Saturday, November 1, 2008

Petrol turun harga adalah nikmat kecil sahaja...

ALLAH s.w.t menganugerahkan terlalu banyak nikmat kepada kita sama ada yang kita sedar atau tidak, mengetahui atau tidak, hingga dikatakan jika digunakan seluruh air laut sebagai dakwat dan ranting-ranting kayu di seluruh dunia sebagai pena untuk menulis nikmat kurnian Allah, maka habis lah kesemua air laut dan ranting itu namun nikmat-nikmat tersebut tidak akan habis ditulis. Kerana nikmat itu tidak terhitung banyaknya.
Allah memberi nikmat kepada seluruh makhluk ciptaan-Nya namun Allah sedikit pun tidak berhajat kepada makhluk-Nya, bahkan makhluk-Nya sentiasa berhajat kepada Allah.
Dengan kerahiman Allah maka Allah berikan nikmat makan, minum, kehidupan, kesihatan, berkeluarga dan sebagainya kepada semua manusia sama ada mereka golongan orang Islam atau bukan Islam.
Allah berikan kita menghirup udara percuma sahaja, dan cuba bayangkan jika semua manusia terpaksa membayar caj tertentu untuk menghirup oksigen?
Hari ini jika harga minyak dan petrol naik maka semua orang akan berasa cemas dan mula mengharapkan agar harganya diturunkan lebih rendah. Kerana harga yang rendah itu adalah satu nikmat dan apabila hilang nikmat itu maka ia begitu memberi kesan dukacita.[Baca selanjutnya...]
Sifat lumrah bagi sesuatu perkara yang mempunyai nikmat ialah kadang-kadang apabila ia hilang maka baru lah kita merasainya namun jika ia masih berada di keliling kita biasanya kita tidak begitu menghargainya.
Misalnya, seorang yang normal mempunyai kaki tangan, tiba-tiba jika hilang kaki itu maka dia akan merasakan alangkah baiknya jika dia ada kaki. Begitu juga, seorang yang sihat rata-rata manusia tidak begitu menghargai nikmat kesihatannya namun jika tiba-tiba dia jatuh sakit maka baru dia berasa alangkah nikmatnya jika dia sihat. Seperti juga nikmat mempunyai rakan dan bertetangga, saudara mara kita, jika mereka hidup dan berada di sekeliling kita, kadang kala kita tidak menghiraukannya malah kadang kala kita bergaduh pula, tetapi apabila mereka tiba-tiba meninggal dunia baru lah kita berasa kekesalan dan menganggap alangkah baiknya jika sifulan masih berada di sisi kita.

Apapun nikmat yang hendak dikatakan namun daripada kesemua nikmat yang Allah kurniakan, bahawasanya nikmat yang paling besar ialah nikmat iman dan Islam. Nikmat lain, Allah berikan kepada semua manusia walaupun seorang kafir tetapi nikmat iman dan Islam hanya diberikan kepada orang tertentu yang diberikan taufik dan hidayah-Nya untuk menjadi orang Islam.

Ada lebih 7 bilion manusia di muka bumi waktu ini dan hanya satu bilion lebih sahaja yang beragama Islam, dan daripada jumlah itu hanya sedikit sahaja yang benar-benar menghayati dan beramal dengan suruhan agama. Bahkan daripada jumlah itu hanya sedikit sahaja yang diberi taufik untuk melakukan kerja agama yakni kerja dakwah, mengajak manusia kepada Allah. Begitu bertuah lagi beruntung golongan terpilih itu...

Bersyukur lah kita kerana diberikan nikmat iman dan Islam. Bagi mereka yang begitu menghargai nikmat itu maka kehidupan mereka adalah mentaati perintah Allah dan mengikuti sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Namun sebahagian manusia lalai, leka dan tidak menghargai nikmat yang besar tersebut maka mereka menjalani kehidupannya mengikut cara disukainya atas dorongan nafsu dan sebagainya.

Nikmat iman dan Islam akan memberi kesan yang begitu mendalam di dunia, lebih-lebih lagi di akhirat kelak. Bagi yang tidak menghargainya - sebagaimana lumrah bagi sesuatu nikmat yang jika hilang baru dirasai - maka apabila dia dimasukkan ke dalam kubur baru lah dia merasai kekesalannya. Di akhirat kelak, akan ada manusia yang
meminta kepada Allah supaya dihantar semula ke dunia semata-mata untuk beribadat kepada Allah. Sedangkan pada waktu tidak ada peluang seperti itu lagi. Justeru, kehidupan di dunia ini adalah peluang untuk mencari bekalan secukupnya untuk keperluan di akhirat.

Iman yang ada dalam diri seseorang bukan sahaja memberikan keuntunangan besar untuk dirinya di dunia bahkan akan menyelamatkan diri mereka daripada azab di akhirat dan mendapat kebahagiaan selama-lamanya.

Daripada Anas r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah s.a.w bersabda: Akan dikeluarkan setiap orang daripada api neraka bagi mereka yang mengucapkan kalimah La ilaha illallah dan terdapat kebaikan walaupun sebesar biji gandum dalam hatinya. Kemudian akan dikeluarkan dari api neraka bagi mereka yang mengucapkan kalimah La ilaha illallah dan terdapat kebaikan dalam hatinya walaupun sebesar biji barli dalam hatinya. Kemudian akan dikeluarkan dari api neraka bagi mereka yang mengucapkan kalimah La ilaha illallah dan terdapat kebaikan walaupun sebesar biji sawi dalam hatinya. (Riwayat Bukhari).

Umat Muhammad s.a.w yang bertekun dan berteguh pendirian walaupun tidak pernah melihat Baginda, maka akan dianggap seperi saudara kepada Nabi.

Dari Anas bin Malik r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Aku berkeinginan untuk bertemu dengan saudara-saudaraku. Para sahabat berkata, "Tidakkah kami ini saudara-saudara tuan?" Baginda menjawab: "Kamu adalah sahabatku tetapi saudara-saudaraku ialah orang-orang yang beriman kepadaku, walaupun mereka tidak melihatku." (Riwayat Ahmad).

Sehubungan itu, mereka yang mendapat nikmat perlu bersyukur dengan cara bukan sahaja menyebut kesyukuran di lidah dan mulut tetapi juga membenarkan dalam hati dan menterjemahkannya melalui perbuatan dan tingkah laku yakni mentaati perintah Allah mengikuti cara baginda Muhammad s.a.w. dalam kehidupan mereka dari bangun tidur hingga tidur semula setiap hari. Kerana Allah meletakkan kejayaan di dunia dan akhirat hanya dalam agama dan pertolongan Allah tersembunyi dalam amal-amal agama yang mengikut sunnah Rasulullah. Dan barang siapa yang enggan maka mereka lah golongan yang rugi dan akan menyesal, kelak.

Dari Abu Zar r.a meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda: Allah berfirman: Wahai hambaku, Aku telah mengharamkan kezaliman ke atas diriKu dan Aku juga telah mengharamkannya di antara kamu, maka jangan lah kamu berlaku zalim. Wahai hambaKu, kamu semua sesat kecuali mereka yang Aku berikan petunjuk, maka mohon lah petunjukKu, Aku akan memberikan petunjuk kepada kamu. Wahai hambaKu, kamu semua lapar kecuali mereka yang Aku berikan makam, mohonlah makan kepadaKu nescaya Aku
berikan makan kepada kamu, wahai hambaKu, kamu semua telanjang kecuali orang yang Aku berikan pakaian, oleh itu mohonlah pakaian kepadaKu, Aku akan berikan pakaian kepada kamu. Wahai hambaKu, sesungguhnya kamu melakukan dosa siang dan malam dan Aku mengampuni semua dosa-dosa, mohon lah pengampunanKu nescaya Aku ampuni kamu. Wahai hambaKu, jika kamu mahu memberi mudharat kepadaKu, nescaya sekali-kali kamu tidak boleh berbuat demikian dan sekali-kali kamu tidak boleh memberi manfaat. Wahai hambaKu, jika orang yang pertama di kalangan kamu dan orang yang terakhir di kalangan kamu, semua jin dan manusia yang soleh di antara kamu, maka tidak akan menambah di dalam kerajaan Aku sedikit pun. Wahai hambaKu, jika orang pertama dan terakhir di antara kamu di kalangan jin dan manusia, mereka semua menjadi orang yang
fajir, seorang yang sejahat-jahat manusia di antara kamu, tidak akan mengurangi kerajaanKu sedikit walau sedikit pun. Wahai hambaku, jika orang yang pertama dan terakhir di antara kamu, semua jin dan manusia, berdiri di tanah lapang dan memohon kepadaKu dan Aku memberi kepada setiap orang apa yang dimintanya, sedikitpun tidak mengurangi di dalam khazanahKu, (permintaan manusia itu) hanya seperti setitik air pada hujung jarum yang dicelupkan di lautan. Wahai hambaKu, itu lah amalan yang Ku catitkan dan Aku perhitungkan bagi kamu, kemudian Aku mengimbangi secara penuh kepada kamu, barangsiapa mendapati kebaikan, bersyukurlah kepada Allah dan barangsiapa mendapati yang lain maka jangan lah menyalahkan orang lain kecuali dirinya sendiri. (Hadith Riwayat Muslim).

Wa Allahu alam bissawab.

4 comments:

azharjaafar said...

Kadang-kadang bila iman menurun kita tak kisah pun. Tanda iman menurun, bila berat nak buat amal dan mudah buat maksiat.

Tapi yang kita kecohkan bila duit menurun. Kesan duit menurun, kurang barang kita boleh beli. Yang tu mudah paham.

Ziarah76 said...

betul la tu azhar, kita lebih faham dgn tamsilan dunia dan faedah yg boleh diperoleh melalui dunia....

MAHAGURU58 said...

Assalamualaikum tuan.

Saya cuba mengandaikan betapa manusia akan berlumba lumba mengerjakan amal ibadat hanya jika mereka mendapat imbuhan serta merta?

Bila solat sahaja, muka bertambah berseri, poket menjadi berisi, hah!..tak cukup tempat nanti didalam masjid masjid Allah dimuka bumi ini,kan?

Sebenarnya iman kita semua ada pasang surutnya.

Hanya kita sendiri yang menentukan tahap mutu iman dan amalan masing masing!

Ya Allah, tetapkan lah Iman kami, Murahkan lah Rezeki kami, dan sempurnakan lah kehidupan kami baik didunia ini mahupun di Akhirat nanti.

Amin.

~

Saudara mutakalim,

Tahniah diatas tahap penulisan saudara. Jelas dan tepat senantiasa.

Alhamdulillah.

Ziarah76 said...

Salam Mahaguru,
Terima kasih atas komen. Kesudian tuan singgah dan jadi follower blog ini adalah satu suntikan semangat, penghargaan & penghormatan buat saya.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails