Sunday, October 10, 2010

Kreativiti menipu, Tronoh jadi Toronto

Oleh NORAINI ABD. RAZAK
noraini.razak@utusan.com.my

SYAWAL pun berlalu. Namun catatan sepanjang Syawal mesti masih berbekas di hati mahu pun dalam lipatan memori. Banyak cerita suka-duka sepanjang Syawal. Di pihak akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia, berakhirnya Syawal bermakna tamatlah ruangan Salam Perantauan untuk tahun ini. Alhamdulillah sambutan yang diterima terlalu memberangsangkan. Sama ada muka surat untuk ruang tersebut ditaja atau tidak, syarikat meneruskan tradisi menyiarkan ruangan itu khusus untuk rakyat Malaysia di luar negara menyampaikan salam hari raya.

Bermula dengan ucapan daripada para pelajar, ruangan tersebut dibuka kepada semua rakyat Malaysia di luar negara.
Lebih menarik perkembangan teknologi maklumat memberi peluang kepada rakyat Malaysia di mana saja untuk berbuat demikian. Sehingga hari ini emel yang diterima melimpah ruah. Mereka yang berkhidmat di pelantar minyak, di atas kapal malah nun di hujung dunia memeriahkan lagi ruangan yang diwujudkan oleh akhbar ini dengan penuh rasa ikhlas. Sehingga hari ini masih banyak emel yang diterima tidak dapat disiarkan.
Sebelum kepesatan zaman teknologi maklumat, berkotak-kotak surat dikirimkan dengan harapan gambar serta ucapan mereka dapat disiarkan di dalam ruangan tersebut. Setiap malam akan ada petugas yang menaip rapi setiap maklumat yang dihantar, sambil sesekali tersenyum melihat aksi-aksi pelajar kita di luar negara. Mereka ini tidak dibayar elaun khas untuk membuat kerja-kerja menaip, mengumpul gambar dan mengasingkan antara surat yang telah diproses dan surat yang baru diterima. Kesemuanya itu dibuat dengan rasa ikhlas. Sebab itu tiada bayaran dikenakan. Tiada syarat-syarat - satu yang dipinta pengirim juga mesti bersikap jujur dan ikhlas. Pastikan maklumat yang dikirim adalah betul.
Akhbar-akhbar lain turut berbuat demikian.
Tidak pernah terlintas di fikiran para petugas media akan ada sekumpulan manusia yang bergelar pelajar universiti akan mengambil kesempatan menggunakan ruangan tersebut untuk menipu. Tidak juga masuk akal bagi petugas media menghubungi semua universiti di luar negara untuk menentukan kesahihan gambar yang diemel. Tidak juga dibelek setiap latar belakang gambar lantaran tradisi yang diteruskan didasari oleh prinsip saling percaya-mempercayai.
Kecanggihan
Namun kecanggihan teknologi maklumat meningkatkan kreativiti manusia untuk menipu. Bukan saja menipu, si penipu berbangga dengan kreativiti songsang mereka. Itulah yang terjadi apabila sekumpulan pelajar dari Universiti Teknologi Petronas di Tronoh, Perak mengirim gambar mereka berlatarbelakangkan sebuah taman untuk disiarkan di dalam ruangan Salam Perantauan. Gambar tersebut dipilih untuk terbitan 21 September 2010. Ketika mana umat Islam menyuci diri menjalani ibadah puasa, mereka mencuci otak untuk menipu. Menerusi ICT juga penipuan itu dijaja, kononnya mereka handal kerana dapat menipu akhbar ini. Mendabik dada kononnya mereka juga pernah melakukan penipuan yang sama kepada akhbar-akhbar lain. Malah menerusi komen di blog yang memaparkan penipuan tersebut, telah ada perancangan untuk menyambung siri penipuan pada tahun hadapan.
Penipuan itu kononnya didorong rasa meluat terhadap penuntut luar negara yang menghantar gambar mereka dengan latar belakang salji untuk disiarkan di ruangan tersebut. Selamba dan bersahaja mereka berbangga diri tidak perlu bersalji dan tidak perlu ke Toronto pun, gambar mereka disiarkan di ruang Salam Perantauan.
Saya pasti kumpulan pelajar itu masih berbangga. Membaca komen-komen di dalam blog itu ramai juga yang memuji kelicikan serta kreativiti penuntut universiti di Tronoh itu menipu akhbar tempatan. Ditambah lagi dengan komen-komen yang kononnya akhbar ini menipu. Mahu diajukan pertanyaan, adakah mereka pembaca setia akhbar ini, dan apa pula penipuan yang telah dibuat sehingga penipuan yang secara terang-terangan menjadi halal di mata mereka. Ulasan-ulasan selari itu pasti menjadikan kumpulan yang menipu berasa diri mereka hebat.
Bagaimana pula ibu-bapa, para pensyarah dan pihak penaja biasiswa mereka? Adakah mereka juga berbangga? Wakil akhbar ini ada menghubungi UTP. Dia diberitahu satu mesyuarat telah diadakan berhubung penipuan tersebut. Sambil menyebut juga betapa mereka mengharapkan penipuan itu tidak disedari oleh Utusan Malaysia. Sememangnya akhbar ini tidak sedar berlakunya penipuan. Bukan kerana merelakan diri ditipu tetapi sebaliknya didorong oleh rasa percaya dan yakin betapa tidak mungkinnya ruangan tradisi ini pun menjadi mangsa penipuan kreatif. Siapa yang dapat membezakan latar belakang gambar tersebut? Bukankah musim bunga di Toronta juga sarat dengan kehijauan sama seperti bumi Tronoh yang tidak pernah dilanda salji?
Pihak UTP ada menyebut perihal kesal dengan kejadian tersebut dan meminta maaf serta berjanji akan mengambil tindakan terhadap pelajar yang terlibat sebagai pengajaran. Saya percaya siri penipuan ini tidak akan berhenti tahun ini. Lantaran mereka yang menggunakan kreativiti otak untuk menipu akan menggunakan pelbagai cara untuk memuaskan kehendak mereka. Kumpulan ini juga tahu pihak akhbar tidak akan mampu untuk menentukan kesahihan gambar yang diemel. Untuk menghubungi universiti yang dinamakan adalah mustahil. Mustahil juga bagi pihak pengurusan universiti di luar negara mahu memberi kerjasama segera mengenal pasti gambar-gambar tersebut
Mengapakah hujah-hujah pendek akal dilontarkan oleh pelajar yang kini menuntut di peringkat universiti. Atau keterujaan untuk menipu telah membataskan akal fikiran mereka sehingga tidak boleh membezakan antara yang logik dan tidak masuk akal.
Inilah masanya untuk kita menoleh ke belakang. Melihat apa yang kurang dalam sistem pembentukan sahsiah remaja sebagai modal insan yang diperlukan untuk membangunkan negara. Isu penipuan gambar untuk ruang Salam Perantauan tidak boleh dilihat remeh. Fikirkan jumlah pembaca yang turut ditipu dan tertipu. Teknologi untuk menipu, teknologi juga dedahkan penipuan.
-- Copy paste dari sumber

8 comments:

Abang Ben said...

Komen dari blog yang mendedahkan 'penipuan' ini

http://obefiend.blogspot.com/2010/10/fao-noraini-abdul-razak-of-utusan.html

ahliacikgukhairul said...

penipuan dibuat krn meluat kwn2 dr luar negara hantar gambar? dan bangga pulak tu krn dpt menipu.. sedihnya.. itu salah satu masalah jiwa yg melanda masyarakat kita..

ahliacikgukhairul said...

penipuan dibuat krn meluat kwn2 dr luar negara hantar gambar? dan bangga pulak tu krn dpt menipu.. sedihnya.. itu salah satu masalah jiwa yg melanda masyarakat kita..

MuhD NoR AzyM said...

Ala..Utusan kan ada jugak artikel yg menipu org ramai..apa salahnya setahun sekali kena tipu dgn org plak kan? Haha :p

ziarah76 said...

ben,
thanks 4 the link
Tro-njo-i jugak baik, x tipu orang.

aliahCK,
depa ni agaknya tak dpt studi oversea rasa jeles pulak, padahal studen kat oversea tu x buat apa2 salah pun pd depa. Bahkan yg balik dr oversea byk berbakti kpd negara curah ilmu.
Bangga melakukan kejahatan ciri zaman arab jahiliyah, e.g bunuh orang paling ramai jadi bangga.
Jahiliyah zaman ni mmg byk tak mengenal sama ada berpelajaran atau tidak. Mrk juga yg malu.
Mmg kesian pd yg kena tipu tapi lebih kesian pd si penipu sebab bayangkan berapa banyak orang yg ditipu (salam perantauan publish seluruh negara), dan berapa ramai dia dah tipu orang?
Berapa byk dosa terkumpul, mudah-mudahan diampunkan. Di padang masyhar nak cari sorang2 yg kena tipu utk minta maaf macam mana tu?
Kat dunia mungkin Utusan tak ambil tindakan undang2 sebab kesian pd budak2 Melayu, lagipun takkan paper melayu saman student Melayu.
Kalau nak bukak kes bole mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kes tipu.

Mohd Nor Azmy,
Kalau anta ada tahu mana2 artikel Utusan tipu, elok proceed saman, senang2 boleh buat duit juta2 ooo..hehe
so far saya tengok kes saman yg orang dakwa Utusan tipu byk kpd politikal iaitu org pembangkang saman. Itu pun kes byk yg hanging, dan tak proceed.
:)

Nisa said...

Salam TT,


Untuk pengetahuan TT,saya merupakan salah seorang yang berada di dalam gambar tersebut. Ingin saya jelaskan di sini bahawa tujuan gambar itu diambil bukanlah untuk mengenakan utusan atau kata-kata yang sering digunakan Utusan sekarang "menipu mereka", tapi kami hanyalah mengambil group photo sebagai gambar kenangan bagi kami sempena Majlis Iftar program kami.
Bila tengok hasil gambar,kami bergurau sesama sendiri, "wahh..cantiknya gambar,macam dalam salam perantauan laa". Untuk makluman TT,kami tiada niat langsung untuk menghantar gambar tersebut ke ruangan tersebut sehinggalah kawan2 maklumkan kepada kami tentang terkeluarnya gambar tersebut.



Adakah kami bangga dengan semua ni..?? "TIDAK sama sekali..." Bahkan pada mulanya kami segan sebab tak sangka utusan menyiarkan gambar tersebut tetapi bila difikirkan kembali,perkara ini bolehlah dijadikan kenangan di masa muka. Walaupun begitu,perkara sekecil ini kami tak sangka menjadi topik blogger2 sehingga ke pengetahuan pihak utusan dan universiti,tambahan pula,perkara sebegini pernah jua dilakukan oleh pihak lain dan tak sangka gambar kami menjadi isu sebesar ini.


Rasanya cukup la sampai di sini penjelasan saya. Saya rasa saya perlu menjelaskan hal ini kerana setakat ini apa yang tersiar hanyalah pandangan daripada satu pihak sahaja tanpa mengambil kira penjelasan daripada pihak kami.

Diulangi kembali,adakah kami bangga dengan apa yang terjadi?? TIDAK.. Adakah kami cemburu dengan pelajar oversea?? TIDAK sama sekali.. Saat ini kami cuma berharap agar semua pihak tidak memperbesarkan hal ini lagi. Tambahan pula,pihak kami dan universiti sendiri telah meminta maaf atas apa yang berlaku.

Diharapkan TT jelas dengan apa yang berlaku dan tidak menyalahkan kami semata-mata. Sekian.

ziarah76 said...

Alahai Nisa,

kesian. saya berpendapat, memang dalam gambar tu ada ramai orang dan tak semua boleh disalahkan dalam hal ni. Cuma ada seorang atau dua di antara kamu atau kawan2 kpd kawan2 kamu yg memandai (atau hendak mengenakan) hantar gambar tu ke Utusan utk ruang salam perantauan. Sapa dalang tu? Kesian kawan2 lain yg tak bersalah.
Utusan atau paper lain biasanya tak ambik gambar sebarangan, hanya gambar yg orang hantar utk ruangan itu saja yg dipublish utk ruang tu. Sebab paper nak tolong orang sampaikan salam/ucapan raya.
Kes ni ialah, utusan nak buat baik tolong orang tapi ia didajalkan oleh org jahat. Pastu org yg jahat kutuk utusan yg innocent sebagai penipu. Nampak tak?
Anyway, damage has been done but damage control also has been carried out.
Memandangkan kamu dan UTP sudah minta maaf, mudah-mudahan dimaafkan, jadi jangan le risau rasanya Utusan will not take any futher action.
Rasa saya utusan always pro to student, slalu sokong budak Melayu yg belajar IPT. Jgn risau, Utusan berjuang utk Melayu.
Pd pandangan sy, Kak Noraini tulis tu bukan membesar2kan isu tapi ia nak buat ralat dlm bentuk rencana utk bagitahu ada satu kes studen tipu dlm ruangan perantauan, supaya pembaca lain di seluruh negara (yg pernah baca ruangan tu) diberitahu hal sebenar dan tak tertipu, dan paper tu take responsiblity to tell the truth selepas ditipu.
Artikel tu pun, boleh jadi pengajaran agak ia tak berlaku lagi pd masa depan. Mudah-mudahan.
Pasal komen saya mengenai bangga melakukan kejahatan, itu adalah komen secara umum tak spesifik, coz generally sikap bangga dgn kejahatan ada zaman Arab jahilliyah. Harap Nisa faham.
Contohnya, buang bayi zaman ini ada zaman jahilyah bunuh bayi.
Apapun, harap cik niza dan kawan2 dpt meneruskan study dgn baik/succes dan jgn terganggu dgn kes2 begini.
Bak kata mat salleh 'It just a fraction of life'.
Ok, semoga terus berjaya.
:)

nai9us said...

"Penipuan itu kononnya didorong rasa meluat terhadap penuntut luar negara yang menghantar gambar mereka dengan latar belakang salji"

@ahliaCK dan penulis,

Untuk menuduh pelajar2 ini cemburu dengan hanya melalui pendapat penulis artikel yang menggunakan perkataan kononnya amatlah tidak wajar. sudah pasti sumber itu tidak sahih dan tidak ada pengakuan dari mana2 pelajar.
Saya risau dari kes penipuan kita pula tersangkut kes memfitnah. Allahualam..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails