Boikot demi Palestin?
HAKIKAT bahawa Malaysia dan kebanyakan negara Islam di dunia telah sekian lama bergantung kepada kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) yang cukup besar daripada Amerika Syarikat (AS) adalah sesuatu fakta yang diketahui umum. Malaysia adalah rakan dagang ke-10 terbesar bagi AS dan Malaysia juga negara ke-12 terbesar dalam pasaran eksport AS. >BACA SELANJUTNYA!
Tidak boleh dinafikan bahawa FDI adalah antara faktor yang cukup memberi kesan menakjubkan kepada pembangunan dan pertumbuhan ekonomi sesebuah negara dengan AS sentiasa menjadi rakan dagangan pendahulu, terbesar dan utama kepada Malaysia.
Mengikut statistik, perdagangan dua hala antara AS dengan Malaysia dianggarkan lebih USD30 bilion setahun dengan nilai eksport barangan AS ke Malaysia sebanyak USD9.1bilion manakala AS mengimport dari Malaysia sebanyak USD21.4 bilion pada tempoh yang sama.
Pelaburan itu termasuk dalam bidang minyak, gas, elektrikal, semikonduktor, kimia dan produk konsumer dengan ia turut memberi limpahan peluang pekerjaan pula kepada rakyat.
Hasilnya, rata-rata sektor ekonomi sama ada perdagangan atau perniagaan hingga ke kedai kecil di sebelah sudut station bas dan kedai runcit di hulu banat pun terdapat produk dari AS, atau kadang kala paling kurang pun menjual minuman Coca Cola.
Dari segenap sudut tanah air ini, terdapat kesan-kesan kemasukan pengaruh AS dalam ekonomi, dan ia sesuatu yang sihat bagi pandangan pakar ekonomi apabila mengambil kira sistem kapitalis yang menerajui dunia waktu ini dikepalai oleh AS.
Namun, pada masa yang sama, hakikat bahawa tindak tanduk dasar luar AS sentiasa menjadi antithesis kepada popularitinya tidak boleh diketepikan begitu sahaja hingga menimbulkan kebencian meluap-luap, lebih-lebih lagi dalam tindakan unilateral termasuk menyokong Israel membuta tuli.
Justeru, pengaruh ekonomi AS yang kuat seolah-olah mengikat negara-negara Islam yang menjadi rakan dagang AS hingga menjadikan rata-rata negara ini tidak mampu berbuat
sesuatu yang konkrit setiap kali AS bertindak di luar batasan kemanusiaan bersama Israel untuk menindas umat Islam di Palestin.
Setelah begitu lama polimik antara hubungan politikal ekonomik ini berlarutan tanpa memberi kelebihan dalam penyelesaian isu Israel-Palestin maka hari ini untuk sekian kalinya timbul semula cadangan untuk memboikot produk AS di pasaran tempatan bagi membantah dan memberi tekanan kepada AS.
Boikot sampai letih?
Berikutan serangan tentera Israel ke Gaza ketika ini, maka hari ini tiba-tiba rakyat berasa produk AS perlu diboikot - walaupun banyak percubaan sebelum ini gagal.
Teorinya ialah jika 20 peratus sahaja daripada 1.3 bilion umat Islam berbuat demikian maka kesannya sudah memeritkan dan menjejaskan AS.
Namun bolehkah ia berjaya dilakukan?
Lebih menyedihkan terdapat tanggapan bahawa produk-produk AS termasuk barangan consumer yang dianggap rakyat negara ini amat diperlukan hingga tidak boleh dielak untuk dipakai.
Ini diburukkan lagi dengan sikap rakyat negara ini termasuk orang Islam yang telah 'membudayakan' penggunaan produk AS dalam kehidupan mereka.
Pada hemat saya, umat Islam perlu optimis dengan menganggap ia boleh dilaksanakan dan berusaha bersungguh-sungguh terhadap perkara itu.
Setiap orang perlu menanamkan rasa jijik dan jelek kepada produk AS dengan menganggap dengan setiap sen yang dibelanjakan adalah satu sumbangan untuk AS membedil dan membunuh orang Islam di Palestin.
Apabila pandang sahaja barangan atau restoran yang jenamanya dari AS, maka perlu dijauhi dengan menganggap ia jenama yang bersekongkol mengebom kanak-kanak Islam.
Secara psikologinya, anggap lah apabila duit yang 'mengalir' ke syarikat milik AS, ia turut 'mengalirkan' darah manusia tidak berdosa di Gaza.
Dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia, orang Islam perlu mempengaruhi rakan mereka yang bukan Islam untuk turut serta memboikot atas dasar kemanusiaan. Kerana
kekejaman AS, Israel adalah juga soal membelakangkan hak asasi, anti demokrasi dan sebagainya.
Perlu diterangkan dengan hujah tersusun kepada mereka kerana bukan Islam juga pastinya tidak menyukai peperangan, pembunuhan dan apa-apa kejahatan.
Kita perlu ingat bahawa isu Israel-Palestin sebenarnya menjadikan masyarakat dunia yang pelbagai bangsa semakin benci kepada AS dan Israel.
Terapkan nilai-nilai ini juga kepada anak-anak dan semua peringkat usia di kalangan masyarakat.
Bagaimana pula dengan mereka yang bekerja dengan syarikat milik AS? Tulisan ini tidak bermaksud mencadangkan kepada golongan ini agar berhenti kerja atau mengambil tindakan yang boleh menjejaskan kehidupan mereka khususnya dari segi sumber pendapatan. Tetapi kami berpendapat, golongan ini perlu diberikan kebebasan untuk memikirkan perkara ini dan mengambil langkah sesuai mengikut kemampuan masing-masing. Lagipun, mereka lebih arif terhadap hal ehwal mereka sendiri.
Selain itu, apa yang lebih penting, umat Islam perlu mempraktikkan kesederhanaan dengan mengamalkan sunnah Nabi s.aw dalam kehidupan.
(Contohnya, jika seorang yang mengamalkan sugi maka harga sebatang sugi hanya lebih kurang RM1 dan boleh pakai hingga lebih satu tahun. Pakai 5 kali sehari ketika wuduk, maka betapa banyak ganjaran pahala, gigi dan mulut sihat dan betapa jimatnya perbelanjaan, tak payah beli ubat gigi dan berus gigi yg terpaksa ditukar tak sampai sebulan. Itu baru satu sunnah, terdapat banyak lagi sunnah lain).
Memboikot perlu juga melibatkan soal hal-hal hiburan atau perkara yang tidak perlu atau dianggap remeh. Misalnya filem-filem dan lagu-lagu dari AS perlu diboikot daripada dibeli atau ditonton.
Pulaukan program TV yang menyajikan bahan dari AS, kecuali perkara yang benar2 untuk tujuan pendidikan. Hari ini banyak rancangan TV diimport dari AS, maka penonton perlu memboikotnya juga.
Semua perkara ini perlu dilakukan oleh rakyat sendiri kerana kerajaan mana-mana negara Islam 'susah' hendak menganjurkan perkara itu secara total kerana terdapat banyak kekangan. Kita juga tidak boleh salahkan mereka. Dan rakyat sebenarnya mempunyai kuasa kepenggunaan yang boleh digunakan pada bila-bila masa tanpa menjejaskan diri kita sendiri.
Walaupun pemimpin-pemimpin negara Islam bersetuju dengan memboikot tetapi tidak ramai perdana menteri dan presiden negara-negara ini yang mampu menyatakannya dengan lantang dan terang.
Sebagai contoh, kita boleh lihat sendiri, terdapat seorang bekas pemimpin sebuah negara (yang tidak perlu dinyatakan namanya di sini) mencadangkan langkah memboikot sekarang tetapi semasa dia memegang tampuk pemerintahan dahulu dia sendiri mengatakan boikot tidak selesaikan masalah.
Ini kerana semasa memegang jawatan, terdapat kekangan yang (mungkin) tidak dapat dia elakkan bagi menjaga kepentingan negara tetapi selepas dia melepaskan jawatan maka dia akan cakap apa sahaja yang difikirkan betul.
Begitupun kita tidak boleh menyalahkan mereka atau pemimpin ini, kerana mungkin mereka terpaksa berbuat demikian kerana difikirkannya ia dapat menjaga ketenteraman dan keselamatan awam dan tidak mahu mengambil risiko membahayakan rakyat semasa memegang jawatan.
Apapun, sementara kita menghormati semua rakyat negara ini, justeru usaha memboikot perlu dilakukan secara bersama-sama, bersepadu, terancang dan bukan hangat-hangat tahi ayam.
Bro, jika kita hendak ke Gaza tidak mampu, takkan buat perkara ini pun kita tak boleh beb? InsyAllah kita sama-sama azam dan buat perkara ini. WaAllahu alam.
2 comments:
assalamualaikum
memang benar tuan.. bukan mudah untuk boikot barangan US, sebagaimana mereka merupakan penyumbang FDI terbesar kat malaysia nih...
tapi kalaulah kita umat Islam bersatu menggunakan sumber yang kita ada untuk membangunkan ekonomi kita sendiri... boleh terduduk jugak sebenarnya mereka tuh... malangnya kita lebih selesa bergantung ekonomi dengan mereka
apa-apa pun, hanya dengan agamalah kita akan dapat mengatasi mereka. Allah dah menjanjikan bahawa kitalah khalifah sebenar di muka bumi ini, selagi mana kita beriman...
untuk membentuk umat yang beriman, kerja dakwah perlu dilaksanakan.
benar tak tuan?
eksp,
Jika kita bantu agama Allah maka bantuan Allah akan datang kepada kita. Allah akan tegakkan kaki kita ke atas musuh-musuh. Allah jadikan orang mukmin itu khalifah atas muka bumi. Banyak janji Allah mengenai pertolongan-Nya untuk orang yg beriman dan beramal soleh. Utk beriman dan amal soleh itu lah maka usaha dakwah berjalan.
Saudara2 kita di Palestin sedang bermandi darah dan beri nyawa. Kita doakan semoga bantuan Allah bersama mereka. Kita kat sini bantu mengikut kemampuan, semoga Allah ampunkan kita. Hakikatnya, kita belum buat apa2 sungguh2.
Post a Comment