Tuesday, October 21, 2008

Berbudi kepada orang tua

Pada zaman dahulu, ada seorang lelaki yang menjaga bapanya yang sudah tua. Sebelum itu, dia telah bertanya kepada adik beradiknya adakah mereka sanggup untuk memelihara bapanya yang tua dan tidak sihat tanpa mendapatkan apa-apa upah iaitu harta bapanya.Kesemua adik beradiknya tidak sanggup untuk berbuat demikian kerana bagi mereka jika mereka menjaga bapanya sudah tentu harta peninggalan bapanya perlu diberikan kepada mereka ekoran sudah bersusah payah menjaganya.Bagaimanapun, lelaki itu sanggup menjaga bapanya dengan syarat tidak mahu mengambil apa-apa harta dan tidak mengharapkan sebarang balasan.Maka bermulalah, lelaki itu menjaga orang tuanya dengan sepenuh hati dan sebaik mungkin serta penuh kasih sayang.Namun begitu, setelah beberapa ketika, bapanya meninggal dunia.Selepas kematian itu, adik beradiknya mula mengambil dan membahagikan harta peninggalan bapanya kecuali lelaki itu yang tidak mahu mengambil apa-apa bahagian seperti yang telah dipersetujui sebelum ini.Selepas kematian bapanya, pada suatu malam, lelaki itu bermimpi terdengar satu suara yang menyuruhnya pergi ke suatu tempat di mana di situ ada tertanam harta 100 dinar. Dalam mimpi itu juga lelaki itu sempat bertanya, adakah harta itu mempunyai keberkatan? Maka suara itu menjawab tidak ada. Tiba-tiba lelaki itu terbangun dari tidur lalu menceritakan mimpi itu kepada isterinya.Isterinya mendesak supaya suaminya pergi ke tempat itu untuk mengambil harta itu, namun lelaki itu tidak mahu.Pada malam berikutnya, lelaki itu bermimpi lagi suara lelaki yang sama dengan menyuruh dia pergi ke suatu tempat yang ada ternama 10 dinar. Lelaki itu sekali lagi bertanya adakah terdapat keberkatan dalam 10 dinar itu, lalu dijawab suara itu, tiada keberkatan.Lelaki itu terjaga dari tidur lalu menceritakan mimpinya kepada isterinya yang sekali lagi mendesak supaya lelaki itu mengambil harta tersebut namun lelaki itu tetap enggan.Pada malam esoknya, lelaki itu sekali lagi bermimpi suara yang sama dengan menyuruhnya pergi ke suatu tempat untuk mengambil harta 1 dinar yang tertanam dalam tanah. Lalu lelaki itu bertanya, adakah terdapat keberkatan dalam 1 dinar itu dan suara itu menjawab 'ada'. Apabila terjaga dari tidur keesokkannya, tanpa memberitahu isterinya, lelaki itu terus pergi ke tempat itu dan menjumpai 1 dinar tertanam dalam tanah.Lelaki itu terus pergi ke pasar lalu membeli 3 ekor ikan dan seterusnya membawanya pulang ke rumah. Setelah menyiang ikan itu, alangkah terkejutnya lelaki itu apabila mendapati perut setiap ekor ikan itu mempunyai sebutir mutiara yang sangat cantik dan tidak pernah ditemui oleh manusia.Berita penemuan mutiara itu tersebar luas dari mulut ke mulut hingga ke pengetahuan raja. Raja tersebut berminat untuk melihat dan kemudian terus mahu membeli semua mutiara itu dengan bayaran 10 ekor keldai yang setiap seekornya membawa dua karung emas di kanan dan kirinya.--Habis cerita. Pengajarannya: Keikhlasan kepada orang tua membawa keberkatan. Harta walaupun sedikit tetap mencukupi malahan berlebihan jika ia berkat. Keberkatan lebih penting dari jumlah harta yang banyak. Maka semoga Allah memilih kita untuk dapat melakukan banyak amalan sedekah dengan ikhlas.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails