Bismillahirrohmanirrohim
Kali ini aku akan ceritakan pada kalian tentang pengalaman aku keluar 4 bulan Jalan Kaki atau bahasa Urdu “Pedal Jamat”. Dalam tahun 1980 iaitu jemaah ketiga 4 bulan jalan kaki di Malaysia . Sejarah bermulanya Pedal jamat ini, ia telah diputuskan oleh Hadraji kalau tidak silap aku, jemaah pertama yang keluar dari kuala Lumpur pada Nov 1979 hingga April 1980 ke Pulau pinang. Jemaah kedua dari Pulau pinang April 1980 hingga ke Terangganu Nov 1980, jemaah ketiga Nov 1980 hingga April 1981 yang bergerak dari Kuala Terangganu ke Penanti Seberang Perai, ini adalah jemaah aku sendiri.
Selepas itu beberapa tahun kemudian(aku tidak ingat tahun bila) jemaah ini telah diberhentikan oleh Nizamudin kerana jazbah orang ,
- Sudah kahwin (Duda dibenarkan)
- Sudah keluar 4 bulan IPB
- Sudah keluar 40 hari 5 kali dan pergi 5 markas
- Umur 40 tahun keatas
- Keluar 40 hari 2 tahun berturut-turut
- Sehat tubuh badan
Itu adalah syarat-syaratnya, jika ada salah atau tambahan sila betulkan.
Masa aku keluar dahulu tidak ada apa-apa syaratpun yang ditanya, Cuma apa yang ditanya “tuan nak keluar berapa lama, itu sahaja, Jika masa dulu ada syarat ini aku rasa tidak ada satu jemaah jalan kaki pun yang dapat dibentuk. Tetapi elders kita di Nizamudin mereka memutus sesuatu perkara mengikut kemampuan kita, sekarang usaha sudah maju dan ramai orang yang sudah layak untuk memenuhi apa sahaja syarat yang diletakkan oleh elders kita, baik usaha lelaki mahu pun masturat, samada dalam negeri, Negara jiran atau pun Negara jauh semuanya dapat dipenuhi. Sebab itulah kita selalu kena buat hubungan dengan elders di Nizamudin dan belajar taat dengan mereka, mereka adalah orang-orang yang telah memberi masa , diri dan harta seumur hidup mereka pada Allah, dan jangan sekali-kali dalam hati kita ada sangka buruk pada mereka, mereka adalah orang-orang pilihan Allah swt bagi menyambung kerja nabi saw.
Jemaah aku ada 12 orang, amer jemaah Tuan Haji Harun dari Tanah Merah Kelantan, orangnya tegas dan mengikut usul kerja dakwah dengan baik, pembantu kanannya ialah Ismail Korban dari Kuala Lumpur. Jemaah ini telah berjalan kaki setiap hari, kami hanya berusaha satu haru saha setiap masjid atau surau yang kami pergi. Ini disebabkan jarak yang jauh iaitu dari Kuala Terangganu ke Penanti, dan mesti sampai di penanti tepat dengan masa Istimak bulan April. Kata ulamak kekuatan jemaah jalan kaki ini terletak dalam mujahadah jalannya.
Dulu kita ada 3 kali istimak tahunan, iaitu masa cuti sekolah. April, Ogos dan November setiap tahun. Istimak terakhir yang dibuat di Malaysia ialah Istimak Dengkil, Selangor pada Nov 1991. Selepas itu sudah tiada lagi istimak, yang adapun Cuma Jor peringkat Zon sahaja bagi mengeluarkan jemaah. Apabila Markas Seri Petaling siap dalam tahun 1992 (jika aku tidak silap, malam pertama pembukaan “malam markas” aku turut hadir) semua urusan pengeluaran jemaah 40 hari keatas mesti datang ke Seri Petaling untuk mendapat bayan hidayat dan bila tamat tempoh dan pulang tangguh mesti datang ke Seri petaling untuk karkuzari dan bayan wapsi.
Berbalik pada cerita asal aku, route kami ialah, dari Kuala Terangganu , masuk Pahang sampai ke gugusan Felda Jengka dimulakan denganSungai Nerek , Jengka 23 (aku lupa bilangan jengka) habis semua gugusan jengka , masuk Jerantut kemudian menghala ke Raub, dari Raub ke Bukit Fraser ( 2 hari di BF) kemudian ke Kuala Kubu, dari Kuala Kubu ke Ipoh ikut jalan raya ( Lebuh raya utara selatan belum wujud lagi), dari Ipoh ke Taiping, kemudian ikut arah Selama Perak, Selama Kedah, masuk Bandar Baharu ke Kulim, kemudian naik feri ke Pulau pinang(disini kami terpaksa naik feri sebab kami tak boleh jalan kaki diatas air macam sahabat, bayangkan bagaimana kalau kami pun boleh berjalan atas air macam sahabat berjalan, aku ingat lepas itu semua kami jadi kaya sebab orang ramai akan datang minta buat ubat sebab pelik, orang berjalan atas air) dari Pulau Pinang terus Ke Penanti. Sampai di Penanti elok-elok 2 @ 3 hari sebelum istimak dan duit pun turut habis.
Belanja 4 bulan jalan kaki, aku bawa RM120, belanja satu hari satu ringgit sahaja, tentu para pembaca hairankan, mesti ingat tidak cukup. Sebenarnya cukup, dengan seringgit kami kumpul 12 orang dapat RM 12 sehari, barangan masih murah masa itu, dengan RM 12 orang khidmat boleh beli beras , ikan(basah/kering), teh, susu gula, roti makan petang, dan juga makan pagi. Makan 4 kali sehari, makan tengah hari, ,malam dan pagi mesti makan berat sebab perlu tenaga yang banyak untuk berjalan. Makan tengah hari dan malam sekali masak sahaja, sebab susah hendak masak. Aku ceritakan bagaimana tugas orang khidmat dari awal.
Sampai sahaja di masjid setelah berjalan lebih dari 10 batu (bukan Kilometer, masa itu SI unit belum guna lagi) setiap hari. Biasanya kita akan sampai sekitar jam 12 tengahari sudah hampir Zohor (masa itu jam belum ubah ikut Sabah/Sarawak), Zohor dalam pukul 12.40 tengahari. Setelah doa dihadapan masjid terus amer memutus 2 orang khidmat, kemudian 2 orang ini terus pergi ke kedai untuk mencari bahan masakan, ingat masa itu di kawasan kampong, mana ada barang-barang segar dan kedai pun hanya satu sahaja itu pun jenuh mencari, jumpa sahaja terus beli barang, bisanya jam 12 tengahari mana ada ikan basah, yang adapun Cuma yang mata sudah merah atau tidak elok lagi lah. Jadi tiada pilihan ikut rezekilah, kadang-kadang ada ikan masin (inilah yang kerap).Setelah siap membeli barang pulang ke masjid terus buka bungkusan set taam yang hitam dan periuk pula lagi hitam legam. Orang pertama menyediakan barang saperti potong sayur dan basuh beras dan sebagainya, api belum ada lagi. Orang kedua pula tugasnya mencari kayu api, setelah kumpul kayu disekitar masjid barulah mula masak, Selepas zohor lebih kurang setengam jam baru boleh makan, keadaan jemaah ketika itu memanglah letih dan lapar, itu belum kira kena marah dengan imam dan AJK lagi dan Bapak Polisi yang sentiasa mengikut kami dan merekodkan nama kami dan disimpan di Balai Polis. Orang khidmat semua sudah faham apa menu dan banyak mana makanan yang mesti disiapkan, nasi mestilah banyak, kuah mesti banyak selalunya kuah kari cair tidak pakai santan tetapi pakai susu pekat ganti santan, sebabnya susah untuk mencari kelapa parut. Kari yang kita masak ikut rezeki, ikan basah (jarang-jarang) ,ikan masin(selalu) dan kadang-kadang ubi kentang sahaja tanpa lauk sebab tiadak ada apa yang boleh dibeli.
Jemaah kami biasanya akan bertolak pagi hari selepas solat subuh, ini disebabkan perjalanan yang jauh, purata berjalan setiap hari 10 batu (dulu belum guna kilometer). Jadi orang Taam ini banyak mujahadah, sarapan sebelum subuh, sama saperti makan sahur pula,Jadi selepas tahajud terus masak untuk makan pagi. Tetapi kebanyakkan kami sebelum tidur sudah siap masak, biasanya nasi lemak, jadi sebelum subuh itu Cuma jerang air untuk buat kopi atau teh O sahaja, pernah terjadi masa aku khidmat, kawan aku telah jerang air kemudian masuk kopi dan gula kedalam air dalam keadaan gelap selepas tahajud, dan makan pun sebelum subuh, bila dihidangkan, bila minum kopi, masyaallah masinnya, rupanya kawan aku telah tersalah bekas, rupanya dia ambil bekas garam disangkanya gula. Tetapi seorang ahli jemaah pun tidak komplen. Aku dapat rasakan semasa buat khidmat taam ini perasaan kita berlainan dari hari yang lain, baca Quran keluar air mata, solat keluar air mata, zikir keluar air mata, kalau doa tahajjud masyaallah lagi lah nangis sungguh-sungguh.
Aku pendekkan ceritalah, sebab sekarang aku ini jadi orang yang relak, fikir banyak sangat sakit kepala, buat gast pun Cuma boleh jalan dekat sahaja, dah tidak boleh jalan jauh dah, Ini aku nak cerita perkara pelik berlaku pada jemaah kami.
1. Semasa kami mendaki Bukit Fraser jarak dari Raub 26 batu mendaki sampai ke puncak Bukit fraser, bertolak jam 7 pagi, masa itu Raub kawasan “Curfew” perintah berkurang, 7 pagi hingga 7 malam kawasan komunis. Semasa berjalan setiap orang membawa sebungkus makanan masing-masing, set taam pula diagihkan setiap orang membawanya, disinilah aku lihat bagaimana setiap orang beramal dengan 6 sifat sahabat dengan baik dan tidak mementing diri sendiri, saling Bantu membantu. Terjadi aku lihat seorang tu dia sangat lapar, makanannya telah habis, bila ini dilihat oleh sahabatnya yang lapar juga tetapi dia masih ada sedikit makanan untuk dirinya pun tidak cukup tetapi dia telah ikram sahabatnya makan bersama. Semasa berjalan ini jika kita dahaga, hanya minum air sungai yang mengalir ditepi jalan sahaja. Masa berjalan itu macam-macam perkara berlaku pada setiap orang. Aku sendiri mengalami satu pengalaman yang tidak dapat lagi aku rasai hingga sekarang iaitu, apabila perjalanan sudah hampir kepuncak aku dah terlalu letih, hingga tidak ada tenaga untuk berjalan hatta bersuara pun aku dak tak mampu, langkah aku menjadi semakin lemah dan kepala aku terasa bagai nak pitam, semakin lama semakin lemah, hati aku ketika itu hanya ingat pada allah sahaja, setiap langkah aku bermula daripada Raub hingga saat itu hanya dihabiskan dengan muzakarah 6 sifat baca Quran dan zikir sahaja, aku masih ingat lagi, bila aku angkat kaki melangkah, aku rasa ini adalah langkahan aku yang terakhir sebelum aku rebah ke bumi. Masa itu mata aku sudah gelap, tetapi tiba-tiba aku terasa satu tiuapan bayu yang sejuk datang dari arah luar bukit, hembusannya begitu syahdu , sejuk, dan masuk kedalam kalbuku, serta merta badan aku menjadi segar dan hilang segala keletihan seolah –olah aku rasa saperti baru sahaja memulakan perjalanan. Aku menceritakan kesah ini pada kawan aku dan bertanya adakah dia merasakan bayu saperti aku rasakan , dijawabnya tidak rasa apa-apa bayu pun. Ini adalah anugerah Allah pada aku, syukur Alhamdulillah. Semasa mendaki BF abang Hamzah dari Jerantut dia nusroh jemaah kami beberapa hari, dia pengsan ditengah jalan.
2. Dalam perjalanan ke Bukit Fraser ini ada dua orang tua umur lingkungan 60an mereka ini tidak tahu membaca dan menulis, bercakap bahasa Melayu standart pun tidak tahu, orang Kelantan, amalan mereka hebat mengalah orang lain,mereka ini berjalan dengan hanya membaca 10 surah, seorang baca seorang mendengar dan sebaliknya hingga habis 10 surah kemudian ulang semula, mereka berjalan sehinggalah terlepas arah jalan ke BF dan terus ke Kuala Kubu Baharu, jaraknya lebih kurang 50 batu dan sampai disana sebelum magrib dalam keadaan yang sehat tanpa letih.
3. Masih lagi di BF, kami semua sampai tidak sama masanya, setelah makan ,rehat, besok pagi kami mesyauarat dan hantar orang khususi ketua Balai Polis di BF, laporang yang kami terima dari orang khususi menyatakan, Tuan OCPD memberitahu, semalam orang-orang Cina BF telefon nya memberitahu mereka melihat ramai orang arab datang dengan pedang (kami pakai tongkat) menaiki BF .
Banyak lagi kesah dalam perjalanan ke BF saperti kesah seekor monyet dengan kami.
4. Ramai orang Tanya kami, kami tidak kena hujan semasa kami berjalan, tetapi aku kata memanglah kami tidak kena hujan sebab hujan tidak pernah turun semasa kami berjalan, tetapi yang kerap terjadi bila sahaja kami sampai di masjid dan masuk ke dalam masjid barulah hujan turun dengan tiba-tiba dan lebatnya seolah-olah ia sudah lama turun.
5. Semasa berjalan sebelum masuk kampong semua binatang , saperti ayam berkokok , anjing menyalak dan binatang saperti lembu. Ia mendongak keatas dan memerhati kami, ekornya terpacak keatas.
6. Semasa kami di kawasan Selama ada sekumpulan lembu peliharaan lebih kurang 100 ekor telah berlari-lari mengikut kami dan mencium jalan bekas tapak kaki kami serta mencium jalan dihadapan kami dengan keadaan mereka seolah-olah pelik dan tercengang sambil ekor mereka terpacak keatas dan berlari kedepan dan belakang sambil mengikut kami dengan jarak yang agak jauh juga.
7 . Hari itu adalah hari Maulidir Rasul, kami dalam perjalanan ke Kuala Kangsar, bila sampai di Kuala Kangsar, ramai orang beratur dikiri kanan jalan untuk menyambut orang kenamaan sempena Maulidir rasul, cuba bayangkan kami jalan ditengah-tengah mereka, seoalah-oalah kami ini orang yang disambut, sambil memabawa periuk hitam ,belanga hitam , aku bawa baldi yang diisi dalamnya cawan, sudip dan senduk yang terjulur ke luar, baldi ini diikat dibahagian belakang aku. Semua orang memerhati jemaah kami, Alhuakbar, bagaimana perasaan ketika itu, aku hanya berdoa pada Allah semoga semua orang yang melihat kami ini mendapat hidayah Allah. Pada waktu malam Tuan Mufti mereka berceramah tentang maulidir Rasul dan memberitahu bahawa siang tadi beliau melihat jemaah tabligh sedang berjalan menuju ke Kuala Kangasar seramai 120 orang, sedangkan kami hanya 12 orang sahaja, Wallhuaklam.
AL Fakir musa kola kedah.
3 comments:
hebat pengorbanan orang dulu2... sekarang keluar, nak bangun malam pun susah, apa lagi nak nangis sungguh2...
jauh perjalanan nak sampai tahap tu. Jeles!
pada hujung tahun 1992, saya khidmat di Seri Petaling. Ketika itu malam markaz masih di Masjid India, jadi saya rasa, pembukaan malam markaz di Seri Petaling bukanlah pada tahun 1992, sebaliknya pada tahun-tahun selepas itu, mungkin pada 1994. Wallahu 'alam.
Post a Comment