Tuesday, November 8, 2011

Sentiasa pertingkatkan keimanan


Perutusan Aidiladha Muhyiddin pada 5 Nov. 2011.
KUALA LUMPUR 5 Nov. - Umat Islam diminta  menyemarakkan ajaran agama itu yang  menggalakkan seruan ke arah kebaikan dan  mencegah kemungkaran bagi menangkis  gejala-gejala yang boleh melalaikan diri daripada  mentaati perintah Allah.
Maulana Hamid mengimamkan solat Zuhur di Ijtimak Nilai.
Muhyiddin turut serta. 
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin  Yassin berkata, seruan ‘al-amr bil ma'ruf’ dan  ‘al-nahyu anil-munkar’ yang diterapkan oleh agama  Islam adalah benteng terbaik untuk menghadapi  cabaran keimanan, di dalam konteks kehidupan  masyarakat yang semakin kompleks.
“Saya yakin dengan adanya usaha berterusan  daripada pelbagai pihak untuk menyeru ke arah  kebaikan dan membimbing masyarakat menjauhi  kemungkaran, kita akan dapat mewujudkan  sebuah masyarakat yang harmoni,  bermoral dan  berakhlak mulia,'' katanya dalam perutusan  Aidiladha yang dikeluarkan di sini hari ini.
Muhyiddin berkata, kesepaduan umat Islam untuk  membimbing masyarakat agar sentiasa mentaati  perintah Allah dan menjauhi segala laranganNya.  akan menjadikan umat Islam sentiasa dipandang  mulia.
Dalam perutusan itu Timbalan Perdana Menteri  turut menyarankan umat Islam supaya  menghargai nikmat keimanan kepada Allah dan  sentiasa berusaha memperkukuh dan  meningkatkan keimanan dengan mentaati segala  suruhan dan menjauhi segala laranganNya.
Prof. Abdul Rahman memberi taklimat ringkas kepada
Muhyiddin di Ijtimak Nilai. 
Sejajar dengan sambutan Aidiladha yang disambut  esok, beliau turut mengingatkan umat Islam  menghayati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan  ketaatan anaknya Nabi Ismail menunaikan  perintah Allah.
“Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Korban tidak  dapat dipisahkan daripada ibadah korban.  Aidiladha adalah perayaan yang istimewa kerana ia  merupakan hari untuk umat Islam memperingati   kisah pengorbanan Nabi Ibrahim  dan  kesabaran  tiada tara anaknya Nabi Ismail dalam mentaati  perintah Allah.
“Pengorbanan yang dilakukan Nabi Ibrahim  membuktikan kemuncak takwanya kepada Allah   SWT,'' katanya.
Selain itu, penghayatan juga harus diberikan  kepada junjungan besar Nabi Muhammad, para  sahabat dan ulama yang menyebarkan Islam ke  seluruh alam.
 "Alhamdulillah, dengan pengorbanan yang  dilakukan oleh mereka dalam menyebar syiar dan   dakwah Islam, kita telah menerima sinar hidayah  paling bermakna untuk menjadi umat terpilih,  umat yang beriman kepada keesaan Allah SWT   dan kerasulan Nabi Muhammad,'' katanya.
Bersempena sambutan itu, Timbalan Perdana  Menteri dan keluarga mengucapkan Selamat Hari  Raya Aidiladha kepada umat Islam di seluruh  negara dan rakyat Malaysia yang meraikannya di  seluruh dunia.

---------END------------

NOTA: Blog ini bukan blog politik, jadi ketepikan soal perbezaan politik, kerana jika ada unsur politik maka seruan TPM di atas mungkin tidak mahu dipersetujui oleh musuh politiknya. Hakikatnya, apa yang benar tetap benar walau siapa sahaja yang memperkatakannya. Di sini, apa yang dikatakan Muhyiddin adalah benar dan kita perlu menyokongnya!

Monday, November 7, 2011

Korban perasaan

بسم الله الرحمن الرحيم

Selamat menyambut Aidiladha kepada semua pembaca dan pengunjung Ziarah76 walau di manapun berada.
Kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s yang didengari berulang kali, mudah-mudahan memberi keinsafan mendalam kepada kita semua.
Satu ketika semasa hampir-hampir menjelang aidiladha beberapa tahun-tahun dulu, saya berkesempatan menghadiri majlis penerangan untuk wanita (bayan masturat). Walaupun ia adalah untuk golongan ibu-ibu tetapi golongan suami turut boleh mengikutinya di tempat yang berasingan manakala si penceramah juga dipisahkan oleh dinding dan tabir ketika menyampaikan ceramah kepada golongan ibu-ibu.Ceramah diberikan oleh seorang ustaz. Dalam beberapa perkara yang disentuh ustaz itu, beliau turut bercerita mengenai ibadat korban yang mana ketika itu amat bersesuaian untuk disentuh.
Dalam salah satu ceritanya, beliau memberitahu tentang kisah seorang ulama di sebuah negara (sama ada di India atau di Pakistan - saya sudah tidak ingat negara mana).
Ulama ini membela seekor lembu sejak ia kecil hingga cukup umur untuk tujuan ibadat korban.
Sabar menunggu turn...
Ulama ini dengan sengaja membelanya dengan penuh kasih sayang dan menjaga dengan begitu berhati-hati, sakit sihat, makan minum dijaga oleh ulama sendiri ini seolah-olah seperti seorang ayah menjaga seorang anak, sehinggalah lembu itu besar. Lembu ini juga dikatakan mengenali tuannya kerana membesar di hadapan mata tuannya dan terdapat beberapa sifat yang menggambarkan betapa lembu itu amat rapat hubungannya dengan tuannya iaitu ulama ini.
Dan apabila lembu itu cukup umur dan 10 Zulhijjah sudah tiba, maka ulama tadi akan membawa lembu kesayangannya tadi untuk disembelih. Maka apabila semuanya sudah siap, maka ulama itu pun menyembelihlah lembu kesayangannya dan apabila beliau menyembelih lembu itu, beliau akan terasa satu mujahadah perasaan dalam dirinya iaitu menyembelih perasaan sayang itu.
Ulama itu sengaja cuba merasai rasa menyembelih perasaan kasih sayang itu berbanding hanya menyembelih haiwan ternakan yang tiada apa-apa kaitan dalam hidupnya.
Ulama itu mahu sekurang-kurangnya mahu mendapatkan satu perasaan menyembelih sesuatu yang disayanginya, walaupun ia hanya seekor lembu. Begitulah kelakukan seorang ulama yang mana saya tidak pernah mendengar kisah sebegitu sebelum ini.
Namun kisahnya itu begitu menyentuh pendengar. Lebih-lebih lagi, dari segi benda dunia, tentulah ada bezanya antara kita memberi sesuatu yang kita sayangi berbanding dengan sesuatu yang kita tak sayang.
Pengajaran kisah ini ialah menyeru pendengar membuat pengorbanan terutama apa yang kita sayang untuk agama Allah.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails