Tuesday, October 20, 2015

Gangguan mistik dalam perjalanan ?


Solat hajat diadakan semalam bagi mendoakan keselamatan pengguna lebuh raya LPT2.

BAGI mana-mana masyarakat termasuklah orang Melayu, cerita-cerita mistik adalah sesuatu lumrah dan amat diminati. Tetapi jika ia dikaitkan dengan sesuatu yang menyebabkan kematian maka ia menjadi sesuatu yang bertambah nilai kegerunan.

Terus doakan umat Islam di Palestin



Berita-berita terbaharu mengenai keganasan Israel terhadap rakyat Palestin terus menyemarakkan api kemarahan umat Islam terhadap regim Zionist itu. Sudah sekian lama, begitu banyak kekejaman yang dilakukan oleh Yahudi yang tidak berperikemanusiaan ini. 

Monday, November 17, 2014

Hentikan program realiti hiburan sampah sarap


ADALAH menjadi amat malang bagi masyarakat Islam negara ini terus disajikan oleh syarikat televisyen dengan hiburan-hiburan melalaikan termasuk lah program realiti yang diceduk bulat-bulat daripada negara barat.

Friday, September 26, 2014

Apakah nasib akhbar tempatan ?




"Keadaan industri akhbar berada dalam tenat. Rata-rata surat khabar dalam keadaan rugi atau berada dalam keuntungan yang menunggu untuk rugi."

Sunday, April 6, 2014

Bukan sekadar hilang MH370, tetapi umat Islam banyak lagi yang sudah hilang

MH370 menjadi perbualan umum seluruh dunia. Tapi apa yang sepatutnya dibualkan oleh seluruh manusia di seluruh dunia ialah betapa lemahnya manusia itu - hingga satu dunia berkumpul, seluruh teknologi kepandaian manusia digunakan, semua otak yang cerdas dan cergas digunakan dan segala macam ikhtiar dijalankan - tetapi tetap soalan ke mana pesawat itu hilang masih tidak dapat dijawab.
Sekarang di mana perginya manusia yang sering mendabik dada bahawa masalah manusia boleh diselesaikan dengan sains dan teknologi? Ke mana manusia yang hanya bergantung kepada otaknya sahaja untuk sesuatu tindakan? Ke mana manusia yang berasa hebat apabila mahkluk sains berada di sisinya? Ke mana manusia yang berkata itu dan ini tanpa memikirkan tentang kebesaran Allah.

Operasi mencari MH370 di Lautan Hindi
Operasi mencari kemanisan iman di masjid.
Sekarang manusia yang bersifat hanya mementingkan ilmu keduniaan berasa malu dan menundukkan mukanya. Baru lah tahu bahawa manusia itu sebenarnya adalah bodoh jika tidak dipandukan oleh agama.

Mujur, Alhamdulillah umat Islam di Malaysia secara umumnya dan juga dunia terus tidak putus-putus berdoa kepada Allah untuk memohon petunjuk dan bantuan di atas tragedi tersebut. Sebahagian ulama telah memberi nasihat agama yang amat berguna di samping usaha-usaha mencari ikhtiar dijalankan berdasarkan kepakaran masing-masing.

Yang menjadi sedih dan mengejutkan ialah apabila pesawat Boeing yang dikatakan begitu canggih dan nyawa 239 penumpang dan kru MH370 hilang begitu sahaja ketika berada di udara. Tentu lah menyayat hati apabila sudah sebulan mereka hilang dalam kejadian yang tidak pernah berlaku dalam sejarah penerbangan dunia.

Dari satu segi, bayangkan jika kejadian kehilangan pesawat di udara menjadi satu lumrah di dunia. Misalnya dalam sebulan berlaku antara 3 hingga 4 kehilangan pesawat di udara. Maka sudah tentu situasi manusia menerima khabar kehilangan itu berbeza seperti mana dirasai sekarang. Jika kerap berlaku ia seumpama kadar kemalangan di jalan raya terutama pada musim perayaan, yang walaupun menyedihkan tetapi tetap boleh diterima, bahkan kes sudah tertentu berbeza kerana jauh dari faktor luar biasa dan unsur pelik.

Sementara kita amat bersedih dan bersimpati dengan kehilangan mereka yang tersayang, kita  juga patut memikirkan satu perkara yang amat penting iaitu bagaimana pula jika manusia kehilangan iman dan amalnya yang begitu bernilai di dunia dan akhirat?

Sepatutnya, sebagaimana sedihnya kita dengan kehilangan MH370, kita juga patut berasa begitu sedih hingga ke dasar lubuk hati yang dalam mengenangkan umat hilang amalan agamanya dalam kehidupan harian, imannya senipis kulit bawang, pagi beriman tetapi malam menjadi kufur, menukar agama seperti menukar baju, maksiat dan dosa menjadi lumrah, keyakinan yang salah dan rosak, percakapan merosakan iman sudah sebati dalam diri manusia dan keluarga!

Tidak kah kita begitu sedih terhadap kehilangan iman dan amal dalam umat ketika ini? 

Manakan tidak sedih, malahan sepatutnya lebih sedih daripada semua perkara dunia yang terjadi kerana kehilangan iman dan amal bukan sahaja menyebabkan manusia menderita di kehidupan dunia yang sementara antara 60 hingga 70 tahun hidup, tetapi kehilangan iman menyebabkan kesengsaraan di alam akhirat yang kekal abadi selama-lamanya.

Sebagaimana usaha mencari pesawat untuk menemui semula apa yang hilang iaitu pesawat, penumpang dan kotak hitam maka begitu juga usaha yang lebih besar lagi perlu kita jalankan sentiasa tanpa mengira musim iaitu berusaha menemui semula kehilangan kekuatan iman dan amal agar menjadi orang mukmin yang sebenarnya di sisi Allah.

Setiap yang berlaku memberi pengajaran dan tidak lah sia-sia. Kita bersyukur Malaysia dan 26 negara dan masyarakat seluruh dunia begitu prihatin terhadap kehilangan MH370. Sikap kasih sayang masyarakat dunia untuk berkongsi kesedihan dan menghulurkan bantuan ini amatlah wajar dipuji dan menunjukkan perpaduan dan kesepakatan umat Manusia untuk bantu membantu.

"Begitupun, umat Islam perlu mempelajari kejadian ini lebih daripada apa yang dilihat oleh bukan Islam. Kita perlu melihatnya bukan sekadar menemui semula pesawat, penumpang dan kotak hitam yang hilang TETAPI lebih penting setiap daripada orang Islam walau di mana pun berada perlu melihat kepada diri sendiri untuk menyemak apakah yang telah hilang dalam diri saya sendiri hingga kehidupan saya jauh daripada kehidupan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat r.hum." 

Apa yang telah hilang dalam diri saya, sehingga saya jauh dalam kehidupan beragama, mengapa amalan sunah-sunah nabi telah hilang dalam hidupan harian saya dan keluarga, mengapa doa saya hilang kemakbulannya, mengapa pekerjaan saya hilang keberkatannya, mengapa ingatan saya hilang daripada mengingati Allah, kenapa tujuan saya hilang daripada mencari redha Allah, maruah umat Islam yang hilang dan dipijak-pijak musuh Islam, perpaduan dan kasih sayang sesama Islam sudah hilang. Sungguh banyak yang sudah hilang tuan-tuan....

Jika kita tidak sedar akan perkara ini, maka walaupun MH370 sudah ditemui semula pada suatu hari nanti, maka tetap perkara yang begitu penting dalam diri kita tetap masih hilang. Sehingga bila kita akan hilang daripada dunia yang fana ini (iaitu apabila kita meninggal dunia) maka baru lah kita menyesal mengapa di dunia dahulu kita tidak mencari amal soleh yang mencukupi buat bekalan di alam akhirat. Ketika itu sudah terlambat...

Sebelum kita kehilangan nyawa dan  umur hidup kita, marilah kita menjadi orang yang bijak iaitu orang  yang bijak hingga menemui apa yang hilang di dunia untuk mengingati maut dan membuat persediaan.

Wa Allahu a'lam.




Tuesday, April 1, 2014

Rumah sewa Puncak Jalil sudah lama disewa orang.

بسم الله الرحمن الرحيم

Setelah begitu lama tidak mengeluarkan posting terbaru, saya merasakan mahu menulis sesuatu yang tidak kurang pentingnya di sini.
Pertamanya, walaupun blog ini agak bersarang, yang menunjukkan ia terbiar, namun apa yang mengejutkan ialah ramai juga yang bertanya tentang rumah sewa di Taman Puncak Jalil.
Ini boleh dilihat di ruang komen yang sedutan ulasannya terletak di sebelah kanan page ini. Minat anda dihargai.
Pertanyaan itu secara positifnya, saya anggap berjaya membuktikan kawasan perumahan tersebut amat staregik untuk orang menyewa rumah. Ya, memang strategik kalau dilihat dari segi kedudukannya dengan berdekatan pusat bandar dan sebagainya.
Tapi apa lah dayanya saudara-saudari,
Posting itu adalah entry lama dan disebabkan tiada entry baru mengenai rumah kosong maka sudah tentulah rumah itu sudah berpenghuni lama dah.
Alhamdulillah, rumah tersebut didiami oleh pasangan yang baik dan bertanggungjawab terutama dari segi memastikan pembayaran menepati masa.
 Jadi, kalau ada kekosongan nanti maka saya akan buat entry baru untuk mencari penyewa.
Sekian terima kasih.
Gambar lama bro....

Saturday, September 14, 2013

Berangkat ke Tanah Suci

بسم الله الرحمن الرحيم
Syukur, alhamdulillah, panggilan haji kini tiba untuk saya dan isteri yang akan berangkat pada 18 September ini. Mohon tuan2 dan puan2 doakan agar kami dipermudahkan segala urusan dan dikurniakan haji mabrur. InsyaAllah.
Dalam kesempatan berblog ini, saya ingin memohon kemaafan atas sebarang salah dan silap jika ada termasuk sebarang perbuatan yang menyinggung perasaan semua.
Sekian terima kasih.





Saturday, July 27, 2013

Dunia blog kian ditinggalkan

بسم الله الرحمن الرحيم
Lama sudah tidak berblog. Sibuk macam2, lagipun sekarang ni beralih pula ke fb sebab lebih mudah dan tak mengambil masa panjang. Tambahan pula sekarang ada macam2 contohnya whatsapp, wechat dll. Semua ni mengalihkan tumpuan dan masa drpd blog ke aplikasi baru.
Ramai bloggers yg beralih dan tak membiarkan blog mereka bersawang.
Bagaimanapun, blog tetap mmpunyai kekuatan tersendiri, tinggal lagi ada masa ke tidak utk berblog.




Thursday, May 16, 2013

Wahai YB...anda bergembira atau bersedih?


SELEPAS pilihan raya umum berlalu, pelantikan menteri kabinet menjadi perbualan ramai.
Itu adalah proses biasa dalam demokrasi iaitu selepas rakyat memilih pemimpin di kawasan parlimen atau dewan undangan negeri dalam sesebuah pilihan raya maka ketua parti yang menang majoriti terbanyak akan melantik pemimpin dalam kerajaan untuk membantunya mentadbir negara.
Apapun tahniah dan syabas kepada YB-YB yang menang dan YB-YB yang dilantik dalam kabinet.
Dari satu sudut lain, saya melihat kebanyakan pemimpin-pemimpin yang menang dalam pilihan raya begitu gembira dengan kemenangan malahan ada yang dijulang dan dilambung oleh pengikut dan penyokongnya bagi meraikan kemenangan sebaik sahaja diumumkan menang pada hari pengiraan undi.
Begitu juga, ada pemimpin terutama muka baru yang berasa cukup gembira apabila dilantik menjadi menteri atau timbalan menteri atau pun exco kerajaan negeri.
Ada pula pemimpin yang berasa sedih teramat sangat, kecewa yang bukan kepalang bila tak dilantik ke jawatan tertentu dalam kerajaan pusat atau negeri atau kalah dalam pilihan raya.
Apabila mengenangkan tanggungjawab dan amanah yang dipikul bila memegang jawatan tersebut, apakah ada masa para pemimpin ini untuk bergembira atau dijulang-julang ke siling?
Patutnya yang kalah atau tidak terpilih adalah orang yang tersenyum lebar kerana terlepas daripada amanah yang berat yang akan ditanya di akhirat di hadapan Allah.
Sebab, hakikatnya, menjadi seorang pemimpin atau diberi jawatan, ia bukanlah lambang kepada kehormatan atau kemuliaan diri, bahkan satu bebanan berat yang akan dipersoalkan oleh Allah SWT.
Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda; "Akan datang satu masa kamu akan berkeinginan untuk menjadi ketua. Menjadi ketua itu akan menyebabkan kamu menyesal pada hari kiamat. Perumpamaan menjadi ketua adalah seperti wanita yang menyusukan anak, pada mulanya menyusukan, dia disukai tetapi semasa menceraikan susu dia tidak disukai." (Bukhari)
Contoh kita adalah para sahabat r.hum. Itu lah cara untuk bergembira di akhirat kelak.
Umar bin Al Khattab masih makan roti kering dan memakai baju yang penuh dengan tampal semasa menjadi khalifah. Setiap malam beliau akan membuat rondaan untuk membantu orang-orang yang susah.
Salafusolihin, khalifah Umar Abdul Aziz hidup dalam keadaan zuhud. Diriwayatkan daripada Humaidi katanya: “Setelah Umar bin Abdul Aziz ditabal menjadi khalifah, beliau pun menangis seraya berkata: “Wahai Qilabah! Adakah kamu tidak berasa bimbang mengenai diriku? Qilabah lalu bertanya: Apakah perasaan cinta dan keinginan tuan terhadap wang? Jawabnya: Aku langsung tidak menyukainya. Kata Qilabah: Oleh itu, tuan tak perlu berasa bimbang dan takut. Sesungguhnya Allah akan sentiasa memberi pertolongan kepada tuan.”
Wahai pemimpin yang saya kasihi, sekarang anda bergembira atau bersedih?

Monday, February 4, 2013

Keinginanku pada mu

Wahai manusia yang diberikan kuasa, 
terus lah dengan kuasamu, 
aku tak berhajat kepada kuasamu.

Wahai manusia yang diberikan harta kekayaan, 

terus lah dengan kekayaanmu, 
aku tak mahu harta kekayaanmu.

Wahai manusia yang diberikan kemahsyuran, 

teruslah dengan kemahsyuranmu, 
aku tak berhajat kepada kemahsyuran itu.
 
Wahai manusia yang diberikan kemiskinan, 

aku tak berhajat dengan kemiskinanmu.

Bukan, bukan, bukan....

Bukan itu yang aku mahu daripada mu wahai saudaraku!

Keinginanku ialah agar aku dan kamu taat perintah Allah dan rasul-Nya. 

Itu sahaja.
Kerna dengan taat itu kita akan berjaya

Sama ada kita kaya atau miskin, 
susah atau senang, 
pemerintah atau diperintah, 
di desa atau di bandar, 
berkulit putih atau hitam, 
di utara atau selatan, 
buta huruf atau terpelajar, 
mahsyur atau tak dikenali ......dan sebagainya dan sebagainya.

Saturday, February 2, 2013

Masjid lebih RM1 juta tiada tandas, tempat wuduk

TAWAU 2 Ogos 2012 - Pelik tetapi benar. Masjid  Kampung Bergosong, Pulau Sebatik dekat sini  yang bernilai lebih RM1 juta dan baru siap tidak  mempunyai ruang mengambil wuduk serta tandas  untuk wanita.
Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Seri Abdul Ghapur  Salleh yang amat kesal dengan keadaan itu  menggesa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri  Sabah menjelaskan mengenai keadaan itu  termasuk kos sebenar pembinaannya.
"Saya difahamkan ia menelan belanja kira-kira  RM1.1 juta, adakah wang sebanyak itu tidak  mencukupi untuk membina kedua-dua kemudahan  asas berkenaan.
"Agak sukar untuk difahami bagaimana  kemudahan yang wajib ada itu tidak disediakan di  masjid. Macam mana jemaah wanita mahu  mengambil wuduk dan menggunakan tandas?,"  katanya di sini semalam.
Tegas Abdul Ghapur, sekiranya berlaku  penyelewengan ke atas peruntukan pembinaan  masjid itu, beliau menggesa Suruhanjaya  Pencegahan Rasuah Malaysia campur tangan  untuk segera menyiasatnya.
Katanya, situasi 'aneh' di masjid itu telah  menimbulkan rungutan daripada masyarakat  setempat dan ia secara tidak langsung  menjejaskan imej kerajaan.
"Sepatutnya setiap pembinaan kemudahan  kerajaan terutama masjid harus dilaksanakan  penuh teliti dan sempurna kerana ia melibatkan  wang rakyat, apatah lagi apabila kemudahan itu  adalah untuk tempoh jangka masa panjang,"  katanya.

----> komen Z76: Betul ke ni?

Saturday, September 22, 2012

Soalan yang belum terjawab...

بسم الله الرحمن الرحيم

Sudah lama tidak berpeluang menulis entry, walaupun penulisan bukan sesuatu yang asing dalam rutin hidup. Blog ini pun hampir-hampir mati dibiarkan begitu sahaja, tak dipedulikan.
Saya teringat, suatu ketika saya menghadiri persidangan antarabangsa NAM (Non Aligned Movement) di Kuala Lumpur. Ia dihadiri para pemimpin dunia antaranya F.Castro dari Cuba, Pervez Musharaf (Presiden Pakistan) dan beberapa pemimpin utama dunia lain. Malaysia ketika itu masih ditadbir oleh Dr. Mahathir Mohamad.
Sebagai rakyat Malaysia, kita sepatutnya amat berbangga kerana pemimpin negara lain amat mengkagumi  kecerdikan Perdana Menteri kita. Dan ketika itu, saya pun berasa bangga begitu.
Saya berpeluang mengikuti beberapa ucapan dan kenyataan pemimpin-pemimpin dunia yang hadir pada persidangan itu. Ucapan Dr. Mahathir cukup menarik. Pengucapan Castro penuh karismatik dengan wajah bersungguh-sungguh memperlecehkan negara-negara Barat dan hipokrasinya.
Dalam satu kesempatan, saya dan beberapa rakan (dari luar negara) berpeluang bertanya soalan kepada Musharaf mengenai Osama Laden yang ketika itu sedang diburu hebat oleh Amerika Syarikat. Dan Pakistan adalah sekutu kuat Amerika bagi mewajarkan serta memastikan pemburuan itu berhasil di bumi Afghanitan hingga di North-West frontier Province (NWFP) - daerah tandus yang tidak berundang-undang.
Musharaf berkata, dia tak tahu di mana Osama berada dan kemungkinan Osama sudah meninggal dunia kerana dia mempunyai banyak penyakit. Bagi Musharaff, secara lojiknya bagaimana Osama yang mempunyai sakit itu dan ini boleh hidup dalam gua tanpa rawatan perubatan sempurna.
Musharaf berkata, mereka tidak boleh sewenang-wenangnya mengejar dan menangkap orang berjanggut atau berjambang di Pakistan. Kemudian Musharaf bertanya kami: "Do you know how many bearded men in Pakistan?" 
Kami yang ditanya terkedu mendengar soalan yang sebenarnya bukan soalan.
Soalan itu, sebenarnya tak perlu kepada jawapan. Tetapi sampai sekarang saya teringat soalan itu yang kadang kala lucu juga kerana di Pakistan sudah tentu terlalu ramai berjanggut dan berjambang. Bila Osama ditembak mati oleh Amerika pada May 2011, maka saya teringat kembali soalan Musharaf itu yang diajukan kira-kira lapan tahun sebelum Osama dibunuh.
Jadi, sekarang adakah anda boleh menjawab soalan Musharaf itu iaitu berapa ramai lelaki berjanggut di Pakistan? Sebenarnya, janggut tiada kena mengena dengan keganasan atau terroris, ia adalah sunnah Nabi s.a.w. Dan sepatutnya kita semua perlu menyimpan janggut bagi mengikuti sunah Baginda s.a.w.
Namun masalah timbul ialah bila orang menggunakan agama untuk tujuan kerosakan dan kepentingan dunia. Lalu Islam telah disalahertikan. Sedangkan agama yang dibawa oleh Baginda Nabi Muhammad s.a.w itu sendiri adalah untuk keselamatan dan kesejahteraan dunia dan akhirat.

Sekian dulu.

Thursday, July 12, 2012

Kisah jemaah Yaman, bapa Habib Ben Hafiz karkun...

SUDAH lebih sebulan tiada posting baru gara-gara kesibukan. Tapi hari ini cuba mencuri masa untuk berkongsi satu karkuzari mengenai cerita satu jemaah Yaman yang sedang bergerak sebulan di kawasan Alor Setar dan Kuala Kedah. Mereka jemaah dua bulan di Malaysia. Pada tarikh posting ini ditulis (12 Julai 2012), jemaah baru sahaja meninggalkan Alor Setar untuk ke Kuala Kedah. Roote mereka seterusnya sekitar Jitra dan Sungai Petani. Saya sempat bersama beberapa ketika memberi nusrah kepada jemaah ini ketika mereka berada di Alor Setar.

Bertamu
Satu malam, seorang ustaz (orang awam) tertarik dengan jemaah ketika bertemu di masjid apabila berbual-bual, lalu ustaz itu menjemput semua ahli jemaah untuk makan malam di rumahnya.
Saya juga pergi kerana diputuskan bertindak sebagai pemandu kereta membawa mereka. Setiba di rumah, jemaah disambut dengan cukup mesra. Ustaz tersebut bertutur dalam bahasa Arab dengan fasih kerana pernah belajar di sebuah universiti tanah Arab (Mesir kalau tak silap).
Terpancar kegembiraan pada wajah ustaz tersebut dan rakan-rakan ahli jemaah suraunya ketika menerima tetamu dari Yaman itu. Lalu dihidangkan lauk pauk yang sungguh lazat.
"Dhuyuf, dhuyuf... tafadhol," kata salah seorang daripada mereka ketika mempersilakan tetamu. (Dhuyuf bererti para tetamu iaitu plural-jamak, manakala dhif bererti seorang tetamu iaitu singular-mufrad dalam bahasa Arab).
Maka tetamu juga tidak kekok mengambil makanan dengan senang hati bersama tetamu lain maka masing-masing berbual-bual mesra. Di kalangan rakan seusaha tempatan tidak semua yang tahu berbahasa Arab. Antara rakan seusaha jemaah tabligh tempatan yang fasih ialah Ustaz Lan dan Haji Shamsudin yang bertindak sebagai penterjemah.
Makanan yang disediakan cukup lazat bersama buah-buahan. Begitu lah sifat seorang tuan rumah iaitu seorang ustaz itu yang tahu kelebihan memuliakan tetamu. Semoga Allah memberkati ustaz tersebut bersama ahli keluarganya.  
Selesai menjamu selera makanan berat, tetamu dijamu buah-buahan pula seperti rambutan dan betik. Salah seorang ahli jemaah Yaman berkata rambutan tiada di Yaman kerana mungkin asbab buminya kurang hujan.

Bayan talam
Tiba-tiba, amir (ketua) kepada jemaah dengan hikmah meminta perhatian kepada semua hadirin untuk memberi ruangnya bercakap sebentar. Maka semua memberi tumpuan kepadanya.
Amir itu menyentuh mengenai kepentingan golongan ulama terlibat dalam usaha dakwah sambil menyebut kisah-kisah Imam Syafie, Imam Hanafi dan Imam Hambali. Beliau juga ada menyebut mengenai hadis 'ulama warisatul anbiya'.
Beliau juga menyatakan bahawa islah bagi golongan alim ulama adalah ketika mereka duduk bersama orang awam manakala islah bagi orang awam ialah ketika mereka duduk bersama alim ulama. Dalam situasi itu, orang awam boleh mempelajari banyak daripada ilmu si alim ulama dan pada masa yang sama alim ulama boleh belajar bersabar dan ujian kerenah orang awam.

Habib Umar
Banyak lagi yang diperkatakannya. Namun satu perkara yang menyebabkan semua orang tempatan bertambah khusyuk ialah apabila amir jemaah Yaman itu bercerita tentang kisah ulama tersohor dari Yaman yang popular di Malaysia dan luar negara iaitu Habib Umar Ben Hafiz (rujuk gambar). Ini sebagai salah satu contoh ulama masakini terlibat dalam usaha dakwah Tabligh.
Habib Umar Ben Hafiz (kiri) ketika pergi menemui 
Maulana Abdul Hamid (kanan) Syura Jemaah Tabligh 
Malaysia baru-baru ini.
Amir itu berkata, suatu ketika Habib Umar pergi ke ijtimak di Pakistan (mungkin Raiwind) lalu bertemu dengan Bai Wahab (Amir jemaah Tabligh di Pakistan). Dalam pertemuan itu, Bai Wahab mengeluarkan sebuah buku (lama) lalu ditunjukkan kepada Habib Umar. Buku itu adalah mengandungi kisah para sahabat r.hum, tetapi di sebahagian kertasnya terdapat tulisan tangan yang panjang.
Bai Wahab memberitahu, bahawa tulisan itu adalah tulisan bapa kamu (iaitu bapa kepada Habib Umar) ketika bapanya datang ke ijtimak di Pakistan zaman dahulu. Bai Wahab memberitahu kepada Habib Umar bahawa ketika bapanya hadir di ijtimak zaman itu, jumlah majmak (audien, iaitu para hadirin orang yang datang) hanyalah beberapa ratus orang sahaja (Amir menyebut jumlah ratus itu tapi saya tidak ingat). Tetapi ketika anaknya (iaitu Habib Umar) datang ke ijtimak hari itu, jumlah orang yang datang mencecah jutaan orang (Amir juga menyebut jumlah juta itu tapi saya tidak ingat).
Amir itu memberitahu, bahawa berkat jemaah dakwah maka manusia-manusia berubah dan kembali kepada agama. Ayah kepada Habib Umar adalah karkun, buat usaha dakwah tabligh yang berkorban hidupnya untuk agama. [[*Bapa kepada Habib Umar ialah Sheikh Abu Bakar Ibn Salim, adalah ulama besar yang rapat dengan Amir Tabligh pada zaman itu iaitu Maulana Yusof dan Sheikh dikatakan pernah berguru  atau mempunyai hubungan dengan Maulana Zakariyya. (Klik info di sini) . Keluarga Habib adalah daripada keturunan ahlu bayt]].

Dakwah di Afrika
Amir itu memberitahu lagi bahawa satu ketika beliau sendiri bersama salah seorang ahli jemaah itu (seorang ahli jemaah itu mengangguk ketika kisah ini diceritakan) telah khuruj berdakwah ke Kenya dan Tanzania (negara Afrika).
Beliau memberitahu, apabila tiba di satu masjid, imam masjid itu menghalau mereka (jemaah) keluar daripada masjid (yakni tidak membenarkan mereka duduk dalam masjid).
Setelah mereka berbicara dengan umat Islam di situ didapati rupa-rupanya umat Islam di daerah itu telah ramai yang murtad dan keluar daripada Islam secara beramai-ramai masuk agama nasrani.
Amir itu memberitahu, antara taktik mubaligh nasrani ialah memberikan gula-gula kepada kanak-kanak dan orang awam. Ada dua jenis gula-gula. Satu jenis gula-gula dilabelkan dengan nama Muhammad manakala satu lagi jenis dilabelkan dengan nama Isa. Maka jenis gula-gula yang berlabel Muhammad diperbuat berperisa amat pahit manakala gula-gula berlabel Isa berperisa manis. Apabila disuakan gula-gula ini kepada penerimanya selepas memberitahu nama-nama label itu maka mereka akan membuang dan menyatakan tidak mahu Muhammad tetapi mahu Isa.
Keadaan ini berlaku dalam tempoh beberapa ketika maka ramai yang telah murtad manakala orang awam juga ditipu bahawa dalam dunia tiada lagi orang yang beragama Islam maka lebih baik mereka masuk nasrani sahaja. Dan ramai yang masuk nasrani.
Terdapat sebuah masjid pula, terdapat patung berhala diletakkan di dalam masjid.
Maka jemaah dakwah tabligh ini cukup sedih, telah menangis lalu bermesyuarat maka kesemua ahli jemaah satu fikir bertekad tidak mahu pulang ke Yaman selagi Islam kembali tersebar semula di situ atau mereka mati sahaja di situ demi menyebarkan dakwah itu.
Setelah beberapa tempoh hari dan bulan jemaah berada di kawasan itu lalu membuat amal masjid seperti biasa, jaulah, ziarah, bacaan taklim, hadis, quran, mesyuarat (seperti amalan dilakukan oleh jemaah tabligh) dan sebagainya maka pertolongan Allah turun.
Iaitu lama-kelamaan penduduk di situ mula hatinya terbuka untuk kembali kepada Islam dan akhirnya kesemua masyarakatnya kembali masuk Islam semula.
Ketika amir jemaah itu bercerita, sesiapa yang mendengar pasti hatinya akan rasa sungguh terkesan kerana beliau sendiri merasai perkara itu, dan ia diluahkan daripada lubuk hatinya. Beliau menyambung dengan berkata, berkat adanya dakwah orang Islam akan menjadi kuat dan orang bukan Islam akan terbuka hati untuk memasuki Islam tetapi jika tiada dakwah dijalankan maka orang Islam akan keluar daripada agamanya.
Selepas itu Amir jemaah meminta semua yang hadir memasang niat untuk keluar berdakwah khuruj fisabilillah atas maksud agama 4 bulan, 40 hari, 3 hari dan bersama jemaah tempatan melakukan amal masjid. Maka sebahagian yang hadir berkata: "Insya-Allah! Insya-Allah!".

Minta diri
Kemudian, jemaah meminta diri untuk beredar dan bersalaman dengan ustaz dan orang-orang tempatan. Kami pun beredar meninggalkan rumah ustaz itu lalu menaiki kenderaan untuk kembali ke surau kami.
Amir jemaah dan Hj Shamsuddin menaiki kereta saya, lalu saya bertanya serba sedikit mengenai apa yang dikatakannya supaya tidak tersilap apa yang didengar.

Saturday, May 19, 2012

Menziarahi Kubang Bujuk

Dari pintu masuk madrasah...
Baru-baru ini berkesempatan menziarahi adik dan bertemu beberapa rakan di Madrasah Kubang Bujuk. Suasana yang tenang di madrasah itu di Serada, Terengganu tidak dapat dirasakan di tempat lain, walaupun hanya sebentar berada di situ. Tidak lama lagi, hanya berbaki sebulan lebih maka tamatlah pengajian beliau di situ.
Beliau adalah teruna yang sudah lama matang jauh dari usianya dan kini diamanahkan dengan keilmuan agama untuk berkhidmat kepada umat yang sedang menderita. Mencurahkan ilmu.
Tabahlah adikku tidak lama lagi akan berangkat setahun di jalan Allah. Ayuh...perjuangan ini jangan kau gentar!! 



Sebelah kanan bangunan kelas alim, sebelah kiri sedang dibina perumahan bagi tenaga pengajar.




bersama kitab-kitab adalah rutin beliau...



di kubang bujuk juga akan diadakan ijtimak, maka gambar itu menunjukkan persiapan tandas


Malam markaz...


Selain itu, berkesempatan juga bersilaturahmi dengan beberapa kawan lama di situ.
Insya-Allah, ada rezeki akan bertandang lagi dalam tempoh terdekat ini...

Thursday, May 3, 2012

Teh yang bermaruah

Gambar hiasan shj
SUATU ketika saya dipilih Allah untuk melapang diri, masa dan harta di jalan Allah bersama satu jemaah yang dalamnya terdapat rakan-rakan seusaha dari pelbagai tempat, ada org local, org kelate, sabah, Sri Lanka, Somalia dan ada juga sorang dari Zimbabwe (baru masuk Islam) namanya Abdullah. (Sebelum memeluk Islam, dia beragama Kristian).

Bila berbual dengan rakan Sri Lanka, mereka memberitahu sedikit sebanyak keadaan usaha agama di negara mereka. Tetapi suatu perkara lain yg menarik, katanya, ialah Sri Lanka terkenal dengan daun teh dan sukan kriket. Teh dari Sri Langka dikatakan dieksport ke merata dunia manakala kriket pula sukan popular di negara itu.

Satu hari, dua rakan seusaha dari Sri Langka itu diputuskan untuk khidmat taam. Maka mereka mengambil kesempatan untuk menyediakan menu Sri Langka kepada jemaah dan jemaah cukup teruja menanti juadah dihidangkan. Pada waktu makan tengah hari, ahli jemaah cukup berselera dan terpancar tanda-tanda kelazatan pada wajah dan gigi-gigi rakan-rakan jemaah sewaktu menjamu selera. Dikhabarkan ayam yang dimasak menggunakan santan hingga RM8 sekali masak!

Namun bila tiba minum petang, ada sedikit kemusykilan berlaku. Ahli jemaah sudah menunggu di talam masing-masing untuk menikmati sentuhan 'teh' air tangan orang Sri Langka. Tetapi apa nak buat, teh yang ditunggu-tunggu tidak kunjung tiba, menyebabkan ahli jemaah terus menanti dengan sabar. Maka saya pun bertanya kepada seorang rakan seusaha Melayu yang membantu orang khidmat itu (membantu untuk ke kedai, hidang, dan sebagainya). 

Dia berkata, sejak dari tadi, orang taam asyik dok rasa teh dia sebab nak pastikan betul-betul sedap. Sebab teh itu sekarang umpama maruah bagi taam yang berasal dari Sri Langka. Kejap-kejap diorang rasa, lepas tu rasa lagi, rasa lagi, rasa lagi hingga terlewat nak dihidangkan!

Selepas digesa agar cepat kerana tidak lama lagi mahu ghast, maka teh tersebut dihidangkan, maka rasanya....waahhhh...memang sedappp, Allah taala bagi sedap!! Ditanya apa resepinya, antaranya dia menggunakan susu cair.  

Ternyata, teh itu memang benar-benar bermaruah. 


Wednesday, April 18, 2012

Gembira bila kena marah

SUDAH lama tak update blog. Sibuk macam-macam. Di sini saya teringat satu kisah yang dicemburui untuk kita ambil iktibar. Ia mengenai sorang rakan seusaha, bernama Haji M (bukan nama sebenar) di satu markaz. Tak perlu dinyatakan nama sebenar cuma kisahnya sahaja yang kita nyatakan.
Beliau amat dikenali dan disegani dengan korbannya sejak zaman dahulu hingga waktu ini. Diberitakan suatu ketika beliau bertemu dengan seorang lelaki untuk maksud dakwah tersebut di sekitar kawasan mohallah beliau.
Haji M yang sudah pun berumur, menyampaikan dakwah melalui kata-katanya dengan begitu berhemah dan lemah lembut kepada lelaki itu.
Namun malangnya, lelaki itu telah menengking dan memarahi Haji M membuatkan Haji M terdiam. Ketika lelaki itu menghamburkan kata-katanya tiba-tiba berlaku sesuatu yang memeranjatkannya apabila Haji M tiba-tiba berubah wajah ceria, berasa gembira, tersenyum dan ketawa kecil ketika sedang dimarahi.
Lelaki itu menjadi hairan, kerana dia yang sedang marah tetapi orang yang dimarahi berasa cukup gembira.
Selepas selesai dimarahi, Haji M kemudian bersungguh-sungguh mengucapkan terima kasih kepada lelaki itu sebelum beredar. Keadaan itu menyebabkan lelaki itu bertambah hairan dan terpinga-pinga.
Walaupun Haji M tidak bercerita tentang kejadian itu namun kisah ini agak mutawatir kerana berita itu berlegar di kalangan rakan seusaha dengan versi yang serupa sehingga sukar untuk disangkal lagi.
Apabila ditanya kepadanya mengapa beliau ketawa bila dimarah orang. Beliau berkata, beliau berasa sungguh gembira tatkala lelaki itu memarahinya kerana beliau tiba-tiba hatinya berasa cukup bertuah kerana beliau dimarahi semasa sedang buat usaha dakwah, yang mana seperti nabi-nabi juga pernah dimarahi kaumnya semasa menyampaikan dakwah.
Katanya, dia telah mendapat satu sunnah nabi ketika menyampaikan dakwah kerana Nabi Muhammad s.a.w juga dimarahi ketika berdakwah. Beliau begitu gembira kerana Allah memberinya taufik dan hidayat untuk mengamalkan satu sunnah itu dengan sabar. Dan sebab itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada lelaki itu kerana menjadi asbab perkara itu berlaku.
Pada satu ketika, saya telah khuruj 40 hari ke markaz tersebut dan berjumpa semula Haji M. Beliau bertanya kepada jemaah kami, ada atau tidak ahli jemaah kami yang kena marah semasa ghast atau bila-bila waktu berjumpa orang.
Seperti yang telah ditetapkan oleh Allah, sememangnya salah seorang ahli jemaah kami memang sudah terkena 'fire' semasa jadi mutakalim. Haji M kemudian berkata, kalau begitu rakan seusaha yang kena marah sepatutnya kena banyak2 bersyukur dan buat sujud syukur kerana dimarahi ketika buat dakwah.
Begitulah orang yang banyak korban, kefahaman mereka berbeza dengan kita yang tidak berkorban ini. Sebahagian kita pula tidak tahan atau hilang sabar jika kena marah. Ini kerana kita belum dapat-dapat lagi kefahaman seperti itu. Kena korban lagi dan lagi.

Saturday, April 7, 2012

Hamka: Isteri cantik pun kena....

Semua di bawah adalah copy paste.

Terdapat dua perkara yang sangat penting dalam rumah tangga yang sering di anggap remeh oleh orang perempuan tapi sangat besar di sisi lelaki.

Pertama: Sila teman suami waktu makan. Tolong!
Kedua: Jika menolak untuk bersetubuh, atas sebab yang patut, jangan lupa qadha(ganti balik) seberapa segara yang boleh. Tolong!

"Apa guna berbini cantik,
Bila makan tidak meneman,
Apa guna isteri romantik,
Jika selalu mengelak di ranjang”

Woha!
Dipetik dari: http://keretamayat.blogspot.com/2012/04/isteri-cantik-pun-kena-cerai.html

Thursday, March 22, 2012

Takut bila jumpa orang Tabligh

SUATU ketika dahulu saya telah dipilih Allah untuk khuruj ke markaz Jerantut. Kami satu jemaah (lupa berapa orang, mungkin 10 orang kot) telah dihantar ke Kuala Lipis dan sekitarnya.
Salah satu roote ialah di kawasan Merapoh, kat situ berdekatan dengan salah satu pintu masuk ke Taman Negara Gunung Tahan (kalau tak silap ingatan saya). Sebab seingat saya, salah seorang rakan seusaha yang nusrah ketika kami di situ kerja keperluannya ialah naik turun gunung tahan bawa tourist.
Ia juga dekat dgn sempadan Kelantan, maka ramai penduduknya cakap loghat kelate. Org-org nya baik-baik.
Satu hari, saya dan seorang lagi rakan diminta buat random di sekitar kawasan kampung. Semasa kami melalui satu jalan, maka ternampak sekumpulan remaja/pemuda berlonggok lepak di tepi jalan.
Ada yang duduk atas motor dan ada yang berdiri dan ada yang mencangkuk dan duduk. Mereka berbual-bual, ada yg berseluar jeans koyak, ada yang pakai seluar pendek.
Jumlahnya sekitar 6-7 orang kalau tak silap. Jarak mereka dgn kami lebih kurang 20 meter camtu. Maka kami memberanikan diri mara menuju mereka untuk bersilaturahmi dan pada masa yang sama hendak memberitahu dan menjemput mereka ke majlis bacaan hadis yang sedang berlangsung di masjid.
Tetapi atas kelemahan fikir saya, sebaik sahaja mereka menyedari kami sedang menuju ke arah mereka, kesemuanya berdesuppp... kelam kabut meninggalkan tempat itu serta merta.
Mula-mula seorang yg dah duduk atas moto menghidupkan enjin dan blahh dgn sorang pembonceng. Sorang lagi yang atas moto cemas apabila kali pertama start (pakai kick start) gagal menghidupkan enjin. Tetapi lepas dihenjutnya 2-3 kali maka enjin hidup lalu dia pun beredar sambil tersenyih. Yang lain lari lintang pukang.
Yang lawaknya, terdapat parit sebelah jalan tu. Ada sorang berlari lalu melompat ke seberang parit itu, diikuti dengan sorang lagi yang landing betul-betul kat tepi tebing. Kemudian lesap.
Bila kami sampai tempat lepak, sorang pun tak tertinggal. Tapi yang musykil ialah, rupa-rupanya parit tu bukan kecil, agak lebar jugak, macam mana budak-budak tu boleh melompat jauh betul!!
Ni mungkin kes adrenaline rush yang boleh berlaku ke atas manusia bila terlalu takut atau terlalu gembira. Penjelasan psychology biasanya mengambil contoh seseorang yang terlalu takut bila dikejar sesuatu (manusia atau haiwan), akan boleh melompat tembok tinggi yang mana pada situasi biasa dia tak boleh melakukannya. Disebabkan takut itu badan merembeskan adrenalin utk kekuatan luar biasa. Jadi dlm kes budak-budak ni kemungkinan berlaku adrenalin rush agaknya.
Tapi apalah nak ditakutkan kepada orang Tabligh...mereka cuma mahukan kebaikan kepada umat ini dan keredhaan-Nya.
Allahu a'lam.

Friday, March 16, 2012

Sembang keselamatan, jenayah...

Izinkan saya meng'update' blog yg sudah sekian lama bersarang labah-labah.
Mari kita sembang pasal isu keselamatan yang masyarakat kita hadapi ketika ini dan semakin memuncak kegusaran kita gara-gara selepas kejadian seorang kanak-kanak perempuan dibunuh kejam di Seri Alam, Johor Bahru, baru-baru ni.
Memang lah sekarang ni orang bercakap tentang kejadian ini dari pelbagai sudut tapi dari satu segi, keadaan zaman sekarang tentulah amat berbeza dengan zaman budak-budak kita dulu.
Kalau zaman budak2 dulu, kita keluar rumah pagi balik petang pun takda hal. Kalau waktu cuti sekolah berjalan dgn kawan ke sana sini, balik rumah tengahari utk makan lepas tu keluar rumah balik. Macam2 benda adventure yg kita buat, panjat pokok, terjun sana sini, mandi lombong, mandi parit, sungai, keliling kampung ukur jalan, merambu sana berambu sini....entah apa2tah lagi.
Tapi itu dulu... Zaman sekarang nak biarkan anak2 main depan rumah pun risau. Mana tidaknya...kereta pun banyak lalu lalang, dulu benda2 camtu takdak, gate rumah pastikan ditutup, nak keluar rumah pastikan kita teman anak, org tak kenal kena waspada, macam2 kes berlaku, apa2pun kena lebih berjaga-jaga.
Zaman sekarang tak macam dulu, manusia dikatakan kononnya makin pandai hingga crime pun dah makin kompleks, cross border, tragedi luar biasa dan lebih menyayat hati. Situasi boleh bertukar sekelip mata menjadi sesuatu yang menakutkan.
Seperti juga manusia mendakwa semakin pandai dlm bidang perubatan rupa-rupanya semakin banyak penyakit pelik2 menyerang manusia hingga manusia sendiri gagal menemui ubatnya. Bagi golongan ibu bapa, tentulah isu-isu keselamatan menjadi perkara yg amat diberi perhatian.
Dari sudut dunia, isu keselamatan telah menyebabkan manusia zaman sekarang hidup dalam keadaan lebih tertekan, antaranya menyebabkan kos sara hidup meningkat akibat terpaksa membayar untuk mendapatkan kemudahan dan perkhidmatan berkaitan keselamatan.
Contohnya, pemaju perumahan mengenakan harga yang lebih tinggi bagi taman perumahan yang berpagar atau lengkap dgn pengawal keselamatan. Bagi taman perumahan yang tiada pegawal, maka penduduk terpaksa mewujudkan perkhidmatan itu dengan kadar bulanan yg ditentukan. Pondok guard perlu dibina di pintu masuk taman perumahan atau bagi yg berkemampuan pengawal di depan rumah. Alarm, CCTV dipasang bagi yg berkemampuan. Paling tidak pun, rondaan sukarela rukun tetangga digerakkan.
Itu semua meningkatkan kos, tenaga, kerunsingan dan tekanan kehidupan.
Menggunakan asbab tidak mengapa krn kemudahan yg ada wajar dimanfaatkan sebaiknya tapi yang merbahaya bila manusia yakin dgn asbab akibat terkesan dgn terlalu banyak bergantung kepada benda.
Di Msia ni, 3 tempat yg kadar jenayah dikatakan tinggi iaitu di KL wilayah persekutuan, Johor dan Penang. Disebabkan berpengalaman mengendalikan kes crime yang tinggi, maka bekas ketua polis Johor biasanya berpotensi menjadi ketua polis negara seperti Tan Sri Musa Hassan yang dulu-dulu ialah ketua polis johor.
Saya pernah menetap di ketiga-tiga tempat ini tetapi dalam waktu-waktu berbeza. Pada pandangan saya, persamaan tempat2 ni ialah berlaku pembangunan yg menyebabkan masyarakatnya secara umumnya (kecuali rakan seusaha) mempunyai tahap materialistik yang tinggi dan kos sara hidup yang juga tinggi. Tiada sapa menolak pembangunan, tetapi kesan negatifnya yang perlu dibendung.
Bagaimanapun, lebih kesian kpd Johor kerana walaupun tidak lah membangun semaju wilayah persekutuan dan negeri terkaya di msia ialah Selangor, tapi malangnya tempat2 seperti di JB mmpunyai kes jenayah tinggi. Dorongan materialistik juga tinggi disebabkan kesan bersempadan dengan Singapura.
Kenaikan harga barang dan kos sara hidup di JB juga antaranya disebabkan spillover effect pengguna Singapura yang berbelanja di JB. Akibat dorongan kehendak dan keperluan hidup, rata-rata suami isteri di JB terpaksa bekerja.
Semasa saya tinggal di JB, jiran2 berasa pelik bila mendapat tahu isteri saya tak bekerja, lebih2 lagi isteri saya mmpunyai ijazah dlm bidang surveyor di UM. Semasa awal2 tiba di JB, kami juga agak terkejut melihat ramai wanita Melayu yang tidak bertudung di JB berbanding tempat lain yg pesat mmbangun seperti KL, Selangor dan Penang sendiri.
Tidak dapat dipastikan adakah disebabkan dorongan materialistik? Walaupun, sekolah agama Johor dikatakan paling lama dan mmpunyai keistimewaan tersendiri, namun situasi hidup kita bukan setakat ilmu yg kita tahu tapi juga apa amal yg kita buat.
Bagaimanapun, mereka yang buat usaha agama begitu hebat orangnya, kerana dlm cabaran sebegitu, maka keluarga, wanita-wanita mereka masih teguh menjaga aurat termasuk berpurdah, sabar dan tahamul, menjaga ahli keluarga dgn baik mngikut sunnah dan sebagainya. Si suami korban habis-habisan.
Tidak hairan usaha agama di markaz JB begitu maju dan ramai rakan seusaha berbanding beberapa markaz negeri lain di msia yg pernah saya pergi. Kalau mlm mesyuarat JB sahaja sudah melebihi jumlah mlm sabguzari jitra atau sg petani atau selama atau penanti. Kawasan paling maju di JB ialah Kulai, Pasir Gudang dan Skudai. Makin kuat cabaran makin kuat ketahanan, counter productive, tak terkesan.
Ibarat contoh kalau jarak tempat markaz kita dekat dengan rumah maka kemungkinan besar kita kerap datang lewat, tapi kalau jaraknya jauh berjam-jam perjalanan maka kita akan sampai awal kerana bertolak awal dgn siap bekalan dua bungkusan. Kita lebih berdisiplin dan dgn kerisauan kita, jadi asbab Allah berikan taufik utk bantu kita. Jika tiada risau, tiada fikir maka kita ambil mudah, complacent.
Berbalik soal keselamatan, begitupun, kita jgn salah faham dgn mnganggap posting ini mmandang negatif kpd org johor, KL/sel atau penang sebab ada satu persamaan di kawasan mmbangun iaitu berkait rapat dgn kehadiran org luar dari negeri terbabit termasuk warga asing yg bekerja sebab pmbangunn mmbuka peluang pkerjaan. Org luar berbondong2 dtg cari makan.
Maka jenayah terjadi juga akibat perbuatan org tempatan dari negeri lain atau negara lain spt indon, bangla, mynmar, vietnam etc...
Msia ada Melayu, Cina dan India yg mana kita tak perlu ada sikap rasis dlm melihat jenayah kerana semua kaum itu ada segelintir kecil yg melakukan jenayah dan setiap kaum itu membenci jenayah dan mahukan hidup dgn tenteram.
Namun crime pattern yg sering berlaku ialah sesuatu kaum sering terlibat dgn jenis jenayah yg sama. Contohnya, melayu kes curi motor, jenayah seks, sumbang mahram, pecah amanah, dadah; Cina (kes rompak kedai emas, kongsi gelap, vcd/dvd haram, gores dan menang, perjudian, pusat hiburan); india (mabuk samsu lalu bergaduh, bunuh diri, bunuh, highway robbery). Again, perlu diingatkan bahawa jenayah tak mengenal warna kulit.
Apapun, kita sendiri tahu pelbagai rancangan dan penguatkuasaan undang2 termasuk memasukkan indeks mengurangkan kadar jenayah dalam NKRA diperkenalkan utk menangani jenayah. Bagi saya ini amat baik sebagai jalan ikhtiar dan perlu disokong oleh masyarakat.
Namun kita semua boleh bersetuju bahawa langkah penguatkuasaan undang2 semata-mata tidak mampu mencegah jenayah sepenuhnya. Sewajarnya, masyarakat diusahakan kpd sahsiah dan jati diri yg utuh.
Bagi umat Islam perlu diusahakan keimanan agar teguh mentaati perintah agama agar punca akar umbi kepada perlakuan jenayah dicegah dgn berkesan. Semua pihak patutnya bersama-sama bantu mmbantu, bergotong royong dlm usaha agama atau sekurang-kurang tidak mnghalang usaha agama, mengimarahkan masjid, meningkatkan iman, berkorban utk agama dijalankan utk mendapatkan keredhoan-Nya.
Keselamatan di tangan Allah, semoga Allah memberi kita keselamatan di dunia dan akhirat.
Wallahu a'lam.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails