Thursday, May 16, 2013

Wahai YB...anda bergembira atau bersedih?


SELEPAS pilihan raya umum berlalu, pelantikan menteri kabinet menjadi perbualan ramai.
Itu adalah proses biasa dalam demokrasi iaitu selepas rakyat memilih pemimpin di kawasan parlimen atau dewan undangan negeri dalam sesebuah pilihan raya maka ketua parti yang menang majoriti terbanyak akan melantik pemimpin dalam kerajaan untuk membantunya mentadbir negara.
Apapun tahniah dan syabas kepada YB-YB yang menang dan YB-YB yang dilantik dalam kabinet.
Dari satu sudut lain, saya melihat kebanyakan pemimpin-pemimpin yang menang dalam pilihan raya begitu gembira dengan kemenangan malahan ada yang dijulang dan dilambung oleh pengikut dan penyokongnya bagi meraikan kemenangan sebaik sahaja diumumkan menang pada hari pengiraan undi.
Begitu juga, ada pemimpin terutama muka baru yang berasa cukup gembira apabila dilantik menjadi menteri atau timbalan menteri atau pun exco kerajaan negeri.
Ada pula pemimpin yang berasa sedih teramat sangat, kecewa yang bukan kepalang bila tak dilantik ke jawatan tertentu dalam kerajaan pusat atau negeri atau kalah dalam pilihan raya.
Apabila mengenangkan tanggungjawab dan amanah yang dipikul bila memegang jawatan tersebut, apakah ada masa para pemimpin ini untuk bergembira atau dijulang-julang ke siling?
Patutnya yang kalah atau tidak terpilih adalah orang yang tersenyum lebar kerana terlepas daripada amanah yang berat yang akan ditanya di akhirat di hadapan Allah.
Sebab, hakikatnya, menjadi seorang pemimpin atau diberi jawatan, ia bukanlah lambang kepada kehormatan atau kemuliaan diri, bahkan satu bebanan berat yang akan dipersoalkan oleh Allah SWT.
Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda; "Akan datang satu masa kamu akan berkeinginan untuk menjadi ketua. Menjadi ketua itu akan menyebabkan kamu menyesal pada hari kiamat. Perumpamaan menjadi ketua adalah seperti wanita yang menyusukan anak, pada mulanya menyusukan, dia disukai tetapi semasa menceraikan susu dia tidak disukai." (Bukhari)
Contoh kita adalah para sahabat r.hum. Itu lah cara untuk bergembira di akhirat kelak.
Umar bin Al Khattab masih makan roti kering dan memakai baju yang penuh dengan tampal semasa menjadi khalifah. Setiap malam beliau akan membuat rondaan untuk membantu orang-orang yang susah.
Salafusolihin, khalifah Umar Abdul Aziz hidup dalam keadaan zuhud. Diriwayatkan daripada Humaidi katanya: “Setelah Umar bin Abdul Aziz ditabal menjadi khalifah, beliau pun menangis seraya berkata: “Wahai Qilabah! Adakah kamu tidak berasa bimbang mengenai diriku? Qilabah lalu bertanya: Apakah perasaan cinta dan keinginan tuan terhadap wang? Jawabnya: Aku langsung tidak menyukainya. Kata Qilabah: Oleh itu, tuan tak perlu berasa bimbang dan takut. Sesungguhnya Allah akan sentiasa memberi pertolongan kepada tuan.”
Wahai pemimpin yang saya kasihi, sekarang anda bergembira atau bersedih?

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails