mata terhadap kezaliman Israel maka masyarakat barat khususnya yang mempunyai kepentingan dengan Israel terpaksa membayar harga yang mahal kerana terdedah kepada risiko berdepan dengan serangan-serangan berani mati, keganasan dan terrorisme.
Sama ada kita bersetuju atau tidak, terdapat pandangan mengatakan bahawa serangan pengganas lebih merbahaya dan memusnahkan berbanding serangan Israel.
Ini kerana ia boleh berlaku di mana-mana lokasi yang terdapat kepentingan AS, Israel dan sekutunya di seluruh dunia dengan jumlah kerosakan yang lebih besar namun serangan Israel mungkin mengebom lokasi di sekitar Palestin.
Ini dihangatkan lagi dengan kenyataan seorang ulama terkenal Arab Saudi, Sheikh Awad al-Qarni baru-baru ini yang mengeluarkan fatwa supaya serangan ke atas rakyat Israel dilakukan di mana-mana lokasi di dunia bagi membalas dendam berhubung serangan rejim Zionis di Gaza. Seperti dilaporkan dalam akhbar.
Kaitan antara isu Palestin dengan serangan berani mati dan pengganas bukan perkara baru dan diperkatakan umum termasuk oleh bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam tulisannya mengenai Terrorism. dan Gaza.
Tun tetap dengan pendiriannya bahawa isu Israel-Palestin adalah akar umbi kepada terrorism.
Justeru, jika isu itu tidak ditangani maka masalah keganasan dijangka berlarutan dalam tempoh yang lama. Jika keganasan dihentikan di wilayah Palestin maka keganasan yang berlaku di kawasan lain juga dihentikan oleh pengganas. Saya bersetuju dengan Tun.
Ini kerana adalah mudah untuk dipersetujui bahawa tindakan zalim Israel akan menyebabkan tindakan balas oleh mereka yang tertindas. Akhirnya apa yang berlaku ialah kezaliman dibalas dengan kezaliman dan keganasan akan disambut dengan keganasan - bertali arus.
Maka masalah itu tidak akan selesai dan berlarutan walaupun mengorbankan nyawa ribuan manusia tidak berdosa. Keadaan itu tidak ubah seperti zaman jahiliyah di mana orang Quraisy bergaduh dan berbunuh di antara puak dengan puak lain bertahun-tahun dan saling balas membalas dan menindas sesama sendiri. Namun pada zaman ini, skopnya
kepada lebih besar dan zionis terus membunuh orang tidak berdosa seperti mana sikap Yahudi zaman dahulu yang membunuh begitu ramai nabi-nabi.
Begitupun, sementara mengutuk keganasan rejim zionis, namun, sepatutnya umat Islam tidak bersetuju dengan mana-mana aktiviti keganasan termasuk serangan berani mati kerana tindakan membalas dendam atas dasar emosi dan kebencian yang meluap-luap bukan jalan penyelesaian kepada masalah yang kompleks itu. Ini kerana serangan berani mati itu pula akan menyebabkan orang yang tidak berdosa, wanita, kanak-kanak dan sebagainya terbunuh.
Tindakan serangan berani mati dilakukan di luar lokasi perang maka apa justifikasi terhadap membunuh di luar waktu itu, dan mangsanya pula orang tidak berdosa? Bukan sahaja bukan Islam menjadi mangsa, tetapi serangan sedemikian turut menjadikan orang Islam di sekitarnya terbunuh. Dan jika membunuh orang bukan Islam pula, perlu diingat bahawa bukan semua orang yahudi dan nasrani bersetuju dengan tindakan zionis. Malah ramai di kalangan bukan Islam termasuk orang Yahudi yang mengutuk tindakan Zionis. Ini termasuk penduduk Amerika Latin, Eropah, China, Jepun dan China yang mana mereka bukan Islam tetapi amat membenci dan tidak bersetuju dengan hegemony Amerika Syarikat yang sering bertindak unilateral dan diperalatkan oleh zionis serta Israel.

Perlu dibezakan perkara ini dan diketahui apa sebenarnya yang berlaku untuk mencari penyelesaian. Membalas keburukan dengan keburukan tentunya tidak menyelesaikan masalah. Lebih malang apabila sesuatu perkara dibuat kerana emosi semata-mata.
Pada hemat saya, saya tidak bersetuju dengan sebarang aktiviti keganasan, terrorism, serangan berani mati. Membunuh balik orang tidak berdosa hanya menjerumuskan umat Islam kepada keadaan jahiliyah. Sedangkan Nabi Muhammad s.a.w dan sahabat r.hum sendiri (walaupun) ketika perang tidak membunuh wanita, kanak-kanak dan orang tua dan mereka yang dalam rumah ibadat.
Dalam keadaan jahiliyah yang amat sangat, Nabi Muhammad s.a.w diberi wahyu dan dengan perantaraan usaha dakwah maka umat manusia dikeluarkan daripada kegelapan dan dibawa kepada agama yang hak dan manusia dibawa kepada kehidupan yang keselamatan di dunia dan akhirat. Umat Islam diberikan kemuliaan dan digeruni bukan Islam.
Bagi saya, jalan penyelesaian isu tersebut bukan terletak kepada bukan Islam kerana mereka terbukti tidak boleh menyelesaikan masalah orang Islam.
Justeru, mengharapkan Obama atau mana-mana pemimpin bukan Islam untuk menyelesaikan masalah itu adalah kesilapan dan umat Islam terdedah kepada penyelesaian sementara atau kesusahan yang bertimpa-timpa.
Umat Islam boleh menyelesaikan masalah itu kerana mereka dibekalkan dengan al-Quran dan Sunnah dan dengan sumber tersebut maka setiap masalah dapat diselesaikan. Apabila umat Islam berpegang teguh kepada sumber itu dengan betul maka jalan penyelesaian pasti ada. Bukan Islam tidak dibekalkan dua sumber itu.
Dalam satu hadis sahih, Hazrat Abu Hurairah r.a berkata, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila umatku membesar-besarkan dunia maka akan dicabut daripada mereka kehebatan Islam dan apabila mereka meninggalkan amar maaruf dan nahi anil mungkar maka mereka akan kehilangan keberkatan wahyu dan apabila mereka caci mencaci antara satu sama lain mereka akan gugur daripada pandangan Allah swt. (Riwayat Hakim dan Tirmidzi).
Antara perkara yang perlu dilakukan umat Islam seluruhnya ialah 1) tidak membesar-besarkan dunia, 2) melakukan kerja dakwah dan 3) elakkan daripada caci-mencaci antara satu sama lain.
1) Kerana kehidupan membesarkan dunia menjadikan orang Islam, negara Islam menjadi begitu materialistik dan disebabkan itu mereka terus terikat, bergantung harap kepada AS dan sistem kapitalis dunia. Hinggakan negara Islam dikurniakan banyak sumber minyak di bawah padang pasirnya tetapi negara itu menjadi sekutu rapat dengan negara yang berkawan baik dengan Israel untuk menjahanamkan Palestin.
Membesarkan bererti mengagung-agungkan dunia, akan melahirkan sikap cintakan dunia hingga jika diberikan satu lembah emas pun tidak akan cukup maka diinginkannya satu lagi lembah emas dan sebagainya hingga melupakan kepentingan agama dan usaha untuk membantu saudara seIslamnya. Sikap ini menjadikan umat Islam tidak lagi mengenal kawan dan lawannya sebenar. Rata-rata negara Islam hanya berdiam diri atau jika bercakap pun masih tidak mampu untuk bersatu untuk melakukan sesuatu secara bersama kerana takut terjejas negara dari segi ekonomi... etc mereka kerana musuh mereka adalah amat kuat.
Nabi mengajar para sahabat tidak sedikitpun ada kebesaran dunia dalam hatinya. Walaupun dua pertiga dunia berada di bawah tapak kaki sahabat namun mereka memandang dunia dalam keadaan hina dan tidak sekali-kali membesar-besarkan dunia. Begitupun tidak bermakna mereka meninggalkan dunia kerana zuhud itu bukan bererti meninggalkan perkara dunia tetapi dalam hati mereka tiada kecintaan kepada dunia walaupun kelazatan dunia ada di depan mereka.
Umat Islam kini tertipu kerana disangkanya jika ada kemewahan dan keduniaan maka kemuliaan akan datang kepada mereka tetapi sebenarnya kehebatan Islam telah tercabut daripada mereka. Di mata orang bukan Islam perkara itu tiada apa-apa kerana mereka telah lebih terdahulu kini mempunyai banyak perkara itu.
2) Secara umumnya usaha dakwah mengikut cara yang ditunjukkan oleh Baginda Nabi Muhammad s.a.w pada waktu ini ditinggalkan oleh umat Islam hingga umat Islam jatuh hina dina. Lebih malang bahawa, umat Islam sendiri menganggap usaha dakwah tidak perlu dilakukan padahal terlalu banyak gesaan dalam al-Quran dan Sunnah mengenai perkara ini yang dengan melakukannya maka orang Islam menjadi mulia di kalangan penduduk dunia dan langit. Disebabkan kebodohan umat Islam maka tiba-tiba orang yahudi dan nasrani pula aktif dalam usaha mubalighnya untuk mendakwahkan agama mereka sedangkan dalam ajaran agama mereka tiada gesaan untuk berdakwah. Nabi Isa a.s berkata kepada kaumnya "siapa di antara kamu yang sedia untuk membantu agama" maka muncul satu golongan hawariyun yang bersetuju untuk membantu. Mereka bersedia membantu agama selepas ditawarkan secara sukarela. Tetapi dalam al-Quran, Allah perintahkan, jadikan diri kamu pembantu agama Allah. Umat Islam seluruhnya adalah pembantu agama Allah yakni Islam dan dengannya semua bertanggungjawab kepada agama untuk berdakwah. Tetapi umat Islam meninggalkan usaha dakwah, maka mereka menjadi hina sehina-hina nya. Banyak firman Allah dan hadis nabi mengenai kepentingan dakwah.
Dan ia tidak dapat dinyatakan di sini kerana bimbang tulisan akan menjadi terlalu panjang. Pendek kata, perlu la kita lapangkan diri, masa dan harta kita di jalan Allah mengikut tertib yang ditentukan ulama.
Meninggalkan dakwah menjadikan umat Islam hilang keberkatan wahyu yakni walaupun al-Quran dan sunnah masih ada di depan mata tetapi mereka masih juga tercari-cari formula menyelesaikan masalah dan sumber itu ditafsirkan mengikut hawa nafsu dan kefahaman material dan keuntungan duniawi semata-mata. Agama hanya diikut apabila sesuai dengan nafsu dan adat sahaja.
3) Caci mencaci antara umat Islam menjadi penyakit yang lumrah dihidapi umat Islam masa kini hingga berlaku perpecahan, tidak bersatu padu, bermusuhan dan pelbagai musibah. Tiada rahmah meliputi umat Islam kerana perangainya yang tidak bersatu hingga satu dunia orang Islam tidak bersatu padu dan hanya mementingkan diri sendiri.
Apabila tiada rahmat maka tiada kasih sayang antara orang Islam dan saling membenci, dengki sesama Islam. Umat Islam lebih percaya kepada negara bukan Islam untuk dijadikan kawan berbanding negara Islam. Kedai bukan Islam lebih banyak dipercayai dikunjungi orang Islam berbanding orang Islam sendiri. Dalam negara pula orang Islam bergaduh antara satu sama lain hingga melemahkan umat itu sendiri dan menguatkan bukan Islam. Umat Islam di dunia adalah paling ramai bilangannya tetapi seperti buih di lautan. Dan dalam hadis, orang kafir diumpamakan seperti berpanggil-panggilan antara satu sama lain untuk memakan hidangan makanan iaitu hidangan itu adalah orang Islam yang hendak dimakan dan dilapah sesuka hatinya.

Ketiga-tiga perkara itu perlu dilihat dalam skop yang lebih besar sama ada dalam aspek ekonomi, sosial dan politik kepada sesebuah negara, masyarakat, dan diri setiap orang Islam termasuk diri saya yang menulis ini dan tuan-tuan yang membaca tulisan ini.
Jika umat Islam tidak sedar lagi perkara ini, maka kita sendiri yang akan rugi. Kerana Allah telah memberikan panduan al-Quran dan hadis kepada umat Islam dan dengannya maka orang Islam tidak akan sesat selama-lamanya. Maka jika kita tidak usahakan perkara ini maka umat Islam sendiri akan merasakan kepedihan yang kita sendiri menjadi asbab/puncanya kerana Allah tidak akan menzalimi hambanya. Kita sendiri yang zalim kepada diri sendiri.
Bagaimanapun, untuk mengamalkan perkara agama perlukan kekuatan iman dan taqwa dan sebab itu tiada cara lain iaitu seluruh umat perlu datang kepada kerja dakwah. Dan ia bermula dengan diri kita sendiri sebelum boleh merebak kepada orang lain dan masyarakat. Tanpa perlu kita menuding jari dan menyalahkan orang lain lalu bercakaran sesama sendiri tetapi sebaliknya kita sendiri yang perlu bergerak ke arah itu.
Dalam sejarah Islam, umat Islam tidak pernah menang berperang kerana bantuan material dan kemewahan dunia tetapi Islam menang dengan bantuan dan pertolongan daripada Allah. Bagaimanapun umat Islam perlu sentiasa mengikut syariat iaitu menyediakan kesemua kelengkapan dan kekuatan untuk berdepan dengan musuh hingga Nabi s.a.w sendiri memakai baju besi ketika menyertai qazwah. Bukan Islam hanya bergantung kepada material semata-mata kerana tiada bantuan dan pertolongan daripada Allah.
Jika kemenangan orang Islam hanya dengan bantuan Allah maka bolehkah umat Islam kini mendapat bantuan daripada Allah dalam keadaan umat Islam sendiri berpecah belah, mabuk dengan dunia dan maksiat, meninggalkan kerja dakwah yang menjadi tanggungjawabnya, melupakan perintah Allah dan rasulNya, mengejek-ejek sunnah, mencuaikan solat, tidak mementingkan amalan agama, jauh daripada rahmat Allah dan sebagainya?
Bak kata Ariel Sharon bahawa dia "tidak akan sekali-kali takut kepada orang Islam selagi solat lima waktu mereka sekarang tidak sama seperti solat jumaat (dari segi jumlah jemaahnya)."
Masalah sebenar kini ialah umat Islam sendiri dan musuh Islam menjadi kuat apabila umat Islam lemah dalam mengamalkan perintah agama. Apabila umat Islam kuat berpegang kepada agama maka musuh Islam akan dilemahkan oleh Allah. Pada zaman kegemilangan Islam, dunia barat - eropah menjadi begitu lemah hingga dalam kegelapan (darkages) hingga tidak ramai yang tahu membaca; empayar rom dan parsi pula jatuh dan berpecah belah.
Apabila umat Islam mula bergaduh sesama sendiri dan Baghdad yang terkenal dengan pusat ilmu telah meninggalkan kerja dakwah kerana tenggelam dalam keasyikan ilmu maka sedikit demi sedikit ilmu Allah pindahkan kepada orang eropah dan bukan Islam dan kemudian tentera Tar tar yang kebanyakannya buta huruf dan tidak berpendidikan
memusnahkan Baghdad dan empayar Islam dengan izin Allah. Kehinaan untuk umat Islam. Disangkanya dengan keilmuan mereka yang tinggi boleh menyelamatkan mereka dan ditinggalkan kerja dakwah tetapi orang yang bodoh-bodoh sahaja rupa-rupanya didatangkan untuk memusnahkan mereka.
Bagaimanapun, bukan bermakna umat Islam tidak perlu meninggikan ilmu mereka sekarang, malahan lebih perlu mereka lebih menguasai ilmu daripada yang lain, tetapi jika meninggalkan kerja dakwah maka ia satu kekurangan yang besar dalam umat ini dan boleh menghinakan umat ini.
Bukan Islam, yahudi dan nasrani bukan lah musuh Islam yang sebenar. Kita perlu kesian kepada mereka kerana jika mereka mati tanpa kalimah maka mereka akan disiksa selama-lamanya dalam neraka. Kita perlu sampaikan Islam kepada mereka dan doakan hidayah kepada mereka.
Masalah sebenar ialah umat ini kerana sedang sakit tetapi tidak mahu memakan ubat yang disediakan oleh tabib yang hakiki iaitu Rasulullah s.a.w. Sebaliknya umat ini meminum racun kerana disangkanya ubat. Maka semakin cuba diubati tetapi semakin parah umat ini. Hingga umat menjadi dalam keadaan seperti nazak hampir mati yang walaupun hidup tetapi tidak boleh berbuat apa-apa. Dipukul dan diapa-apakan oleh musuh sesuka hati tetapi umat Islam tidak mampu untuk berbuat apa-apa. Lebih malang lagi tiba-tiba sesetengahnya menganggap bukan Islam pula sebagai penyelamat mereka. Seperti seorang yang sakit lalu berputus asa dengan doktor yang hak lalu dicarinya bomoh penipu untuk mengubati sakitnya.
Mereka yang melibatkan diri dalam usaha dakwah maka akan diperkukuhkan iman dan taqwa kepada Allah. Dan di dalam usaha dakwah itu seseorang akan berusaha meningkatkan dan memperbanyakkan amalan agama mengikut sunnah Nabi s.a.w. Di dalamnya juga seseorang akan menghargai iman dan saudara seIslam yang akan memudahkan kita bersangka baik, berkasih sayang dan bersatu padu mengelakkan perpecahan hingga orang negro yang hitam pun boleh makan satu talam dengan orang putih sambil suap menyuap. Usaha dakwah akan mengingatkan dan menambah kecintaan terhadap kehidupan akhirat dan dengannya sekali gus merendahkan kecintaan kepada dunia yang hasilnya seseorang tidak lagi membesar-besarkan dunia. Mencontohi kehidupan para sahabat dan salafusolehin, mempunyai kekuatan untuk menjauhi amalan dan sistem2 dunia yang bercanggah dengan syariat. Dalam usaha ini maka mereka akan terlibat amar maaruf dan nahi mungkar. Mereka yang terlibat dalam usaha dakwah ini akan diberikan kemuliaan dan keselamatan oleh Allah sehinggakan usaha dakwah boleh bergerak walaupun dalam negara bukan Islam termasuk di Israel sendiri. Orang Islam
menjadi berkualiti mengamalkan agamanya sama ada dia engineer, guru, ustaz, pekerja kilang, pekerja pejabat, menteri, presiden, pekebun, nelayan, penyapu sampah, menjual air dan sebagainya.
Apabila kejatuhan empayar Uthmaniyah di Turki maka sistem khalifah umat Islam dikatakan sudah berakhir dan bermula perang dunia dan seterusnya negara-negara dunia yang lemah dibahagi-bahagikan sempadan oleh penjajah manakala hasil bumi dikaut oleh negara yang menang dalam perang. Adakah anda berfikir bahawa Allah membiarkan umat Islam terkapai-kapai begitu sahaja. Tidak perlu kita menjadi pakar sejarah untuk memahami bahawa dalam tahun-tahun kekalutan zaman itu, maka timbul semula usaha dakwah yang hingga hari ini bergerak dengan penuh dinamik di serata dunia merentasi sempadan seolah-olah menyambung kekhalifahan itu. Dan jika diberi peluang adakah anda mahu bersama-sama dalam usaha yang sedang bergerak itu? Usaha itu bukan perkara baru tetapi seruan dakwah sebagaimana mengikut perintah Allah dan sunnah Nabi s.a.w. Apabila banjir besar pada zaman Nabi Nuh a.s, mereka yang menaiki bahtera Nabi Nuh akan terselamat, maka pada zaman ini bencana dan musibah umat berlaku di mana-mana, maka mahukah anda/saya/kita menaiki bahtera dalam bentuk usaha dakwah yang boleh menyelamatkan kita daripada azab yang pedih? Kita sama-sama buat niat dan azam, untuk lapangkan masa di jalan Allah dalam usaha dakwah. InsyAllah. Sekian, Allahu alam