Wednesday, March 4, 2009

Pemburu dikejar harimau

BARANG kali kita pernah mendengar kisah ini. Seorang pemburu masuk ke tengah-tengah hutan tiba-tiba muncul seekor harimau yang berniat membahamnya. Lalu harimau itu mengejarnya dan pemburu itu pun memecut sekuat tenaga (walaupun dia tahu mustahil boleh lawan kelajuan harimau) dengan larian langkah seribu. Semasa cuba melarikan diri, tiba-tiba dia terjatuh pula ke dalam perigi buta tetapi nasibnya baik kerana sempat berpaut kepada tali yang tergantung dalam perigi itu bagi mengelakkan dia terjatuh ke dalam. Di bawah dasar perigi itu pula terdapat ular besar berbisa sebesar leher unta sedang menunggu pemburu itu jatuh untuk dipatuk dan dibaham.
Maka situasi yang terjadi ialah pemburu itu bergayut pada tali di tengah-tengah, di atasnya ada harimau manakala di bawahnya ada ular menunggu. Tiba-tiba muncul pula dua ekor tikus iaitu seekor putih dan seekor hitam menggigit tali itu secara silih berganti-ganti atau bergilir-gilir hingga hampir putus tali itu dan memang akan terputus kemudian.
Jadi apa yang bakal terjadi?
Sebenarnya, demikian lah ibarat kehidupan kita semua, iaitu harimau itu adalah umpama maut yang sentiasa mengejar kita walau berada di mana sahaja; dua tikus adalah waktu yakni tikus putih adalah siang dan tikus hitam adalah malam yang silih berganti memakan waktu usia kita iaitu tali itu. Dan tali itu adalah umur kita yang semakin tipis dan akan putus jua suatu hari nanti. Lubang perigi itu adalah lubang kubur yang pasti kita akan memasukinya. Dan ular berkenaan adalah azab siksa kubur yang sedang menunggu. Walaupun hakikatnya demikian, tetapi kebanyakkan kita tidak menyedarinya kerana disibukkan oleh dunia yang penuh tipu daya, main-main, senda gurau, perhiasan dan mempersonakan. Jika kita setuju bahawa dunia itu penuh tipu daya, dan kita bersetuju juga manusia sifatnya adalah pelupa, maka cuba bayangkan betapa berjayanya sipenipu (dunia) tipu pelupa (manusia). Sudah lah pelupa itu mudah diperdayakan kerana memang rendah kualiti ingatannya, lepas tu ditipu pula oleh kaki penipu yang berpengalaman licik menipu. Itu lah yang terjadi manusia hari-hari ditipu oleh dunia hingga terlupa nyawanya semakin hampir dan boleh ditarik pada bila-bila masa sahaja. Apa yang terjadi adalah manusia kesemuanya dalam kerugian kecuali mereka yang beriman, beramal soleh dan berpesan-pesan tentang kebenaran dengan kesabaran. Waallahualam bissawab. Ini peringatan untuk diri sendiri, tapi apa pandangan anda?

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails