Friday, March 20, 2009

Makan-makan balik kampung

By Ahliah Mutakalim,
BARU2 ni balik kampung ada urusan keluarga mentua, adik ipar nak nikah. Jadi ambil peluang la cuti panjang, lagipun cuti sekolah... kann. Ni nak cerita pasal makanan ni sepanjang cuti. Mula2 balik Banting, rumah mak abah. Kat situ takde la makan beriya2 sangat, maklum lah baru sampai rumah, orang tua pun tak sihat... tapi tu la kan orang tua namanye, anaknye balik nak jugak masak mi kari ..jadi lunch tu makan la mi kari..dah lama tak makan mi kari mak. sedapppp.. tekak saya la.
Pastu terus balik Meru, Klang, lagi macam2 makanan. Mlm tu kenduri sikit, yg paling byk makan sapa lagi suamiku la... Antara menunye ayam masak kicap, sotong masak kunyit, ikan masak berlada, kangkung goreng belacan dan macam2 lagi la. Tu memang favorite suami la tu.
Esok pegi kenduri nikah di Sg Besar pulak, tengok2 menu tu ada satu menu yg mmg nostalgia betul la. Lauk tu dulu memang selalu masak pasal sedap dan simple. Ikan duri masak cuka...emmm. Seingat saya, mula2 makan lauk ni masa bersalin anak kedua di Klinik Bersalin Penawar Muslimah Permatang Pauh. Terus tanya kat nurse macam mana nak buat. Pastu boleh katakan tiap2 bulan mesti ada masak tu. Apa jenis ikan pun boleh guna, pastu kami tak guna cuka tapi pakai asam jawa, sedap gak.
Byk juadah kat kenduri tu, antara yg special gak kat kenduri tu kerabu silom campur tauge, ayam masak merah, kacang panjang hati, gulai nanas ikan masin dan macam2 lagi la... kann. Apa lagi belasah la cukup2 (suami saya la jugak).

Adik suami tu tengah berdebar-debar nak akad nikah.


Balik dari kenduri di Klang, ingat nak terus tidur nak rehat rupa-rupanya ada lagi destinasi nak dituju. Ke rumah abang ipar la pulak yg beriya2 mjemput dtg bertandang di Jalan Kebun, Klang. Aduhh penatnye.. Kat situ pulak, sate kajang menunggu. Suka la budak2 termasuk mak bapa diorang. Menu lain pulak kailan ikan masin, mi goreng mamak (sedap betul), udang goreng, byk lagi lah. Alhamdulillah, syukur nikmat.
Mlm tu tidur sedap betul walaupun si sulung buat perangai, penat la katakan.

Penat la.. sumaiyah ke sana sini...

Esok sarapan roti canai melayu, pun sedap jugak. Pastu rehat-rehat sekejap dan terus ke rumah kak ipar pulak di Meru utk lunch. Menunye... jeng2... ikan siakap masak masam manis, sedap betul la, rupa-rupanya suami dia (biras la tu) baru jadi tauke ikan siakap sebab ada kolam ternakan ikan siakap dlm sangkar kat Sungai Muda, Kepala Batas, P.Pinang (kat kampung dia la tu, Penaga). Minggu sebelum tu dia baru balik ambik ikan jadi merasa la kami ikan siakap baru. Tak sangka pulak sedap sebab sebelum ni ada beli ikan siakap tapi bila masak ada bau tanah. Abg ipar bagitau, ikan siakap dia tak berbau kerana sangkarnye di sungai, air mengalir dan bagi makan ikan kecil dan selang seli dgn dedak dan lain2 makanan (itu la rahsianya dagingnye sedap). Katanya, ikan siakap yang berbau tu sebab bagi makan dedak aje dan bela dlm kolam yg air tak lalu (bukan sungai).
Kak Ipar suruh tidur rumah dia, tp kami ada urusan lg.. he he nak tgk umah kami tuh yg sekang ni org lain duduk (org sewa lah tuh)..sambil2 tuh nak tgk jugak penyewanya, nak berkenalan dgn istri dia.. Bila kami sampai kat situ rupa2nya ada 2 rumah je yg tlh diduduki.. umah kami ngan jiran, yg lain dgr cita bulan depan.. emm takpalah skurang2nya penyewa ada gak teman kan. Balik Meru dah nak Maghrib, ada lagi menu menarik, pau goreng inti kacang..ermm sedapnya.. berketul2 kami suma makan. Rupa2nya kuih nih kakak ipar dah buat untuk yg lain (ipar & biras) dan antara kuih favorite buat masa nih.. biras pun dah blajar camna nak buat. Tu maknanya diriku ini juga kena blajar.
Bangun pagi esoknya bermulalah pelajaran membuat pau goreng berinti kacang mengikut resepi campak2 je. Tu pasal nak kena tgk betul2 tuh pasal sukatan takde...Bila tgk mudah je tapi nak buat sendr taktau jadi ke tak. Selama 2 hari kat umah kakak ipar macam2 makanan lah yg kami makan antaranya nasi goreng sos tiram berkari (special tuh pedas punya), siakap masak asam pedas, kacang buncis berkentang, sedap2 belakalah..Lepas tu ada satu lagi ilmu masak kuih favorite suami yg kena blaja..apam kukus.. Pagi nak balik umah kami, mak (mentua ) pulak tunjuk skill buat apam kukus.. pun sukatan campak2, ermm memang kena tgk betul2. Jadi pagi tuh kami breakfast apam kukus ngan koey teow goreng..Alhamdullillah.. sepanjang kami bercuti ni (5 hari tuh) Allah murahkan rezeki kami.. semoga apa yg kami perolehi berkat di sisi Allah s.w.t. Cuma dua makanan je tak sempat nak makan rojak cicah Kelang (bawah Gama lama) ngan soto special tepi umah kakak ipar tu je.. ermm Alhamdullillah.
Semalam kami dah sampai rumah kami , petang tuh apa lagi cuba2 buat pau goreng tuh... suami kata tak jadi sangat tapi habis gak yg tinggal pau kosong je(farhah nak cicah gula)... Doa2 lah ye Allah izin untuk try resepi kedua (apam kukus) esok nya...

Ni pau tanpa inti yang di rekues farhah, saiznya kecil sikit, pau kacang yg sebenar berinti kacang tak sempat nak ambik gambar sebab dah kena ngapp semuanya.

Thursday, March 12, 2009

'Dapat sekali syukur, tak dapat 10 kali syukur'

TAK lama dulu, seorang Ahli Politik (AP) berprofil tinggi menziarahi seorang ulama (bukan orang politik) yang dikenali sebagai Tuan Guru (TG) untuk meminta nasihat, bertanya khabar dan bermesra lebih kurang. Lebih-lebih lagi mereka sudah lama tak jumpa ekoran perjalanan hidup ahli politik itu yang turun naik. Sebenarnya hubungan mereka boleh dikatakan umpama anak murid dan guru, anak dan bapak kerana amat mesra sebab telah mengenali sejak zaman muda-muda dahulu lagi. Tak perlu dinyatakan siapa mereka di sini bagi memastikan kita tak tergelincir dalam perbuatan mengata atau mengumpat. Maka apa yang penting ialah isi perbincangan mereka dalam kisah benar ini moga-moga boleh dijadikan pengajaran, nasihat dan diambil manfaat kepada kita semua. Berikut adalah sedutan sebahagian (di tengah-tengah) perbualan mereka:
TG kata: ...kalau kita dapat, maka sekali syukur, (tapi kalau) tak dapat kena 10 kali syukur..
AP mencelah: dia ada hikmahnya..
TG kata: Pasal apa... Allah kata (tuan guru baca ayat al-Quran), apa yang kamu benci itu barang kali baik untuk kamu. Misalnya nak jadi wakil rakyat (lalu) masuk bertanding (pilihan raya) kemudian menang, kena sekali syukur tapi (kalau) tak menang kena 10 kali syukur. Sebab mungkin kalau menang pun nanti kena pecat.
Misalan... nak pinang anak agong, agong bagi (benarkan, maka kena) sekali syukur (tapi kalau) agong tak bagi kena 10 kali syukur, sebab barang kali kalau dapat bernikah anak agong (jadi penyebab terlibat dalam kemalangan) jatuh kapal terbang apa ka... Jadi ini kena faham ini.
AP menyampuk: Kena serah kepada Allah...
TG kata: Kita ada 2 jalan iaitu syariat dan hakikat, hakikat kita serah kepada Allah, tapi kita pegang syariat, syariat kita kena ikhtiar. Syariat Nabi kita dalam perang Nabi s.a.w pakai baju besi, baginda tak pegang hakikat saja, hakikat kalau nak mati mati la... tak boleh pegang macam tu, Nabi ikhtiar sebab Allah perintah dalam al-Quran (tuan guru baca ayat al-Quran)... kita kena sediakan persiapan kekuatan... ini syariat.
Demikian lah sebahagian perbualan, dan nasihat Tuan Guru itu barang kali boleh kita ambil manfaat kerana dalam lumrah kehidupan kadang kala apa yang kita hendak tak dapat sebaliknya apa yang kita tak nak, dapat!. Walau apapun keadaan - sama ada sedih gembira, suka duka, seronok murung, susah senang - kita perlu bersyukur terhadap apa yang telah ditakdirkan kepada kita dan bersangka baik kepada takdir itu dan berjiwa besar memandang kepada hikmah setiap perkara yang berlaku.
Dan apa jua bentuk musibah atau keadaan yang datang kepada manusia hendaklah diyakini bahawa itu adalah ketetapan Allah. Kita tidak mengetahui hikmah atau kebaikan disebaliknya. Dengan menyakini kepada takdir seseorang itu dapat memelihara iman, menghindari was-was (bisikan syaitan) di dalam hati dan mendapat ketenangan jiwa.
Dari ibnu Abbas r.a meriwayatkan: Satu hari aku sedang duduk di belakang Rasulullah (di atas kenderaan), Baginda s.a.w bersabda: Wahai anakku, aku ajarkan kepada kamu beberapa kaimat: Peliharalah (hukum-hukum) Allah, Dia akan menjaga kamu. Peliharalah hak-hak Allah, kamu akan perolehi bantuan daripada-Nya di hadapan kamu, apabila kamu meminta, mintalah kepada Allah, apabila kamu memohon pertolongan, mintalah pertolongan dari Allah. Ketahuilah bahawasanya, sekiranya berkumpul seluruh manusia untuk memberi sesuatu manfaat kepada kamu, nescaya tidak boleh memberi manfaat kecuali apa yang ditakdirkan oleh Allah kepada kamu dan sekiranya berkumpul seluruh manusia untuk memberi sesuatu mudharat kepada kamu, nescaya mereka tidak boleh memudharatkkan kamu kecuali apa yang telah ditakdirkan oleh Allah ke atas kamu. Pena (untuk menulis takdir) telah diangkat dan dakwat (selepas menulis takdir di kertas) telah kering. (satu keputusan yang telah ditetapkan oleh Allah sedikitpun tidak mungkin akan berubah). (Riwayat Tirmizi).
Dari Abdullah Ibnu Amar Ibnu Al-Ash r.a meriwayatkan: Saya mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Telah ditulis oleh Allah takdir seluruh makhluk 50,000 tahun sebelum Dia menciptakan langit dan bumi. (Riwayat Muslim).
Dari Abu Darda r.a meriwayatkan, Rasulullah s.a.w bersabda: Allah telah menetapkan lima perkara bagi setiap hamba-Nya: ajalnya dan rezekinya, umurnya, untung nasib buruk dan nasib baiknya. (Riwayat Ahmad).
Wallahualam bissawab.

*nota penting: Ini bukan entry politik.

Monday, March 9, 2009

Rasulullah s.a.w contoh ikutan

SESUNGGUHNYA pada diri Rasulullah s.a.w terdapat contoh teladan yang terbaik untuk kita mencontohinya bagi mendapatkan keredhaan Allah s.w.t.
Allah s.w.t telah menjadikan kekasih-Nya, Nabi Muhammad s.a.w sebagai contoh teladan untuk umatnya dalam menjalani kehidupan dengan cara menghayati, mengamalkan dan menghidupkan sunah-sunah baginda s.a.w yang pasti dan pasti memberi kejayaan setiap masa dari kita bangun tidur dan tidur semula hingga akhir hayat.
Menghidupkan sunah Rasulullah s.a.w dengan sempurna akan mendekatkan diri seseorang dengan Allah manakala orang yang terjauh daripada amalan sunah Rasulullah s.a.w maka begitu juga dia akan terjauh daripada Allah. Para mufassir menerangkan bahawa seseorang itu berdusta jika dia mendakwa mencintai Allah tetapi menentang sunah Rasulullah s.a.w.
Ini kerana kaedah dan prinsip cinta ialah sesiapa yang dicintai maka apa-apa yang berkaitan dengannya juga dicintai seperti rumahnya, dindingnya, halamannya, tamannya turut dicintai. Laksana kisah laila dan majnun, yang mana majnun mencintai tembok-tembok bandar laila dan mencium-cium tembok itu, bukan kerana cinta bandar itu yang mengasyikkan hatinya tetapi cinta si-dia yang mendiami bandar itu.
Alangkah bertuah mereka yang diberi kekuatan mengamalkan sunah-sunah Rasulullah s.a.w dalam kehidupan dengan istiqamah kerana ia adalah tanda cintanya kepada Rasulullah s.a.w. Golongan yang mengikuti Nabi s.a.w dengan mengamalkan sunah-sunah baginda secara ikhlas bukan sahaja akan dikasihi Allah tetapi juga dosa-dosa mereka akan diampunkan.

Allah s.w.t berfirman dalam surah Ali-Imran: 31 yang bermaksud: "Katakan (wahai Muhammad) jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah aku. Nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan Allah Maha Pengampun Maha Mengasihani."

Rasulullah s.a.w bersabda: "Semua umatku akan memasuki syurga kecuali mereka yang enggan." Para sahabat bertanya: "Siapakah mereka yang enggan?" Maka Nabi s.a.w menjawab: "Sesiapa yang mentaatiku akan memasuki syurga dan sesiapa yang menderhakaiku, mereka lah yang enggan." (Riwayat Bukhari).

Daripada Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah s.a.w bersabda: "Barang siapa berpegang dengan sunnah-sunnahku ketika di zaman rosaknya umatku baginya adalah ganjaran syahid (di jalan Allah). (Riwayat Tabrani).

Semoga Allah s.w.t memberikan taufik dan hidayat kepada kita semua sama ada - lelaki wanita, miskin kaya, di desa di bandar, buta huruf terpelajar - untuk mengikuti jejak langkah jalan nabiin, sidiqin, syuhadak dan solehin. Amin.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails