Tuesday, October 20, 2015

Gangguan mistik dalam perjalanan ?


Solat hajat diadakan semalam bagi mendoakan keselamatan pengguna lebuh raya LPT2.

BAGI mana-mana masyarakat termasuklah orang Melayu, cerita-cerita mistik adalah sesuatu lumrah dan amat diminati. Tetapi jika ia dikaitkan dengan sesuatu yang menyebabkan kematian maka ia menjadi sesuatu yang bertambah nilai kegerunan.



Ini lah yang berlaku kepada kes-kes kemalangan yang berlaku di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT2) yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini sehingga meragut 85 nyawa dan ini kononnya dipercayai mempunyai kaitan dengan unsur-unsur paranormal atau mistik.

Hakikatnya, kematian hanyalah takdir yang ditentukan oleh Allah S.W.T semata-mata. Hanya Allah yang menghidupkan, hanya Allah yang mematikan. Kematian datang tidak lewat sesaat atau terawal sesaat. Apa-apa yang berlaku yang menyebabkan kematian hanyalah asbab atau penyebab sesuatu itu berlaku, bahkan semuanya sudah tertulis dan ditakdirkan berlaku. 

Sebagai umat Islam, kita juga menyakini tentang perkara ghaib, perkara yang tidak nampak tetapi ada. Contohnya, selain daripada manusia, Allah SWT juga menciptakan pelbagai makhluk lain seperti jin dan syaitan yang tidak dapat dilihat oleh mata manusia atau dipanggil oleh orang kita sebagai makhluk halus. 

Justeru, apabila dibincangkan mengenai hantu, lembaga atau unsur-unsur paranormal maka ia kemungkinan adalah daripada mahluk jin atau syaitan yang muncul dalam pelbagai rupa. Bagaimanapun, sejauh mana ia boleh dikaitkan dengan LPT2, ia masih menjadi tanda tanya dan kemusykilan. Terdapat juga maklumat mengatakan banyak kemalangan disebabkan faktor keadaan lebuh raya itu yang selalu bumping dan kecuaian pemandu membawa laju. Wa Allahu a'lam

Namun sebaiknya, sebagai ikhtiar, kita haruslah meningkatkan usaha terhadap aspek keselamatan dari segi fizikal dan rohani. Selain mematuhi peraturan, kenderaan yang baik, memandu secara cermat dan berhemah dan semua perkara fizikal terhadap keselamatan jalan raya, kita haruslah juga menitik beratkan aspek yang amat penting iaitu mengamalkan adab perjalanan mengikut amalan sunnah Nabi S.A.W sebelum memulakan sesuatu perjalanan. Antaranya ialah:


1-Tunaikan solat sunat musafir 
2-Tunaikan solat hajat, memohon keselamatan dan dipermudahkan perjalanan. 
3-Berdoa perjalanan dan naik kenderaan sebagaimana doa yang diajarkan oleh Nabi S.A.W.  
4-Memberi sedekah diikuti dengan berdoa agar Allah hindari daripada musibah dalam perjalanan. Jika tidak ada apa2 hendak disedekahkan, memadai dengan memberikan senyuman kepada mereka dalam kenderaan kerana ia sudah mendapat pahala sedekah. Jika tiada sesiapa dalam kenderaan, bermusafir seorang diri maka boleh lah memandang ke langit dan senyum.
5-Dalam perjalanan, memperbanyakkan berzikir atau membaca surah-surah al-Quran yang dihafal. Ayat yang paling ditakuti oleh makhluk halus ialah ayat Kursi.

  
Ini adalah sebahagian sahaja saranan, mungkin ada lagi amalan yang boleh kita amalkan jika kita bertanya dengan ulama dan orang-orang yang alim. 

Sekian. Semoga bermanfaat.

(Di bawah adalah berita mengenai LPT2)


Kemalangan maut berterusan di LPT2 cetuskan misteri ? HULU TERENGGANU 19 Okt. – Kemalangan maut di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT2) yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini sehingga meragut 85 nyawa dipercayai mempunyai kaitan dengan unsur-unsur paranormal atau mistik.
Menurut sumber, fenomena itu dipercayai wujud berdasarkan beberapa laporan daripada mangsa kemalangan kepada pihak polis.
Difahamkan, dalam aduan itu, ada mangsa mendakwa ternampak objek seperti lembaga sebelum berlaku kemalangan.
Malah turut difahamkan, aduan yang dibuat mangsa telah direkod oleh pihak polis.
Dalam pada itu, kira-kira 300 orang termasuk para pelajar sekolah pondok dan Sekolah Menengah Imtiaz menunaikan solat maghrib dan solat hajat diketuai Imam Besar Negeri Terengganu, Aizi Saidi Abd. Aziz di pekarangan Plaza Tol Ajil di sini malam ini bagi melindungi para pengguna daripada ditimpa musibah dan gangguan makhluk halus.
Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ghazali Taib; ADUN Kuala Berang, Datuk Tengku Putera Tengku Awang; ADUN Telemong, Datuk Rozi Mamat dan Penolong Pengarah Kanan Lembaga Le­buhraya Malaysia (LLM) Wilayah Timur, Ahmad Iskandar Abdul Kadir.
Sebelum itu, Menteri Besar telah diberi taklimat mengenai punca sebenar kadar nahas jalan raya di LPT2 termasuk kejadian yang mengorbankan enam sekeluarga di Kilometer 258.8 dekat Jabor pada 15 Oktober lalu.
Dalam sidang akhbar selepas itu, Ahmad Razif berkata, hasil daripada taklimat dan siasatan pihak-pihak berkenaan merumuskan kebanyakan kemalangan berpunca daripada kecuaian pengguna iaitu sebanyak 70 peratus.
Menurutnya, ia disusuli faktor persekitaran 14 peratus termasuk masalah permukaan beralun serta sembilan peratus lagi adalah faktor kenderaan.
“Daripada kajian, kemalangan berlaku di jalan lurus dengan keadaan jalan dan cuaca baik. Kita percaya pemandu memandu laju dengan kelajuan melebihi 120 km sejam,” ujarnya.
Justeru katanya, beberapa langkah drastik akan diambil bagi mengurangkan kadar nahas di LPT2 termasuk menempatkan anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) yang turut dilengkapi peralatan bantuan di lokasi yang sering berlaku kemalangan.
“Kita juga telah meminta kerjasama pihak polis untuk menggandakan operasi perangkap had laju di sepanjang LPT2,” katanya.
Selain itu, Ahmad Razif berkata, beliau juga meminta pihak LLM memasang papan-papan tanda amaran di lokasi tertentu sebagai panduan dan peringatan kepada pengguna di lebuh raya itu. - Utusan Malaysia - See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nahas-bencana/kemalangan-maut-berterusan-di-lpt2-cetuskan-misteri-1.148488#sthash.oJquk9hc.dpuf


1 comment:

Unknown said...

Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
Jika ya, silahkan kunjungi website ini www.kumpulbagi.com untuk info selengkapnya.

Di sana anda bisa dengan bebas share dan mendowload foto-foto keluarga dan trip, music, video, filem dll dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails