ADALAH diketahui umum bahawa dua senjata umat Islam yang paling ampuh ialah dakwah dan doa. Dengan dua senjata ini, pertolongan dan bantuan Allah akan datang kepada umat Islam. Tetapi malangnya, disebabkan kelemahan iman secara umumnya umat Islam tidak begitu yakin dengan perantaraan kedua-dua senjata ini boleh menyelesaikan masalah umat lalu dicuai-cuaikan dan ditinggal-tinggal dakwah manakala doa dipanjatkan tidak seperti mana menepati syarat ia boleh menjadi makbul.
Maka tidak hairan hari ini timbul persoalan sesetengah pihak mengatakan bahawa mengapa beribu-ribu umat Islam di seluruh dunia berdoa keselamatan Palestin namun mengapa situasi di Gaza terus meruncing? .>BACA SELANJUTNYA!
Maka perlu ditekankan di sini bahawa Allah tidak menzalimi hamba-Nya tetapi umat Islam sendiri yang menzalimi diri mereka sendiri hingga menyebabkan mereka jauh daripada pandangan Allah dan kedua-dua senjata itu tidak benar-benar berada di sisi umat.
Disebabkan itu, sesetengahnya berputus asa lalu digunapakai pemikiran manusia semata-mata lalu dicarinya senjata lain yang disangkanya lebih ampuh namun dan umat terus menderita.
Sebenarnya kedua-dua senjata ini adalah saling berkaitan sebagaimana dinyatakan dalam hadis sahih:
Daripada Huzaifah bin Yaman r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Demi Zat yang nyawaku di tangan-Nya, kamu mestilah sentiasa melakukan amr maaruf dan nahi anil mungkar. Jika tidak, tidak lama lagi Allah akan menghantar azab-Nya ke atasmu lalu kamu berdoa maka Allah tidak akan menerima doamu (Riwayat Tirmizi).
Ulama mengatakan bahawa kecuaian daripada melakukan kerja dakwah iaitu mengajak kepada maaruf dan mencegah mungkar akan menyebabkan doa umat ini kurang berkualiti walaupun beribu tangan menadah doa. Maka tidak hairan hari ini doa umat ini tidak lagi menjadi senjata ampuh kerana tidak berpotensi untuk dimakbulkan. (Semoga Allah ampunkan saya.)
Sebaliknya apabila usaha dakwah dijalankan maka doa-doa umat menjadi berkualiti kerana umat itu mendapat pandangan Allah.
Ulama berkata, dan apabila dakwah dilaksanakan bermakna umat Islam telah membantu agama Allah dan jika kita membantu agama Allah, sudah barang pasti Allah akan memberi bantuan dan pertolongan-Nya kepada umat ini. Ini seperti yang dinyatakan dalam al-Quran, Allah berfirman dalam Surah Muhammad: 7 yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu."
Allah menyakinkan lagi manusia dalam surah Ali-Imran: 160 yang bermaksud: "Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu dan jika Dia mengecewakan kamu maka apakah yang dapat menolong kamu sesudah Allah? Dan ingatlah kepada Allah jua orang yang beriman itu berserah diri."
Dakwah akan membawa manusia kepada Allah, dan meningkatkan kualiti iman dan amal seseorang untuk menjadikannya benar-benar bertaqwa. Maka umat ini yang menjadi benar-benar beriman pasti akan mendapat pandangan dan pertolongan Allah untuk mengalahkan musuh sebagaimana firman Allah dalam surah Rum:47 yang bermaksud: "Adalah sememangnya menjadi tanggungjawab Kami menolong orang yang beriman."
Maka doa akan menjadi makbul dan dakwah diterima Allah adalah jika dilakukan oleh orang yang benar-benar beriman dan beramal soleh.
Allah berfirman dalam surah an-Nur: 55 yang bermaksud: "Allah menjanjikan orang yang beriman dan beramal soleh di kalangan kamu (wahai Muhammad s.a.w) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi sebagaimana Dia menjadikan orang-orang sebelum mereka khalifah-khalifah yang berkuasa..."
Begitupun, dalam hubungan ini, sudah barang tentu kita perlu mengakui bahawa kurniaan Allah adalah maha luas dan sesungguhnya Allah boleh melakukan segala sesuatu tanpa asbab, dengan asbab, berlawanan dengan asbab atau bertentangan dengan asbab.
Sama ada manusia berdoa atau tidak, melakukan dakwah atau tidak, kufur atau sebaliknya - Allah boleh lakukan semua perkara dan Allah tidak pernah terikat dengan mana-mana syarat. Allah Maha Esa, manfaat atau mudharat berlaku dengan kehendak-Nya.
Walaupun seluruh manusia beriman kepada Allah, Allah tidak akan untung atau rugi sedikit pun, khazanah Allah akan tetap dengan keagungan-Nya. Allah boleh melakukan setiap sesuatu tanpa tergantung dengan apa2 keadaan.
Walaupun seluruh manusia kufur, tidak beriman kepada Allah, khazanah Allah tidak akan berkurangan sedikit pun, Allah tidak rugi atau untung sedikit pun. Allah tetap dengan kekuasaan-Nya, yang manjadi Raja Sekelian Alam, mentadbir langit dan bumi, pemberi dan menarik Rezeki, Maha Pencipta dan terus dengan kemuliaanNya dan sifat-sifat-Nya.
Jika manusia tidak mahu melakukan dakwah, Allah boleh gunakan makhluk lain untuk ingat manusia kepada Allah, Allah boleh gunakan semut, labah-labah, anjing dalam gua, burung hud-hud dan sebagainya. Allah tidak berhajat sedikit pun kepada mahkluk-Nya. Sebaliknya makhluk sentiasa berhajat kepada Allah.
Sebaliknya manusia lah yang akan rugi, tidak bernasib baik dan menerima azab yang pedih jika tidak beriman kepada Allah. Jika kita mentaati perintah Allah, beriman, beramal soleh, berdoa, melakukan dakwah maka kita la yang akan untung, mendapat pandangan dan pertolongan daripada Allah.
Itu lah adalah hakikat. Namun hakikat mesti berserta dengan syariat. Dan dengannya manusia dibimbing dengan ilmu. Siapa kah orang paling berilmu dan paling faham mengenai Islam? Sudah tentu Nabi Muhammad s.a.w adalah manusia yang paling tertinggi ilmunya dan barang siapa yang mengikuti sunnah baginda dalam segenap kehidupan maka golongan itu lah yang diberikan taufik untuk mendapat ilmu, mengamalkan ilmu dan menyebarkan ilmu. (Semoga Allah beri kekuatan kepada saya untuk mengamalkan sunnah Nabi mulai dari bangun tidur dan tidur semula setiap hari hingga tutup mata dan nafas terakhir.)
Dalam hubungan hakikat dan syariat, sebagai contoh, walaupun hakikat mengenai kematian ajal maut adalah ditentukan oleh Allah. Namun, tidak boleh seseorang yang pergi berperang begitu sahaja dengan anggapan kalau dah nak 'mati-mati lah'. Walaupun hidup atau mati ditentukan Allah, namun Nabi Muhammad s.a.w tetap pergi berperang dengan baju besi sebagai jalan ikhtiar. Jalan ikhtiar itu adalah mengikut syariat.
Demikian juga bahawa, kita semua yakin bahawa hanya Allah pemberi rezeki dan ia telah ditakdirkan Allah. Tetapi jalan ikhtiar itu, ulama berkata adalah dengan kita bekerja, mencari rezki dan sebagainya.
BEGITU juga dengan umat ini, walaupun keselamatan dan ketenteraman umat ini bergantung sepenuhnya kepada kehendak Allah, namun syariat mengatakan bahawa umat ini juga perlu berusaha untuk mendapatkan perkara itu menggunakan senjata yang paling ampuh iaitu dakwah untuk menjadikan umat ini benar-benar beriman dan beramal soleh, dan selepas itu segala permintaan doa orang beriman dan beramal soleh pasti dan pasti Allah akan makbulkan seperti mana Allah makbulkan doa nabi-nabi bani israel pada zaman itu. Dakwah dan doa adalah senjata paling ampuh bagi orang mukmin. Senjata yang lain hanya keperluan (yg juga perlu diusahakan) untuk menggerunkan hati-hati musuh tetapi tiada janji di belakangnya untuk bantuan kemenangan daripada Allah.
Perintah Allah agar umat Islam mempersiapkan diri hanya untuk menggerunkan musuh tetapi tiada ada janji Allah, persiapan itu boleh membantu mencapai kemenangan seperti terkandung dalam surah Anfal: 60, yang bermaksud:
"Persiapkan dirimu untuk menentang (musuh-musuh Islam) dengan apa jua yang kamu mampu dari segala jenis kekuatan dan pasukan-pasukan berkuda yang disiapkan untuk menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh selain mereka yang kamu tidak ketahui. Sedangkan Allah mengetahuinya. Apa sahaja yang kamu belanjakan di jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu dan kamu tidak akan dizalimi."
Sebaliknya, janji terhadap bantuan dan pertolongan Allah dalam keadaan manusia benar-benar beriman, beramal soleh, melakukan dakwah dan doa adalah jelas dinyatakan.
Wallahualam bissawab.
No comments:
Post a Comment