Tuesday, April 13, 2010

Polemik tajdid dan pembaharuan

DI antara isu yang sering menjadi punca tergelincir langkah dalam memahami dan menghayati Islam adalah isu tajdid atau pembaharuan dalam agama.
Jika tidak berhati-hati dan tanpa perlindungan Ilahi, ramai yang mungkin terkeliru dalam beberapa persoalan pokok berkaitan soal pembaharuan ini.
Antara persoalan pokok di sekitar tajdid termasuklah falsafah pembaharuan yang sahih dan diterima dalam Islam, skop atau ruang untuk pembaharuan dan kaedah serta manhaj untuk pembaharuan agama.
Akhirnya pemahaman terhadap semua persoalan ini akan memandu kita mengenalpasti siapakah para mujaddid atau pembaharu sebenar, dulu dan kini.
Kekeliruan dalam soal ini mudah berlaku kerana sering ada pihak yang cuba bercakap atas nama pembaharuan kalaupun mereka dan aliran pemikiran mereka menyimpang daripada fahaman tajdid yang murni dalam Islam.

Ringkasnya mereka ini cuba berselindung dan memanipulasi tajdid dalam usaha mereka meminggirkan aliran yang tidak selari dengan mereka agar merekalah yang akan mendominasi fahaman agama di kalangan masyarakat.
Jika mereka ini agresif dan bijak memainkan lagu mereka ini tidak mustahil ramai orang awam yang akan terpengaruh.
Tidak mudah sebenarnya untuk mengambil sikap yang tepat dalam hal ini kerana isu tajdid agama ini merupakan persoalan kompleks yang memerlukan kajian dan kepakaran.
Falsafah tajdid
Istilah tajdid atau renewal memang punya imej dan daya tarikannya secara semulajadi kerana ia membawa makna-makna yang positif dan segar.
Ditambah apabila mengingatkan kalimah dan konsep tajdid ada disebut oleh Rasulullah dalam hadis yang menjanjikan suatu berita gembira untuk umat Islam, "Sesungguhnya Allah (SWT) akan membangkitkan dari kalangan umat ini dipermulaan setiap kurun mereka yang akan mentajdidkan agama umat ini." (riwayat Abu Dawud, al-Hakim dan al-Baihaqi)
Hadis ini adalah antara yang popular kerana berita baik yang terkandung di dalamnya. Cuma, harus diingat, seperti mana-mana nas al-Quran mahupun Sunnah perlulah difahami dan ditafsirkan mengikut maksudnya yang sebenar.
Walaupun hadis ini ada menyebut pembaharuan agama tetapi ia mestilah merujuk kepada faham dan konsep tajdid yang khusus dalam Islam. Hakikat dan sejarah Islam adalah berbeza berbanding agama-agama lain.
Kita meyakini bahawa Islam bermula sempurna dan murni sejak generasi awalnya lagi. Malah kurun-kurun awal Islam adalah diiktiraf oleh hadis Nabi sebagai era terbaik bagi Islam.
Jadi umat Islam sebagai umat pilihan sudah dibekalkan acuan dan panduan terbaik dari peninggalan generasi awalnya. Maka falsafah Islam tentang tajdid harus setia kepada hakikat ini.
Tajdid dalam Islam adalah suatu usaha untuk menghayati dan menterjemahkan dengan sebaik mungkin acuan Islam yang ditinggalkan oleh generasi awal umat ini. Risalah Islam itu sendiri tidak perlukan perubahan (taghyir) ataupun reformasi (islah) kerana ia sudah sedia lengkap, murni dan utuh.
Taghyir dan islah hanya layak untuk orang Islam yang lalai agar mereka berubah dan mengislah diri kembali mengikut fahaman Islam sebenar.
Adapun agama Islam itu sendiri sebagai risalah yang terakhir tetap dijamin kesinambungan dan keterpeliharaannya sepanjang zaman. Islam terpelihara dengan kehadiran para ulama yang dinobatkan oleh Nabi SAW sebagai para pewarisnya yang sah.
Ilmu-ilmu dan kefahaman agama pula sebagai inti dan paksi agama Islam dijamin hanya akan beredar di kalangan para ulama yang berkeperibadian adil dan jujur.
Mereka ini akan berperanan memelihara fahaman agama ini daripada gangguan aliran yang batil, melampau dan menyeleweng.
Janji dan jaminan tentang hal ini yang kita temui dalam al-Quran dan Sunnah ternyata menjadi kenyataan. Di sepanjang sejarah Islam, sentiasa muncul barisan ulama menjuarai pelbagai disiplin ilmu Islam dengan tradisi menyusun, memperkembangkan dan memperjelaskan lagi acuan Islam yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW dan para Salaf al-Soleh.
Mengenali diri peribadi dan keterampilan para ulama muktabar ini, kita memandang mereka dan khazanah ilmiah yang mereka tinggalkan sebagai jelmaan janji Allah SWT dan Rasul-Nya SAW yang sekali-kali tidak akan membiarkan umat ini tanpa panduan yang benar sepanjang hayatnya. Malah hadis mujaddid itu sendiri merupakan sebahagian daripada janji Ilahi ini.
Tajdid agama dalam hadis ini perlu difahami dalam kerangka sejarah dan perkembangan tiga aspek agama iaitu Islam, iman dan ihsan seperti yang dinyatakan dalam hadis Jibril yang masyhur itu.
Aspek Islam, iman dan ihsan ini dihuraikan di bawah ilmu-ilmu syariah/fiqh, akidah/tauhid dan akhlak/tasauf.
Ketiga-tiga cabang ilmu agama ini yang hakikatnya diasaskan oleh Rasulullah SAW sendiri berdasarkan wahyu telah berkembang dengan cemerlang di tangan para ulama Islam sehingga muncul sebagai disiplin ilmu yang baku dan tersusun rapi.
Pada masa yang sama ilmu-ilmu ini mengandungi aspek dinamika dan keanjalan yang menyebabkannya mampu untuk memenuhi tuntutan pelbagai zaman dan situasi.
Para pengkaji dan pemerhati yang jujur akan bersetuju bahawa sesudah dikembang dan disusun oleh para ulama muktabar umat ini, fahaman Islam arus perdana dan muktabar atau yang dinamakan Ahlus Sunnah wal Jamaah boleh disimpulkan kepada yang berakidahkan acuan akidah Asha'rah-Maturidiyyah, bersyariahkan mazhab-mazhab yang muktabar dan bertasauf dalam akhlaknya.
Mengambil kira hakikat ini, tidak hairanlah jika dalam senarai utama para mujaddid sepanjang kurun yang dikemukakan oleh para ulama muktabar seperti Imam Jalaluddin al-Suyuti (m.911H) dan Shah Waliyyullah al-Dehlawi (1176H) kita melihat nama-nama Imam Abul Hassan al-Ash'ariy, al-Shafi'ie, al-Ghazali dan lain-lainnya yang memang merupakan arkitek-arkitek utama penyusunan, pembakuan dan perkembangan ilmu-ilmu Islam ini sepanjang kurun yang lampau.
Susulan perbahasan di atas, tumpuan sebenar tajdid dan pembaharuan dalam Islam adalah kefahaman dan penghayatan umat Islam dan bukannya terhadap fahaman Islam itu sendiri.
Sebagai muslim, kita meyakini fahaman dan ilmu-ilmu Islam yang ada pada kita adalah fahaman dan manhaj terbaik yang dikurniakan Allah kepada kita.
Ruang dan batas apa yang haram dan halal, yang baik dan buruk semuanya tersedia di hadapan kita. Ruang perkara-perkara khilafiah yang dibolehkan kita berbeza pegangan padanya juga jelas di hadapan kita.
Perkara-perkara yang jelas haram, halal atau khilafiah tidak patut dijadikan bahan untuk ditajdidkan atau dibahaskan lagi oleh para mujaddid hakiki.
Mengenal mujaddid sebenar
Hasil perbahasan ini, bolehlah disimpulkan para mujaddid sebenar dalam Islam ialah mereka yang berjaya memimpin umat Islam sepanjang kurun yang silih-berganti agar memperbaharui iltizam dan penghayatan mereka terhadap akidah/tauhid, syariah/fiqh dan akhlak/tasauf yang benar dan murni.
Apabila umat Islam mengikut pimpinan dan panduan para mujaddid maka agama akan terpelihara dan berkembang. Mereka juga mampu mencapai ketamadunan yang hebat seperti kemunculan Islam sebagai salah satu tamadun agung dunia.
Kesetiaan umat Islam dengan manhaj para mujaddid sebenar umat ini juga menjadi rahsia di sebalik episod-episod tertentu yang gemilang dalam sejarah Islam seperti kejayaan generasi Sultan Salahuddin al-Ayyubi dan Sultan Muhammad al-Fateh.
Kesimpulan yang kita kemukakan ini tidak akan mampu menghalang aliran-aliran pinggiran umat ini untuk tetap mendakwa dan bercakap atas nama tajdid dan pembaharuan.
Tajdid dan pembaharuanlah jenama yang paling laku dalam mereka cuba mengalih perhatian umat daripada khazanah keagungan ilmu-ilmu Islam kepada pegangan mereka yang pada hakikatnya janggal dan asing.
Mereka ini akan menjulang nama-nama tokoh yang dikenali masyarakat yang dirasakan dapat mendokong pegangan mereka.
Dalam masyarakat kita, nama-nama seperti Zaaba, Hamka, Syed Sheikh al-Hadi dan seumpamanya yang dikenali oleh masyarakat kerana sumbangan mereka yang tersendiri turut digunakan tanpa mendedahkan keseluruhan sisi dan kedudukan sebenar tokoh-tokoh ini. Aspek-aspek kontroversi tokoh-tokoh ini disembunyikan.
Khalayak awam yang kurang teliti mungkin terpengaruh kerana terhimbau dengan kemasyhuran tokoh-tokoh ini tanpa mampu menilai mereka dengan tepat dalam kerangka faham tajdid agama sebenar seperti yang kita sentuh dalam makalah ini.

--Artikel di atas adalah copypaste keseluruhannya.

5 comments:

arizWanmerahs said...

"Perkara-perkara yang jelas haram, halal atau khilafiah tidak patut dijadikan bahan untuk ditajdidkan atau dibahaskan lagi oleh para mujaddid hakiki" =

Hari ini apa yang telah menjadi isu adalah dalam bab-bab khilafiah, yang mana ada beberapa pihak telah membesar2kan malahan boleh dijadikan bahan untuk mengkafirkan umat islam lain yang tidak bersependapat dengan mereka. Berhati-hatilah saudara2ku sekalian kerana disebalik permainan ini ada tangan-tangan ghaib yang cuba hendak menghancurkan umat islam.. Wallahu a'lam..

zarch said...

"Hasil perbahasan ini, bolehlah disimpulkan para mujaddid sebenar dalam Islam ialah mereka yang berjaya memimpin umat Islam sepanjang kurun yang silih-berganti agar memperbaharui iltizam dan penghayatan mereka terhadap akidah/tauhid, syariah/fiqh dan akhlak/tasauf yang benar dan murni. "

Benar rasanya sebagaimana tertulis dalam artikel diatas. Contohnya bab tasauf(bab jiwa dan akhlak) memang sudah ditekankan dizaman Nabi, Hasan Basri rah. hanya menghidupkan kembali dan menyusunnya agar mudah difahami, diwaktu umat Islam melupakannya terutama diwaktu itu telah berlaku banyak pertelingkahan mahupun peperangan yang mana lebih mementingkan keadaan zahir atau lahiriah.

Sebegitulah Maulana Ilyas rah, menghidupkan dan menyegarkan kembali akan bagaimana keadaan umat Islam dizaman Nabi, sahaba dan para solehan iaitu umat waktu itu sentiasa bersedia untuk membawa agama dalam diri dan keseluruh alam dengan mengorbankan waktu, harta mahupun diri.

Mujaddid adalah juga pelengkap usaha para awalin terdahulu, bukan merubah, sebagaimana contohnya, sekiranya para sahaba tidak dapat sampai kebenua Amerika untuk berdakwah, maka umat seterusnya wajar menyambungnya.

Wallahualam...

Ziarah76 said...

merah_s,
Betul tu, kalau kita amati memang timbul segelintir pihak yg sengaja cuba membesar2kan perbezaan pendapat dlm hal khilafiyah pd waktu ini. Mereka melaga-lagakan perbezaan pendapat antara imam yg empat padahal ia dlm persoalan furuk dan tak sepatutnya digembar-gemburkan kpd. orang awam. Maka orang awam tiba-tiba merasa diri mereka lebih bagus drpd imam yang empat tadi dan mahu bebas drpd pandangan mazhab yg telah memudahkan mereka dlm hal ibadat dan sebagainya. Jadilah orang awam itu seperti burung yg tiada bulu tetapi mahu juga terbang, dlm membincangkan perkara yg tiada kelayakan bahkan terjebak mengutuk mazhab. (Bahkan ada yg tergamak mengutuk, mempertikaikan sahabah, sahabiah... nauzubillah).
Usaha atas iman amal mengambil pendekatan yg amat produktif iaitu tak perlu membincangkan persoalan khilafiyah ini kerana ia telah diselesaikan oleh ulama2, imam yg empat itu yg dianugerahkan Allah kebijaksanaan dlm bab tersebut. Umat di mana2 ceruk dunia pun boleh terus kekal dlm mana-mana mazhab yg lebih mereka fahami.
Jadi, umat hari ini boleh terus concentrate kepada buat kerja dakwah, bina iman yakin walau siapa pun dia. Ini adalah jalan yg sangat produktif dan berhasil dan berapa ramai manusia telah dpt islah diri.
Jika ada yg mengambil pendekatan menyerang mazhab, mendakwahkan hukum hakam semata-mata, atau menimbulkan kegelisahan masyarakat dan membincang khilafiyah secara terbuka, pecah belah masyarakat, maka sudah tentu lah ini bukan jalan mujadid hakiki sebagaimana yg dinyatakan dlm artikel di atas.
Sebab itu, bayan tangguh kita selalu dinasihatkan agar kita jangan menjadi seperti mufti bila balik ke rumah atau bergaul dgn masyarakat.
Di jalan ini umat akan disatupadukan.
Waallahualam.


Zarzh,
Memang ada pendapat yg mengatakan usaha dakwah tabligh ini adalah gerakan mujadid kepada umat iaitu membawa umat kembali semula mengikut jalan yang ditunjukkan Nabi SAW dan para sahabat r.hum.
Usaha ini bukan membawa perkara baru dalam agama, tetapi memperbaharui, membaiki umat, iman amal yg rosak supaya dibawa kepada amal agama, menjadi taqwa dan amal soleh.
Ini adalah hakikat bahawa dalam kurun silih berganti, Maulana Ilyas rah. telah diberi ilham, taufik dan hidayat untuk menyegarkan semula membawa umat ini kepada keadaan zaman khairul kurun dgn perantaraan usaha dakwah, berkorban diri masa dan harta.
Ini adalah hadiah kepada umat.

Penghayatan terhadap akidah/tauhid, syariah/fiqh dan akhlak/tasauf ini memang diakui penting. Jika lompong salah satu daripadanya maka akan ada kekurangan.
Contohnya, jika ada yg menolak ilmu tasauf maka akan akan kekurangan dlm keilmuannya.
Jika boleh dilihat dlm anggota manusia; 1)Tauhid/akidah adalah berkaitan kepala, otak, pemikirannya, keyakinannya.
2)Syariah/fiqh pula ialah bagaimana cara anggotanya hendak melakukan sesuatu perbuatan, peraturan dan undang2 utk melakukannya, mendapatkannya supaya betul semuanya dan tiada masalah kekacauan dlm badan (masyarakat).
3)Akhlak/tasauf ialah berkaitan jiwa, psaikologikal, dalaman, hati nurani, yg dpt dilihat terpancar pada kemuliaan akhlak, apabila dalaman hati bersih akan bersinar pd akhlaknya.

3 perkara ini lah yg layak disebut sebagai 3 serangkai dlm memahami keilmuan Islam dan bukan 3 serangkai yg lain.
Sungguh malang 'jika' ada pihak yg mahu menjadi jaguh hukum hakam lalu berlebih-lebihan dalam hal itu tetapi lompong dlm tasaufnya, akhlaknya hingga tersalah langkah masuk ke halaman rumah orang tanpa kebenaran/tauliah!
Orang seperti ini kita kena kasihi dan kesian kpdnya, tetapi sikap tersilap langkah itu yg kita tak suka.
Semoga Allah pelihara kita dan zuriat keturunan kita mengikuti ASWJ dan matikan kita dalam iman dan Islam.

Wallahualam bissawab

Unknown said...

Actually,org Islam rini sibuk dgn perkara yg x sepatutnya dia sibuk,tajdid2 sepatutnya digunakan untuk iman bukan untuk pemikiran,banyak2 hadith dan firman Allah swt yg menyuruh kita supaya mentajdidkan iman kita.
sahabat2 walaupaun iman mereka statik/kuat dan telah di ikhtiraf oleh ALlah,tetapi bil berjumpa ngn nabi saw,masih di suruh mentajdidkkan iman.
TUan boleh bayangkan golongan yang punyai iman mcm tu pun,di suruh mentajdidkan iman lagi..
apa lagi bagi kita semua yang x pasti lagi iman yng kita ada ini Allah terima atau pun tidak...

p/s: umat hari ini telah lupa apa yang lupa...

Ziarah76 said...

anakpendang,
setuju tuan.
Selain itu, umat Islam juga pernah menghadapi masalah muktazilah suatu ketika dahulu yg mengancam tauhid umat Islam secara dominan.
Maka bangun ulama tauhid, Abu Hassan Al-Asy'ari (bermazhab Syafie, beliau berperanan di sekitar tanah hijaz) dan Abu Mansur Al-Maturidi (bermazhab Hanafi, beliau berperanan di tanah di lembah sungai, wara'ulbahri, di kawasan pakistan, india, bangladesh, turkistan etc) yang membanteras fahaman muktazilah dan membersihkan semula tauhid umat Islam, maka lahirlah Ahli Sunnah Waljamaah.
Yang menariknya, dua ulama tauhid ini tidak pernah bertemu, tak pernah bermesyuarat atau apa-apa, TETAPI mereka melakukan perkara yang sama iaitu memperbetulkan, memperbaharui iaitu membawa semula tauhid yg betul umat ini selepas dirosakkan oleh muktazilah yg terpengaruh dgn falsafah logikal Yunani.
Maka tentulah 2 ulama tauhid itu diberikan taufik, hidayat dan ilham daripada Allah SWT.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails