Tuesday, October 21, 2008

Bersangka baik elak fitnah

KEBIMBANGAN terhadap perbuatan menyebarkan fitnah yang semakin menular di dalam masyarakat menggusarkan rakyat berbilang kaum, lebih-lebih lagi umat Islam.[Baca selanjutnya..]Hakikatnya, walaupun umum mengetahui bahawa perbuatan terkutuk tersebut perlu dihindari namun ia terus seakan bersarang dalam masyarakat sehingga mencemarkan maruah diri saudara seIslam dan imej negaraIa diburukkan lagi dengan penyalahgunaan kemudahan penyaluran maklumat melalui internet seperti laman blog, web atau kemudahan teknologi maklumat lain termasuk sistem pesanan ringkas (SMS) yang menuduh atau memburukkan sama ada pemimpin atau individu Islam yang biasa.
Lebih malang jika sikap itu sudah sebati dalam diri seseorang yang mengakibatkan tabiat menfitnah atau mengumpat tidak dapat lagi dibezakan pada zaman ini. Justeru, amat penting untuk merenung sabdaan Rasulullah mengenai definasi fitnah dan mengumpat supaya tidak terjebak dalam mana-mana perbuatan itu.

Daripada Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: Tahukah kamu apa itu menfitnah? Para sahabat r.hum berkata: Allah dan RasulNya lebih mengetahui. Baginda bersabda: Menfitnah adalah mengatakan sesuatu tentang saudara (muslim) ketika dia tiada yang dia tidak suka. Ditanya: Wahai Rasulullah, jika kekurangan itu sungguh ada dalam diri seorang muslim, maka apa yang harus aku katakan? Baginda menjawab: Jika apa yang dikatakan itu benar, maka itu adalah mengumpat. (Riwayat Muslim).

Tidak syak lagi, gejala menfitnah dan mengumpat perlu dibendung segera kerana maruah seorang Islam adalah tinggi martabatnya.

Justeru, sikap bersangka baik perlu sentiasa disuburkan kerana antara punca yang menyebabkan berlaku dua sikap terkutuk itu ialah wujudnya sikap keji berburuk sangka.

Dalam sebuah hadis, Ibn Abbas r.a meriwayatkan bahawa satu ketika baginda Rasulullah s.a.w melihat ke arah Kaabah lantas bersabda: (Dengan rasa ta'jub) Lailaha illallah. (Wahai Kaabah!) Betapa sucinya engkau, betapa wanginya bauanmu dan betapa tingginya kehormatanmu (tetapi) kehormatan seorang mukmin adalah lebih tinggi daripada kehormatanmu, sesungguhnya Allah menjadikanmu dengan penuh kehormatan, begitu juga dengan harta seorang mukmin, darahnya dan kehormatannya yang tinggi dan patut dimuliakan. (Oleh kerana itu) maka haram seseorang itu bersangka buruk kepada seorang muslim yang lain. (Riwayat Tabrani).

Dalam surah al-Hujuraat: 12, Allah berfirman:

"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhi lah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa, dan jangan lah kamu mengintip atau mencari kesalahan dan keaiban orang dan jangan lah sesetengah kamu mengumpat setengah yang lain. Adakah seseorang kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhi lah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.

Mengumpat dikatakan sebagai memakan daging orang yang telah mati, membawa maksud ialah sebagaimana daging manusia yang disiat-siat mendatangkan kesakitan dan penderitaan yang amat sangat, begitulah perumpamaan mengumpat yang akan menyakitkan hati orang lain, tetapi oleh kerana telah menjadi mayat maka simati tidak merasai kesakitan sedikitpun. Begitulah dengan mengumpat ini, selagi orang yang diumpat itu tidak mengetahui, selagi itu dia tidak merasai sakit hati sedikitpun.

Daripada Muawiyah berkata, aku mendengar Rasulullah bersabda: jika kamu mencari keburukan orang, maka kamu telah merosakkannya. (Riwayat Abu Daud).

Hadis itu bermaksud apabila seseorang itu mencari keburukan orang lain maka akan timbul sifat benci dan sangka buruk terhadap orang itu. Dan akhirnya banyak keburukan lain boleh wujud kerana mungkin besar dengan mencari keburukan orang dan menyebarkannya akan menimbulkan fitnah yang lebih besar, mereka saling membenci, memandang hina dan terjerumus ke dalam dosa yang mana kesemua perkara itu boleh menambahkan kerosakan pada diri orang yang dijadikan sasaran fitnah itu.

Daripada Ibnu Umar r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: Jangan menyakiti orang-orang Islam, jangan mencela mereka dan jangan mencari keburukan mereka. (Ibn Hibban).

Di tempat tertentu, Rasulullah memberitahu bahawa mereka yang menfitnah dan memalukan orang lain maka perkara yang memalukan akan dikembalikan kepada penyebarnya sendiri ketika di dunia manakala di akhirat balasannya amat berat.

Daripada Abu Barzah Aslami r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: Wahai orang-orang Islam yang hanya Islam dilidah dan belum beriman dalam hati! Jangan lah mengumpat orang Islam dan jangan sibuk mencari keburukannya. Barang siapa yang sibuk mencari kesalahan orang Islam, Allah akan menzahirkan keburukannya sehingga di dalam rumahnya sendiri. (Riwayat Abu Daud).

Mengenai balasan di akhirat pula, sepotong hadis daripada Abu Darda meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: Barangsiapa yang menyampaikan kesalahan seseorang secara palsu agar mencemarkan nama baiknya, Allah akan memenjarakannya dalam neraka jahanam sehingga dia menarik kembali perkataannya. (Riwayat Tabrani).

Dirawayatkan daripada Hazrat Abu Hurairah, beliau berkata bahawa Nabi telah bersabda, Apabila umatku mengagungkan dunia maka kehebatkan Islam akan dicabut daripada mereka, apabila mereka meninggalkan amr-bil-ma'ruf dan nahi anil mungkar mereka akan diluputkan daripada keberkatan wahyu dan apabila mereka caci-mencaci antara satu sama lain mereka akan gugur daripada pandangan Allah. (Tirmizi)

Maruah seorang Islam adalah suatu perkara yang sangat mulia dan berharga kerana Nabi juga bersabda: "Riba yang paling buruk ialah mencemar maruah seseorang Islam". (Riwayat Abu Daud).

Justeru, adalah amat penting untuk kita tidak mendedahkan keaiban seseorang Islam dengan mengikut adab dan tertib berhubung apa isu-isu termasuk dalam menjalankan tanggungjawab menggalakkan kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Antara adab itu, mana-mana kemungkaran yang dilakukan secara sembunyi hendaklah dicegah secara sembunyi dan kemungkaran yang dibuat secara terang-terangan hendaklah dicegah secara terang-terangan.

Dalam adab mencegah kemungkaran juga maruah seseorang Islam perlu dijaga tanpa mengira siapapun orang itu, sama ada pemimpin atau pun rakyat biasa.

Antara adabnya ialah bercakap dengan lemah lembut. Apabila seorang pendakwah telah terkasar bahasa ketika menasihati khalifah ma'mun al-Rashid, beliau telah berkata: Berlemah lembutlah terhadap saya kerana apabila Allah menghantar orang yang lebih baik daripada kamu iaitu Nabi Musa dan Nabi Harun kepada orang yang lebih buruk daripada saya iaitu Firaun maka Allah telah berfirman:

"Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya dengan kata-kata yang lemah-lembut supaya dia sedar atau berasa takut." (Taha:44)

kita hendaklah berusaha membaiki keadaan dan diri sendiri atau orang lain melalui pengubatan, berdoa, memberi nasihat dan berlemah lembut, memaafkan, bersangka baik dengan membayangkan sekiranya saya berada di tempatnya bagaimana cara yang saya suka dinasihati oleh orang lain, atau jika saya berada di tempatnya bagaimanakan keadaan diri saya.


Luqman al-Hakim merupakan ahli hikmah yang termahsyur sehingga dalam al-Quran juga disebutkan nasihat-nasihatnya. Beliau merupakan seorang hamba Habsyah yang berkulit hitam. Dengan limpah rahim dan kurniaan Allah, beliau menjadi seorang hakim.

Antara nasihat Luqman al-Hakim kepada anaknya: Anakku, apabila datang kepada kamu dengan aduan bahawa si anu telah dicabutkan kedua-dua biji matanya dan kamu lihat dengan mata kepala sendiri bahawa kedua-dua biji matanya tercabut, namun janganlah kamu sampai kepada sesuatu kesimpulan sebelum kamu mendengar pihak yang lain. Tidak mustahil orang yang membuat aduan itu lah yang mula-mula mencabutkan mata orang lain, boleh jadi sebelum kehilangan kedua-dua biji matanya dia telah mencabutkan empat biji mata orang lain. ---Dipetik daripada Utusan Malaysia

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails