Thursday, November 27, 2008

Manusia perlukan hidayah Allah... (part2)

(posting sambungan)
UNTUK setiap orang terdapat keperluan dan hajat yang mana manusia boleh memohon doa kepada Allah. Seorang yang tidak pernah berdoa supaya dapat makan roti atau keperluan lain maka dia tidak dianggap berdosa namun jika seorang Islam tidak pernah memohon hidayah kepada Allah yakni melalui solat fardu 5 waktunya maka dia akan ditimpa dosa.
Oleh itu, perlu kita memahami hidayat dan bagaimana boleh kita mendapatkannya dan apakah tanda-tanda atau hasil daripada hidayat itu. Kalau kita tahu hidayat itu maka perkara yang berlawanan dengan hidayat yakni kesesatan akan mudah kita fahami untuk dielakkan, dengan mudah juga.
Hidayah adalah petunjuk cahaya yang datang daripada Allah ke dalam hati dan mata hati manusia supaya dapat kita membezakan antara baik, buruk, hak, batil, bermanfaat atau tidak dan sebagainya menurut kehendak agama.
Sama seperti jika dalam keadaan gelap kita tidak dapat melihat tetapi apabila hadir/masuk cahaya maka kita dapat membezakan perkara-perkara dengan mata supaya boleh diketahui mana yang bermanfaat atau sebaliknya dan sebagainya.>BACA SELANJUTNYA!
Manusia perlu tahu bagaimana boleh dapat hidayah kerana dunia ini adalah darul asbab. Contohnya apabila kita lapar maka kita cari roti atau makanan bagi menghilangkan kelaparan, tetapi pada masa yang sama kita perlu yakin bahawa hilang lapar adalah dengan keizinan dan kehendak-Nya, bukan kerana roti.
Begitu juga makan, minum, rehat, pakaian dan sebagainya - perlukan asbab dan semua perkara itu ada tempat tertentu untuk mendapatkannya. Hidayah hanya diberi oleh Allah dan ada di sisi Allah.
Asbab
Allah ciptakan semua perkara di dunia dan perkara itu adalah perhiasan. Seperti di rumah terdapat perhiasan buah-buahan diperbuat daripada plastik, cantik.... tetapi apabila anak-anak pegang kita katakan bahawa ia tak boleh makan.
Begitu juga, Allah hiaskan dunia ini dengan perhiasan kebendaan untuk uji manusia. Allah mahu lihat siapa di antara kita yang kembali kepada Allah dengan amalan baik. Siapa yang korbankan perhiasan untuk mendapatkan amal yang baik atau sebaliknya.
Asbab ialah sesuatu yang semua orang perlu gunakan, kerana Islam tidak menghalang kita menggunakan asbab.
Orang Islam guna asbab dan orang bukan Islam juga gunakan asbab. Tetapi orang Islam guna asbab berdasarkan iman manakala orang bukan Islam gunakan asbab berdasarkan asbab itu semata-mata.
Sebagai contoh, orang Islam sanggup mengorbankan asbab untuk menjaga iman atau agama walaupun akan rugi besar dalam perniagaan dan sebagainya. Orang tidak beriman sanggup 10 kali berbohong pun tidak apa, asalnya tidak berlaku kerugian.
Kita perlukan asbab kerana ia penting sebagai contoh satu orang Islam yang haus tetapi dia sengaja tidak mahu minum (air adalah asbab) lalu dia meninggal dunia maka ulama kata dia dianggap mati bunuh diri yang akan menerima azab di akhirat.
Jadi apakah asbab bagi hidayah?
Ulama mengatakan bahawa asbab hidayah adalah usaha (1) dakwah dan (2) berdoa.
Maka kedua-dua itu perlu diusahakan oleh kita untuk mendapatkan hidayah. Tanda hidayah terbahagi kepada dua yakni pertama hidayah apabila kita dapat menunaikan semua perintah Allah, ia adalah hidayah orang solehin. Tanda hidayah kedua ialah apabila kita dapat jaga diri kita daripada perkara-perkara yang dilarang oleh Allah. Hasil daripada hidayah adalah ketenangan, kedamaian, keselamatan di dunia dan akhirat.
Maka bagaimana pula cara untuk kita mengusahakannya? Pertama kita - sama ada lelaki, wanita, orang bandar, desa, miskin kaya, terpelajar, buta huruf - semua perlu terlibat dalam usaha dakwah.
Seorang muazin yang melaungkan azan (seruan dakwah) iaitu memberitahu manusia bahawa Allah Maha Besar, shahadah dan kemudian mengajak manusia kepada solah maka dia pasti diberi taufik dan hidayah untuk bersolah. Tidak berlaku muazin balik ke rumah sebaik sahaja melaungkan azan di masjid. Ini kerana muazin telah melakukan kerja dakwah iaitu mengajak manusia kepada Allah, kepada solah. Sedangkan mereka yang mendengar azan belum tentu dapat datang bersolah di masjid. Hidayah itu terpulang kepada Allah. Tetapi mereka yang telah melakukan kerja pasti diberikan upahnya.
Seorang yang terlibat dalam usaha dakwah pertama-tama sekali dia sendiri yang akan mendapat hidayah. Dan ia menjadi asbab hidayah kepada orang lain di permukaan muka bumi. Walaupun usaha dilakukan di Malaysia atau di suatu tempat tetapi hasil usaha, asbab itu boleh jadi turun di mana-mana sahaja sama ada Amerika dan sebagainya.
Melalui usaha dakwah, akan terdapat amalan berdoa di dalamnya terutama selepas bersolah, maka kedua-dua asbab hidayah ada dalam usaha berada di jalan Allah.
Pendekatan usaha dakwah ialah sebagaimana yang ditunjukkan oleh Baginda Nabi Muhammad s.a.w.
Nabi beritahu bahawa "sahabat-sahabatku adalah umpama bintang-bintang di langit, barang siapa yang mengikuti mereka nescaya tidak akan sesat". Jika kita mahu berjaya maka kita perlu mengikut contoh orang yang telah berjaya iaitu para sahabat dan sahabiah r.hum, mereka adalah manusia agung yang daripada amalan mereka membenarkan
kata-kata Allah. Mereka mahu menggunakan diri, masa dan harta mereka di jalan Allah. Maka hidayah tersebar hingga ke seluruh alam dan hari ini kita sendiri dapat menganut Islam. Manakala dengan hidayah itu, larangan Allah dapat manusia elakkan.
Sahabat-sahabiah terbukti diiktiraf berjaya hinggakan Allah isytiharkan keredhaan-Nya kepada mereka.
Kita semua perlu membuat niat hendak menjadi seperti mereka dan baru akan datang niat untuk jadikan mereka sebagai contoh. Mereka adalah lampu penyuluh hidayah kerana mempunyai kemantapan iman, taqwa, ilmu, kehidupan dunia yang sederhana dan kecintaan kepada akhirat.
Atas maksud yang besar itu maka jemaah-jemaah dakwah dibentuk untuk dihantar ke seluruh dunia untuk manfaat seluruh alam. Dan untuk itu kita perlu buat pengorbanan diri, masa dan harta di jalan Allah. Dan sebagai latihan perlu kita lapangkan sekurang-kurangnya 4 bulan dalam hidup kita, 40 hari dlm setiap tahun, 3 hari dlm setiap bulan.
Siapa sedia?, insyallah, beri nama dan azam. Lagi dan lagi hingga tiada lagi.
Beri nama... jangan kira apa
.

Tuesday, November 25, 2008

Manusia perlukan hidayah Allah...(part1)

DALAM diri manusia terdapat banyak keperluan untuk ditunaikan sama ada makan, minum, tidur, rehat dan sebagainya, namun manusia memerlukan hidayah lebih daripada semua keperluan lain.
Satu orang yang mati kerana kelaparan, maka di akhirat nanti dia tidak akan diazab kerana kelaparannya (selagi dia bukan sengaja tidak mahu makan kerana hendak membunuh diri), tetapi seorang yang mati tanpa hidayah iman maka dia akan diazab dalam neraka selama-lamanya.
Manusia, jika diberi hidayah maka boleh mencapai darjat lebih tinggi daripada malaikat manakala manusia yang menjalani kehidupannya tanpa hidayah akan mendapat martabat yang lebih hina daripada binatang. Walaupun manusia adalah makhluk ciptaan Allah yang terbaik.
Yakni walaupun malaikat hanya beribadat dan menurut perintah Allah, tetapi mereka diciptakan tanpa sebarang hawa nafsu, namun manusia walaupun diciptakan dengan hawa nafsu tetapi masih juga dapat mentaati perintah Allah. Maka dalam hal ini, manusia yang taat lebih tinggi kedudukkannya berbanding malaikat.
Bahkan, para nabi yang merupakan manusia mencapai martabat lebih tinggi daripada malaikat. Dan umat Nabi Muhammad s.a.w yang terus menjalankan tanggungjawab kerja dakwah iaitu kerja yang ditinggalkan oleh baginda Nabi s.a.w. juga boleh mencapai martabat yang tinggi di sisi Allah.
Bagaimanapun, tanpa hidayah daripada Allah, manusia akan terjerumus ke lembah yang lebih hina daripada haiwan, yakni sebagai contoh, haiwan sendiri masih mengasihani dan membesarkan anak-anak mereka sedangkan manusia sanggup membunuh anak seperti di zaman jahiliyah atau membuang anak seperti zaman ini.>BACA SELANJUTNYA!
Betapa penting hidayah, hinggakan apa-apa yang dilakukan oleh manusia akan menjadi asbab manfaat jika mendapat hidayah daripada Allah, sebaliknya apa-apa yang dikerjakan oleh manusia akan menjadi asbab mudarat jika tanpa hidayah.
Ini melibatkan segenap kehidupan manusia, contohnya, jika seorang yang hendak makan tanpa hidayah untuk mengamalkan sunah dan adab makan yang betul, lalu seseorang itu akan makan berdiri, tanpa membasuh tangan atau dengan tangan kiri atau sebagainya.
Disebabkan tiada taufik dan hidayah maka, makanannya tidak berkat, makan berdiri menyebabkan proses penghadaman tidak begitu lancar, tidak membasuh tangan menyebabkan kekotoran dan terdedah kepada penyakit dan makan dengan tangan kiri yang digunakan dalam urusan tandas mendedahkan mereka kepada risiko kekotoran.
Makan tanpa hidayah, yakni tidak membaca doa akan menyebabkan hilang keberkatan selain diganggu syaitan. Maka perbuatan itu menjadi mudarat kepada manusia itu sendiri.
Sebaliknya, jika mendapat hidayah maka perbuatan itu menjadi berkat, bersih, mendapat ganjaran pahala, menyihatkan dan lain-lain kebaikan.
Ulama menyatakan bahawa, begitu penting hidayah, hingga seseorang yang ingin bersama isteri pun perlukan hidayah supaya mendapat taufik untuk berdoa, adab dan sebagainya sebelum, semasa dan selepas melakukan perbuatan itu. Jika tidak, perbuatan bersama
isteri itu bakal mengundang mudarat sama ada disedari atau tanpa disedari. malahan syaitan akan bersama pasangan itu jika tidak disertakan dengan doa, adab dan sebagainya.
Begitu juga dengan perbuatan lain dalam setiap hari bermula bangun tidur dan tidur semula.
Disebabkan terlalu penting, umat Islam diwajibkan memohon hidayah dalam setiap rakaat dalam solah ketika membaca surah al-Fatihah yakni meminta ditunjukkan jalan yang lurus. Solah fardu lima waktu pula diwajibkan ke atas setiap orang Islam, maka secara tidak langsung umat Islam wajib memohon hidayat sebanyak 17 kali setiap hari.
Ini kerana hidayah adalah hanya milik Allah dan kepada-Nya juga kita memohon. Allah mengurniakan hidayah kepada sesiapa yang Dia sukai.
Nabi Muhammad s.a.w sendiri tidak boleh memberi hidayah kepada pakciknya Abu Talib walaupun Abu Talib telah banyak membantu Nabi di Mekah.
Allah boleh memberikan hidayah kepada sesiapa sahaja atau di mana-mana dalam apa jua keadaan. Sama ada dengan asbab (penyebab2) atau tanpa asbab. Allah boleh gunakan semut, labah-labah, burung, manusia atau apa sahaja untuk menjadi penyebab hidayah.
Begitupun, adalah penting untuk umat Islam mengetahui hal keadaan hidayah itu termasuk cara mendapatkannya dan di mana ia boleh diperolehi.
Sebagaimana kita menyakini bahawa rezeki itu di tangan Allah dan Dia memberikan kepada makhluk-Nya tetapi tetap juga kita perlu berikhtiar mencarinya dan perlu diketahui bagaimana atau di mana ia diperolehi.
Maka bagaimanakah hidayah boleh diperolehi?

-bersambung dalam episod seterusnya...

Saturday, November 22, 2008

Sikap ingin tahu bawa Michael Jackson memeluk Islam


KEINGINAN kepada agama dan sikap ingin tahu menjadi penyebab (asbab) hidayah kepada Michael Jackson atau nama Islamnya, Mikaeel, 50.
Abangnya, Jermaine Jackson atau nama Islamnya, Muhammad Abdul Aziz, 53, berkata, Michael Jackson mulai secara serius untuk memikirkan tentang memeluk Islam sejak tahun 2005 dan hari ini (22 November 2008) superstar itu mengucapkan syahadah sambil memakai jubah dan berkopiah putih.
Muhammad yang memeluk Islam pada tahun 1989 berkata: "Apabila saya pulang dari Mekah, saya berikan dia (Michael Jackson) banyak buku dan dia tanya saya pelbagai perkara mengenai Islam dan saya beritahunya bahawa ia adalah agama yang indah dan kedamaian."
"Dia membaca semuanya (buku itu) dan dia berasa bangga dengan saya kerana saya menemui sesuatu yang boleh memberikan kekuatan dalaman dan ketenangan." kata Muhammad (gambar kanan) di sini.
"Dalam Islam ada kekuatan dan perlindungan," kata Muhammad dalam satu interview baru-baru ini.
Muhammad yang mendapat hidayah untuk memeluk Islam selepas didakwahkan oleh sekumpulan kanak-kanak, merupakan antara orang paling bertanggungjawab membawa Michael Jackson atau 'Jacko' kepada Islam. Alhamdulillah, sesungguhnya Allah memberi taufik dan hidayah kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails