Tuesday, November 18, 2008

3 perkara yang disukai

Daripada kitab Munabihat yang ditulis oleh Hazrat Hafiz Ibnu Hajar rah. menceritakan dalam satu majlis semasa bersama-sama dengan para sahabat, Rasulullah s.a.w bersabda, "Allah s.w.t menjadikan hatiku menyukai tiga perkara di dunia ini iaitu wangi-wangian, wanita dan solah yang menjadi penyejuk mataku." Hazrat Abu Bakar r.a berkata, "Segala yang disabdakan oleh tuan itu benar. Saya juga menyukai tiga perkara iaitu melihat wajah Rasulullah s.a.w, harta bendaku dibelanjakan untuk Rasulullah s.a.w dan anak perempuanku dinikahkan dengan Rasulullah s.a.w."
Kata Hazrat Umar r.a, "Benar, wahai Abu Bakar, saya juga menyukai tiga perkara iaitu amar bil maaruf (menyuruh berbuat baik), nahi anil mungkar (mencegah kemungkaran) dan memakai pakaian yang usang."
Hazrat Uthman r.a berkata, "Segala yang kamu kata itu benar, wahai Umar, saya juga menyukai tiga perkara iaitu memberi makanan kepada orang lapar, memberi pakaian kepada orang yang tidak berpakaian dan membaca al-Quran."
Kata Hazrat Ali r.a, "Segala yang dikatakan oleh kamu itu benar wahai Uthman, saya juga menyukai tiga perkara iaitu melayani tetamu, berpuasa pada hari yang panas dan memancung kepala musuh."
Pada ketika itu, Hazrat Jibril a.s muncul lalu berkata, "Saya dihantar oleh Allah s.w.t supaya memberitahu kamu perkara yang akan saya suka jika saya seorang manusia." Baginda s.a.w berkata,"Beritahulah."
Jibril a.s berkata, "Memimpin orang yang sesat, mengasihani orang miskin yang soleh dan membantu orang miskin yang mempunyai ramai anak."
Hazrat Jibril a.s berkata lagi, "Allah s.w.t menyukai tiga perkara daripada hambaNya iaitu menggunakan keupayaan diri dan harta pada jalan Allah, menangis kerana kesal atas dosa semasa bertaubat dan bersabar semasa ditimpa kesempitan."
(Hadith daripada kitab al-Munabihat yang dinukilkan dalam Kitab Fadhail Amal oleh Maulana Zakariya rah.)

Friday, November 14, 2008

Kau karkun sekarang

Aku dengar kau karkun sekarang, kawan
Minima 2½ jam setiap hari
3 hari setiap bulan
Setiap tahun empat puluh hari
Tanpa jemu

Datang kau sekarang dengan jubah, putih
Senyum kau sekarang dengan siwak, bersih
Dagumu berjanggut
Beratmu yang susut
Apa khabar saudaraku, sekian lama tidak ketemu

Bukankah kau anak kampung yang aku kenal dahulu
Yang datang si dara, kau bersiul berlagu
Yang datang si janda, kau malu tersipu
Di tepi parit, di tembok jambatan
Kau, aku dan gitar-gitar
Di waktu Maghrib, dihalau azan
Kau, aku terketar-ketar

Bukankah kau pemuda yang selalu berkata dahulu
Hidup ini tanpa lagu rock
Seperti ayam tidak berkokok
Bak kenyang yang tidak cocok
Kalau tidak menghisap rokok

Falsafah kita bersama:
Kau, aku dan kerjaya
Biarlah tidak kaya-raya
Asalkan kita boleh bergaya

Sekarang lihatlah
Betapa cerah
Sinaran wajah
Penghuni jannah InsyaAllah

Aku dengar kau giat tabligh sekarang, kawan
Dari surau ke surau
Dari kampung ke kampung
Dari pulau ke pulau
Dari tanjung ke tanjung
Kau jelajah ia
Kau daki ia
Kau redah ia
Kau takik ia
Satu persatu cabaran, dengan tabah kau tawan

Aku dengar kau alim sekarang, kawan
Bahasamu berlapik, tuturmu halus belaka
Tidak lagi memekik, macam orang Melaka
Jelinganmu rendah, matamu sejuk bak salji
Isterimu berpurdah, anakmu khusyuk mengaji
Seleramu buta, tidak akan memilih
Asalkan ada, tidak akan merintih

Kau yang aku lihat
Dan
Kau yang aku ingat:
Bak siput dan kilat

Mahukah kiranya kini, sesudah kau berubah
Kau bertamu di teratak murahku?
Yang aku menangi mudah
Dari loteri tajaan syarikat jamu?
Yang aku hiasi meriah
Dengan potret gadis idaman kalbu?

Mahukah kiranya kini, sesudah kau berubah
Kau menjamah masakan hidanganku?
Seorang yang tidak bersolat
Yang berdoa bila perlu?
Seorang yang sujud untuk menayang
Yang dia alim
Muslim bermutu?

Mahukah kiranya kini, sesudah kau berubah
Kau datang menziarahiku?
Sedang kau menasihat dan bermesyuarat
Biarlah aku hidang teh dan air jus
Sedang kau bersyarah dan bertazkirah
Biarlah aku tenung anak matamu
Dan aku khayal mengelamun
Dan aku berangan sampai ke Jepun
Kata-katamu
Tidak meninggalkan kesan
Ia berlalu
Dari telinga kiri ke kanan

Oh
Kawan lamaku, si karkun
Usaha murnimu yang tekun
Adakah
Kau menghargai sama
Pengalaman lama?
Mahukah
Kau menilai semula
Persahabatan kita?
Mahukah kiranya kini, sesudah kau berubah?

***Sekian, sajak di atas diambil dari blog azhar jaafar

Tuesday, November 11, 2008

Mati syahid atau tidak ??

Ke liang lahad... Jenazah Imam Samudra, salah seorang daripada tiga pengebom berani mati yang dijatuhi hukuman tembak sampai mati, diusung oleh masyarakat Islam di Serang, Banten, Indonesia pada 9 November lalu.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails