Tuesday, October 21, 2008

'Hilang Halatuju, tenggelam dalam isu'

MUFTI Perlis, Dr. Asri Zainal Abidin menulis dalam rencana bertajuk 'Hilang halatuju, tenggelam dalam isu' yang disiarkan Mingguan Malaysia pada 13 Julai 2008, antaranya ialah: "....matlamat yang baik, [Baca selanjutnya...]
mesti melalui cara yang diredai Allah. Kuasa untuk menegak prinsip. Bukan korban prinsip kerana kuasa. Nabi SAW menolak tawaran kuasa oleh pembesar Mekah, apabila terpaksa menggadaikan prinsip perjuangan. Biarlah perjuangan panjang dan lewat, asal ia bermatlamat. Sebab itu saya selalu mengulangi kata-kata tokoh umat yang besar, al-Syeikh Abu al-Hasan ‘Ali al-Nadwi yang pernah ditujukan kepada al-Ikhwan al-Muslimin.: “Wahai Ikhwan Muslimin yang mulia! Sasaran dakwah al-din dan tajdid Islami pembaharuan Islam) itu bukanlah mudah. Bukanlah tujuan dan tumpuannya untuk menukar kerajaan semata. Tidak jua untuk mengubah satu suasana politik kepada suasana politik yang lain.Tidak untuk menyebarkan pengetahuan dan ilmu, atau menghadapi buta huruf dan kejahilan, atau memerangi pengangguran, atau mengubati kecacatan masyarakat dan akhlak atau seumpamanya seperti yang diperjuangkan oleh para pejuang perubahan di Barat dan Timur. Sebaliknya, ia adalah seruan Islam yang merangkumi akidah dan akhlak, amalan dan siasah, ibadah juga keperibadian diri dan masyarakat. Ia meliputi akal dan jiwa, ruh dan jasad. Ia bergantung kepada perubahan mendalam dalam hati dan jiwa, akidah dan akal...istimewanya dakwah dan kesungguhan para nabi ialah ketulusan mereka dari memikiran kepentingan kebendaan, hasil yang segera. Mereka tidak mencari dengan dakwah dan jihad mereka melainkan keredaan Allah. Melaksanakan perintah -Nya dan menunaikan risalah-Nya. Akal dan pemikiran mereka tulus dari amalan untuk dunia, mendapat kedudukan, menghasilkan kekuatan untuk keluarga dan pengikut, memperoleh kerajaan. Bahkan itu semua tidak pernah terlintas dalam fikiran mereka. Adapun kerajaan yang tertegak untuk mereka pada waktu mereka dan kekuatan yang diperoleh pada masa itu hanyalah hadiah daripada Allah. Ia sebagai jalan untuk sampai kepada matlamat agama, melaksanakan hukum-hakamnya, mengubah masyarakat dan mengarahkan kehidupan… Wahai tuan-tuan! Besarnya perbezaan antara matlamat yang dituju, dan natijah yang muncul. Perbezaan ini akan zahir dalam jiwa yang bekerja untuk itu. Maka, yang bertujuan mendapatkan kerajaan, akan hilang kesungguhan dan diam apabila tidak memperolehnya, atau hilang harapan mendapatkannya. Dia akan berhenti dari dakwah. Dia juga akan melampau jika berjaya. Wajib kepada kita membersihkan akal dan jiwa kita, semata-mata untuk dakwah. Hanya dakwah, khidmat, pengorbanan, mengutamakan saudara Muslim, mengeluarkan manusia - dengan izin Allah- dari segala kegelapan kepada cahaya (Islam), dari jahiliyah kepada Islam, dari kesempitan dunia kepada keluasannya. Dari kekejaman agama-agama yang sesat, sistem-sistem yang zalim, mazhab-mazhab yang tidak menentu, kepada keadilan Islam dan lembayungnya. Faktor yang membawa kita kepada amal dan jihad hanyalah untuk menunaikan perintah Allah dan kemenangan pada Hari Akhirat. Juga kerana apa yang Allah sediakan untuk hamba-hamba-Nya dari ganjaran dan pahala. Kemudian, faktor lain ialah simpati kepada makhluk, kasihan kepada insan yang terseksa dan keinginan terhadap keselamatan manusia. Jika pada satu peringkat dakwah, atau pada satu masa – setelah prinsip-prinsip dakwah dan akidah kukuh dalam jiwa pendakwah – tujuan dakwah tidak dapat dicapai melainkan dengan mendapatkan kerajaan, kita akan berusaha untuk mendapatkannya. Demi kemaslahatan dakwah. Dengan jiwa yang luhur dan bersih, benar dan amanat, kusyuk dan tulus, seperti kita bersungguh dalam tanggungjawab dan rukun agama, juga ibadah-ibadah yang lain. Tiada beza bagi seorang mukmin antara kerajaan dan ibadah yang lain, jika telah ikhlas dan betul niatnya. Kesemua itu dalam reda Allah, kesemuanya pada jalan Allah. Kesemuanya ibadah yang mendekatkan diri kepada Allah. (al -Qaradawi, Al-Syeikh Abu al-Hasan al-Nadwi kama ‘araftu, m.s. 122-125, Damsyik: Dar al-Qalam). ---Dipetik daripada http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp? y=2008&dt=0713&pub=utusan_malaysia&sec=bicara%5Fagama&pg=ba_01.htm&arc=hive Keterangan: Ulama al-Syeikh Abu al-Hasan ‘Ali al-Nadwi adalah salah seorang ulama yang terlibat aktif dalam usaha dakwah tabligh yang pernah berkunjung ke Malaysia pada tahun 1987. Mempelajari usaha dakwah daripada Maulana Ilyas sejak 1939. Lahir sekitar 1914 dan meninggal dunia pada 22 Ramadan 1420 hijrah (31 Disember 1999) setelah bersiap untuk menunaikan solat Jumaat, selepas mandi sunat Jumaat, beliau membaca surah Yassin dan ketika itu nyawanya diambil oleh Allah s.w.t. Maklumat lanjut ulama itu boleh diperoleh antara dalam http://www.nadwi.net.in/.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails