Thursday, October 27, 2011

Sebut betul-betul...'mursyid'

BEBERAPA tahun dahulu, saya dihantar ke suatu kawasan di Utara untuk tempoh 40 hari berada di jalan Allah.
Kebanyakan ahli jemaah adalah dari halqah (kawasan) sendiri iaitu di selatan tanah air. Salah seorangnya adalah seorang pemuda yang pertama kali membelanjakan diri, masa dan harta bagi tempoh 40 hari. Kalau tak silap beliau pun baru satu atau dua kali keluar 3 hari sebelum itu, dan terus ke cillah 40 hari itu.
Walaupun begitu, jazbah beliau sentiasa tinggi dan kalau kita bersembang dengannya, menerusi akhlak dan keterampilannya maka kita akan terasa seolah-olah dia seperti orang lama terlibat dalam usaha.
Beliau juga seorang yang tekun dan bersungguh-sungguh hingga saya sendiri kadang kala terkesan dengan sifatnya.
Satu hari semasa awal tempoh cillah itu, dalam mesyuarat pagi, amir yakni ketua jemaah memutuskan beliau untuk memberi bayan subuh, iaitu ceramah penerangan selepas solat Subuh.
Beliau taat kepada keputusan walaupun nampak seperti keberatan dan ada juga mengesyorkan nama rakan lain. Dia tidak memberi sebarang alasan atau tekan syor tetapi hanya diam dan taat.
Selepas habis mesyuarat, ketika bersembang, dia menyatakan kerisauan kerana dia masih belum boleh bercakap enam perkara sifat sahabat yang mana kebiasaan disampaikan pada bayan subuh. Lagipun, katanya, memandangkan ia adalah kali pertama bayan subuh dalam hidupnya maka dia bimbang akan berasa gugup nanti kerana kurang bersedia.
Namun, rakan lain memberi semangat, dorongan dan menyakinkan beliau boleh melaksanakan tugas tersebut dengan jayanya dan niat untuk belajar, untuk diri sendiri. Lagipun, beliau sudah beberapa kali bermuzakarah dengan rakan seusaha mengenai 6 sifat sahabat itu.
Seorang rakan kami menenangkan perasaannya: "Alaa bayan subuh mana ada orang tempatan duduk... kita-kita je yang duduk, jadi apa nak risau."
Maka sepanjang hari berjalan lancar dan beliau kelihatan lebih tawajuh.
Apabila tiba saatnya iaitu pada selepas solat subuh maka bangunlah beliau lalu duduk di kerusi depan ruang solat untuk memberi bayan subuh.
Beliau memulakan pengucapannya dengan baik tetapi tersekat-sekat, buah-buah bayan adalah seperti orang menghafal sesuatu berkisar mengenai maksud, kelebihan dan cara nak dapatkan.
Apabila selesai hakikat kalimah maka masuk ke bab hakikat solat, beliau nampak berasa seperti sudah selesa dan bertambah bersemangat.
Sebahagian ahli jemaah mendengar dengan khusyuk dan sebahagian lagi 'teramat' khusyuk hingga kepalanya tertunduk ke bawah. Terdapat rakan seusaha tempatan dan juga seorang orang tempatan.
Tiba-tiba apabila sampai ke bab ilmu dan zikir, berlaku sedikit kekecohan.
Mana tidaknya, beliau berkata,".... ilmu masaile kita kena belajar dengan ustaz-ustaz dan guru-guru agama yang musyrik..."
Nahh..ambik kau. Orang tempatan wajahnya terpinga-pinga mendengar 'mursyik' manakala dua, tiga orang rakan seusaha di depan pun cuba membetulkan percakapan: "...mursyid! mursyid!..."
Tapi sebab kereta dah laju jalan susah nak break, beliau terus jalan bayan kerana tak prasan terjadi kesilapan sebutan, tapi mujur tak jauh beliau tersedar, lalu membetulkannya.
Terdengar kekecohan kecil tu, ahli jemaah yang tunduk kepalanya kerana 'amat khusyuk' pun tiba-tiba terjaga dan terpinga-pinga juga lalu tanya 'apa hal?'.
Bayan diteruskan hingga ke akhir dengan lebih berhati-hati.
Apapun, selepas kejadian itu, kami pun tergelak bila mengenangkan kejadian itu. Tetapi hikmah daripada kejadian itu dan berkat beliau taat amir, mesyuarat, dikhabarkan hari ini beliau adalah salah seorang rakan seusaha yang mantap jika diputuskan memberi bayan dan juga hari ini dikatakan beliau lebih maju dalam usaha dan memberi pengorbanan untuk agama.

Tuesday, October 25, 2011

Memahami Tabarruk - perbuatan mengambil berkat

بسم الله الرحمن الرحيم


Ruang ini akan membahaskan  persoalan tabarruk atau perbuatan mengambil  berkat daripada seseorang atau sesuatu.  Kefahaman atau salah faham tentang persoalan  ini juga timbul dalam masyarakat kita.
Ramai umat Islam yang tidak memahami hakikat  tabarruk sama ada dengan Nabi SAW atau pun  kesan-kesan pusaka peninggalan Baginda SAW,  keluarganya, ulama pewaris Nabi dan para wali,  rahimahumullah.
Mereka menganggap orang yang mengambil jalan  tabarruk, melakukan kesyirikan dan kesesatan  lantaran kerana penelitian mereka yang sempit  dan pemahaman akal mereka yang senteng.
Sebelum dijelaskan dalil-dalil dan bukti-bukti yang  menunjukkan bahawa tabarruk diharuskan,  bahkan juga disyariatkan, sewajarnya kita ketahui  bahawa tabarruk itu tidak lain dan tidak bukan,  hanyalah amalan tawassul kepada Allah SWT  melalui perantaraan makhluk yang diambil berkat  daripadanya itu; sama ada berupa kesan  peninggalan, tempat atau seseorang manusia.
Adapun benda-benda yang mulia; dijadikan  sebagai alat bertabarruk kerana dipercayai  mempunyai kelebihan dan pendekatan dengan  Allah SWT. Meskipun demikian, tetap dipercayai  bahawa mereka itu lemah untuk mendatangkan  manfaat atau menolak mudarat, kecuali dengan  izin Allah SWT.
Sementara, barang-barang peninggalan; dijadikan  alat bertabarruk kerana disandarkan kepada  individu atau orang-orang yang mulia tersebut.  Maka ia menjadi mulia kerana kemuliaan mereka.  Ia juga menjadi agung, besar dan dikasihi kerana  mereka, sama ada para nabi, rasul, ulama dan  wali.
Begitu juga dengan tempat. Ia menjadi tempat  yang berkat bukan semata-mata kerana tempat  tersebut, tetapi  kerana berlaku di tempat tersebut  perkara-perkara kebaikan dan kebajikan; seperti  solat, puasa dan ibadah-ibadah lain yang dilakukan  oleh hamba-hamba Allah yang soleh.
Dengan kebaikan yang mereka lakukan di tempat  tersebut, maka di situ diturunkan rahmat, dihadiri  oleh malaikat dan diliputi ketenangan. Inilah  keberkatan yang dituntut daripada Allah di  tempat-tempat yang dimaksudkan.
Keberkatan ini boleh didapati di tempat-tempat  tersebut melalui tawajjuh (menghadapkan  permohonan) kepada Allah, berdoa kepada-Nya,  beristighfar dan mengingati peristiwa-peristiwa  penting dan mulia yang berlaku di tempat  tersebut.
Dengan mengingati peristiwa mulia tersebut, akan  menggerakkan jiwa-jiwa, membangkitkan  keazaman dan semangat untuk mencontohi  insan-insan yang telah berjaya dan soleh.
Di bawah dipersembahkan nas-nas ini yang dipetik  daripada risalah khusus Prof. Dr. Sayyid  Muhammad ‘Alawi al-Maliki yang bertajuk  al-Barakah (keberkatan).

Bertabarruk dengan rambut dan ludah baginda  SAW
Daripada Ja’far ibn Abdullah ibn al-Hakam,  meriwayatkan: Bahawa Khalid ibn al Walid r.a  kehilangan kopiah pada hari peperangan  Yarmuk.
Dia berkata: “Carilah kopiah itu” Tetapi, para  tentera tidak menemuinya. Khalid r.a berkata lagi,  “Carilah lagi!” Akhirnya mereka menemuinya.  Ternyata kopiah yang dicarinya itu hanyalah kopiah  yang sudah usang.
Khalid r.a berkata: “Rasulullah SAW pernah  mengerjakan umrah, lalu mencukur rambutnya.  Orang ramai pun berebut-rebut hendak  mendapatkan rambut Baginda SAW yang telah  terpotong itu. Aku mendahului mereka untuk  mendapatkan rambut daripada bahagian ubun  kepala Baginda SAW.
Setelah mendapatnya, aku menyimpannya di  dalam kopiah ini. Maka tidak ada peperangan pun  yang aku ikuti dengan membawa kopiah ini  bersamaku, melainkan aku diberikan  kemenangan”. (Berkata al Haithami: Telah  meriwayatkan hadis ini al Tabrani dan Abu Ya’la  juga meriwayatkan riwayat yang sama. Rijal  kedua-duanya adalah sahih. Majma’ al Zawaid  9:349. Hadis ini disebut oleh Ibnu Hajar di dalam  al-Matolib al-‘Aaliah 4:90)
Diriwayatkan daripada Malik ibn Hamzah ibn Abu  Usaid al-Sa’idi al-Khazraji, daripada ayahnya,  daripada datuknya Abu Usaid, dia mempunyai  sebuah perigi di Madinah yang dikenali dengan  Telaga Budha’ah.
Nabi Muhammad SAW pernah berludah ke dalam  perigi itu. Maka dia meminum air dari perigi itu,  seraya memohon keberkatan dengannya.  (Riwayat al-Tabrani dan rijalnya adalah  dipercayai).

Keadaan sahabat bersama Rasulullah SAW
‘Urwah ibn Mas’ud pernah menggambarkan  keadaan para sahabat r.a bersama Nabi  Muhammad SAW.
Imam al-Bukhari meriwayatkan dengan sanadnya  kepada al-Masur ibn Makhramah dan Marwan,  kedua-duanya berkata: ‘Urwah pun kembali  kepada kaumnya. Dia berkata, “Wahai kaumku!  Demi Allah! Sesungguhnya aku telah beberapa kali  diutus kepada raja-raja; aku pernah diutus kepada  Qaisar, Kisra, dan Najasyi. Demi Allah! Aku tidak  pernah melihat seorang raja yang diagungkan oleh  sahabat (rakyat)nya, seperti yang dilakukan oleh  sahabat-sahabat Muhammad SAW.
“Demi Allah! Tidaklah Baginda SAW berludah,  kecuali ludahnya itu jatuh di atas telapak tangan  seseorang daripada mereka. Lalu, dia menggosok  ludah itu ke muka dan kulitnya. Jika Baginda SAW  menyuruh mereka, mereka berebut-rebut untuk  melaksanakan perintahnya.
“Apabila Baginda SAW berwuduk, hampir saja  mereka saling berbunuhan kerana merebut air  wuduknya. Apabila mereka berbicara, mereka  merendahkan suara di sisi Baginda SAW. Mereka  juga tidak menajamkan pandangan kepadanya  kerana membesarkannya”. (riwayat Imam  al-Bukhari dalam kitab al-Syurut, bab:  ‘Syarat-syarat Jihad’.)

Ulasan Al-Hafiz Ibnu Hajar mengenai kisah ini
Di dalam kisah di atas menunjukkan ludah (kahak)  dan rambut yang telah terpisah dari jasad adalah  suci, dan terdapatnya amalan tabarruk dengan  sisa-sisa atau lebihan yang suci daripada  orang-orang soleh.
Boleh jadi, para sahabat r.a melakukan perbuatan  tersebut disebabkan kehadiran ‘Urwah, dan  mereka berlebih-lebihan melakukannya, sebagai  isyarat daripada mereka untuk menolak anggapan  ‘Urwah yang khuatir para sahabat akan melarikan  diri daripada Nabi SAW.
Mereka seolah-olah berkata dengan lisan hal  (ujaran sikap): Orang yang mengasihi imam atau  pemimpin mereka dengan kasih yang sebegini  rupa dan membesarkannya dengan kemuliaan  seperti ini, bagaimana boleh adanya sangkaan  bahawa ia akan lari daripada pemimpinnya itu dan  menyerahkannya kepada musuhnya?
Bahkan, para sahabat r.a tersebut sangat  mencintai Baginda SAW, dan juga terhadap  agamanya, serta kuat membantunya lebih kuat  daripada kabilah-kabilah Arab yang saling  memberikan perhatian di antara satu sama lain  semata-mata kerana ikatan kasih (kekeluargaan).
Daripada riwayat tersebut juga dapat diambil  kesimpulan, bahawa harus menggunakan  pelbagai cara dan alat untuk mencapai tujuan  melalui pelbagai jalan yang dibolehkan. (Lihat Fath  al-Bari, 5: 341)

Thursday, October 20, 2011

Adab usul (N3 ulang tayang)

Empat perkara diperbanyakkan:
1-Dakwah
2-Taklim wa taklum
3-Ibadat
4-Khidmat

Empat perkara dikurangkan:
1-Masa makan dan minum
2-Masa tidur dan rehat
3-Masa di luar masjid
4-Cakap sia-sia

Empat perkara ditinggalkan:
1-Jangan harap pada makhluk
2-Jangan minta pada makhluk
3-Jangan membazir
4-Jangan guna barang tanpa izin

Empat perkara jangan disentuh:
1-Isu semasa dan politik
2-Mazhab dan masalah khilafiah
3-Pangkat dan keturunan.
4-Minta Derma.

-Adab usul untuk diri sendiri masing-masing. Insya-Allah, semua ini boleh dapat bila keluar di jalan Allah SWT. Kalau setakat baca-baca je kat sini takde mujahadah maka susah lah nak datangkan perkara-perkara tu. Benda tinggiii kena mujahadah lah kan.
Aku pun tak dapat-dapat lagi!!
Tuan2 tolong doakan aku, kena keluar lagi dan lagi.



Copy paste daripada ENTRY LAMA Z76

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails